aduanrakyat  

[Aduan Rakyat] Bas Durian Burung tipu penumpang

Mata Sosial
Wed, 21 May 2008 09:56:55 -0700

Saya nak kisahkan disini tentang mimpi ngeri saya baru-baru ini ketika menjadi 
penumpang bas ekspress Durian Burung. Diharap dengan pengalaman saya ini akan 
menjadi panduan kepada kawan-kawan yang lain agar berhati-hati dengan 
perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat pengendali bas ekspres 
terutamanya Bas Durian Burung.

Kisahnya begini....

Pada 17 Mei 2008 yang lalu saya telah membeli tiket untuk perjalanan ke Perlis 
untuk satu tugas resmi disana. Saya memilih bas Durian Burung kerana 
memandangkan bas tersebut digambarkan sebagai bas yang selesa dan tepat waktu 
perjalanannya. Saya membeli tiket untuk perjalanan pada pukul 10.30 malam 
dikaunter tiket Durian Burung. Bas yang akan saya naiki bernombor KBG 7000 
seperti yang tercatat ditiket yang saya beli.

Lebih kurang jam 10.00 malam saya turun ke Platform 15 Stesen Puduraya untuk 
menaiki bas. Sehingga jam 10.40 malam saya tidak nampak bas Durian Burung 
berada di platform tersebut. Saya naik semula keatas dan bertanya di kaunter 
tiket samada bas telah tiba. Saya diberitahu bahawa bas dalam perjalanan dan 
akan tiba pada bila-bila masa. Sehingga jam 11.20 malam bas masih belum 
kelihatan. Saya naik semula dan bertanyakan dikaunter. Jawapan yang sama saya 
terima iaitu bas masih dalam perjalanan masuk ke Puduraya dan akan tiba pada 
bila-bila masa. Saya turun semula ke Platform 15 dan disana terdapat 5 orang 
penumpang lain yang juga menunggu bas Durian Burung bernombor KBG 7000.

Salah seorang penumpang menceritakan kepada saya bahawa malam sebelumnya beliau 
juga mengalami masalah yang sama. Beliau menunggu sehingga jam 2.00 pagi dan 
akhirnya terpaksa membatalkan perjalanan kerana sudah tidak sanggup lagi 
menunggu bas yang sepatutnya beliau naiki pada jam 10.30 malam. Beliau telah 
ditawarkan untuk "ditumpangkan" kepada bas yang lain. Beliau sebaliknya menolak 
tawaran tersebut dan menunda perjalanan kepada malam ini. Atas sebab itulah 
beliau ada bersama-sama penumpang bas Durian Burung untuk perjalanan malam ini.

Lebih kurang jam 11.45 malam kami berlima telah diarahkan penjual tiket Durian 
Burung untuk keluar menunggu diluar perhentian Puduraya. Pada jam 12.15 pagi 
bas Durian Burung bernombor KBY 2000 tiba ditempat tersebut. Saya dan 
penumpang-penumpang untuk perjalanan 12.30 pagi diarahkan untuk menaiki bas 
tersebut. Apabila kami telah mendapat tempat duduk masing-masing tiba-tiba kami 
berlima dari bas KBG 7000 diarahkan turun kerana tidak cukup tempat duduk. 
Beberapa orang penumpang telah bertengkar dengan penjual tiket. Mereka tidak 
puashati dengan apa yang telah dijanjikan. Saya sendiri tidak mahu masuk campur 
kerana saya telah keletihan dan ingin agar perjalanan dapat disegerakan. 
Penjual tiket tadi mula berkasar dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap 
kami. Kami seolah-olah penumpang yang tidak dikehendaki didalam bas tersebut. 
Antara kata-katanya ialah "Awak semua tak boleh naik bas ni sebab bas yang 
sepatutnya awak semua naik telah rosak. Bas ini adalah untuk yang membeli
 tiket untuk perjalanan pukul 12.30 . " . Beberapa penumpang lain yang panas 
hati kemudiannya meminta supaya wang mereka dipulangkan dan penjual tiket 
bersetuju berbuat demikian. Saya sendiri tidak bersetuju untuk membatalkan 
perjalanan kerana saya mempunyai tugas penting di Kangar pada jam 8.00 pagi 
nanti.

Penjual tiket itu mula mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada saya. Saya 
kemudiannya meminta penjual tiket tersebut supaya menjelaskan kepada saya 
dimanakah bas Durian Burung bernombor KBG 7000 yang sepatutnya saya naik untuk 
ke Perlis. Dia dengan kasarnya berkata " Mana saya tahu bas itu pergi mana 
sebab bukan saya yang bawa bas tu".

Saya membuat rumusan bahawa tiket dijual untuk perjalanan yang tidak pasti 
waktunya. Tiket akan dijual untuk perjalanan jam 10.30 malam, tetapi disebabkan 
jumlah penumpang tidak mencukupi untuk sebuah bas maka ianya ditunda dari jam 
ke jam yang lain sehinggalah penuh untuk sebuah bas. Disebabkan taktik menjual 
tiket cara ini dilakukan dikaunter-kaunter di Kajang dan Puduraya akhirnya 
terjadilah kes terjual lebih tiket dari tempat duduk.

Oleh sebab saya dah penat dan tak mahu melengahkan perjalanan 
penumpang-penumpang yang lain maka saya meminta supaya saya diberikan tempat 
duduk pemandu ganti (reserve seat). Setelah berdolak dalik beberapa ketika 
akhirnya penjual tiket tersebut bersetuju dengan permintaan saya. Bas 
kemudiannya mula bergerak dan saya turun ketingkat bawah untuk mendapatkan 
tempat duduk yang dijanjikan. Apabila saya bertanyakan tempat duduk saya , 
pemandu bas menyuruh saya duduk sebentar diatas tangga dan berjanji akan 
memberikan tempat duduk kepada saya apabila bas telah keluar dari kawasan Kuala 
Lumpur. Saya bersetuju dan hanya duduk diatas tangga bas.

Apabila sampai dihadapan Kompleks Kotaraya bas tersebut tiba-tiba berhenti dan 
menumpangkan seorang lagi penumpang. Saya lihat penumpang tersebut menghulurkan 
wang RM20.00 kepada pemandu untuk perjalanan sehingga Butterworth. Penumpang 
tersebut juga duduk bersama-sama saya diatas tangga.

Apabila tiba di stesen minyak Shell selepas Tol Jalan Duta pemandu bas 
menawarkan sebuah kerusi plastik rendah untuk saya duduk. Oleh sebab kerusi 
tersebut terlalu sempit dan rendah maka saya mengambil keputusan untuk terus 
duduk diatas tangga. Saya langsung tidak dapat tidur sepanjang perjalanan 
sehinggalah tiba di Butterworth, Pulau Pinang apabila ada penumpang mula turun. 
Saya naik ketingkat atas untuk mendapatkan tempat duduk. Saya kemudiannya 
tertidur sehinggalah bas tiba di Stesen Bas Alor Star. Semua penumpang turun 
kerana mereka mengambil tiket sehingga Alor Star sahaja. Saya kemudiannya 
diarahkan oleh pemandu untuk turun disini. Saya bertanya kepada pemandu mengapa 
saya harus turun di Alor Star sedangkan saya mengambil membayar tambang 
sehingga ke Kangar, Perlis. Pemandu hanya berkata "Bas ini hanya sehingga sini 
saja".

Oleh sebab saya malas nak bertengkar dan saya ingin cepat sampai ke Kangar maka 
saya turun dan mengambil teksi untuk ke Kangar.

Hari ini saya telah membuat laporan bertulis kepada Jabatan Pengangkutan Jalan 
(JPJ) , Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan juga Biro Pengaduan 
Awam mengenai perkhidmatan bas Durian Burung dan sikap kurang ajar penjual 
tiket di Kaunter Tiket Bas Durian Burung, Kaunter No. 39 Kompleks Puduraya, 
Kuala Lumpur. Saya juga ada mengepilkan salinan tiket, gambar-gambar bas yang 
saya naiki, kedua-dua pemandunya serta penjual tiket tersebut.

Saya berharap dengan laporan tersebut pihak-pihak yang berkenaan akan segera 
mengambil tindakan kepada syarikat-syarikat bas yang sudah banyak kali menipu 
penumpang. Saya mendapat maklumbalas dari rakan-rakan yang lain bahawa bas 
Durian Burung memang terkenal dengan penipuan menjual tiket tanpa had dan waktu 
yang tetap. Tapi mungkin penumpang lain malas atau rasa tak berbaloi untuk 
membuat laporan kepada pihak berkuasa. Atau mungkin juga laporan telah dibuat 
tetapi tiada tindakan susulan yang telah diambil.

Saya paparkan kisah ini supaya perkara ini tidak berulang dimasa akan datang 
kepada orang lain dan berharap anda menjauhi diri dari menjadi penumpang kepada 
BAS EKSPRES DURIAN BURUNG.



                                                                                
             
         GAMBAR BAS DURIAN BURUNG SEMASA BERHENTI DI R&R BUKIT GANTANG

GAMBAR BAS DURIAN BURUNG SEPERTI DALAM IKLAN