http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Keluarga/20060526084339/Article/
   
  Suami tidak boleh lari daripada membayar nafkah  Oleh Hidayah Mohammad dan 
Norfaiza Ismail
  
 
  Peruntukan undang-undang sedia ada memastikan hak wanita dan anak dilindungi

PERIT rasanya apabila ketiadaan suami. Semua tugasan perlu diselesaikan sendiri 
termasuk mencari sesuap nasi bagi mengalas perut si kecil di rumah. Lebih-lebih 
lagi, jika bekas suami tidak bertanggung jawab dan enggan membayar nafkah 
meskipun mahkamah sudah pun menetapkan jumlah yang perlu dibayar. 
Sekurang-kurangnya, dengan nafkah berkenaan keperluan si kecil dapat disediakan.
          
  
Bagaimanapun, sering kali juga bekas suami lepas tangan enggan membayar nafkah 
yang ditetapkan. Lebih malang, jika isteri yang kurang arif undang-undang 
sekadar berdiam diri kerana tidak tahu ke mana harus mengadu.

Justeru, keputusan mahkamah baru-baru ini untuk mengeluarkan perintah komital 
dengan mengenakan hukuman penjara terhadap seorang peniaga yang tidak membayar 
nafkah anak kepada bekas isterinya sejak tujuh tahun lalu, perlu dijadikan 
iktibar. (Berita Harian, ms 1, 17 Mei). 

Bagi mengelak daripada di penjara, peniaga berkenaan terus melunaskan 
sebahagian daripada nafkah yang tertunggak berjumlah RM21,000 kepada bekas 
isterinya. Pastinya perintah berkenan menjadi pengajaran kepada si suami dan 
juga suami lain yang tidak menunaikan tanggungjawab kepada anak.

Peguam bela dan peguam cara, Nisah Haron, berkata Enakmen Undang-undang 
Keluarga Islam bukan saja memberi kelebihan kepada bekas isteri untuk membuat 
tuntutan memohon perintah nafkah tertunggak dan nafkah semasa, bahkan isteri 
juga boleh melakukan perkara sama sekiranya suami cuai serta abai daripada 
menjalankan tanggungjawabnya.

“Undang-undang ini bukan baru kerana sudah termaktub dalam Enakmen 
Undang-undang Keluarga Islam kebanyakan negeri. Cuma mungkin ramai yang tidak 
tahu kewujudannya menyebabkan ada wanita merasakan teraniaya apabila bekas 
suami tidak membayar nafkah, lebih-lebih lagi apabila tidak tahu ke mana hendak 
dituju.

“Pada masa sama, ada peruntukan untuk wanita yang masih dalam perkahwinan untuk 
membuat tuntutan perintah nafkah ini sekiranya suami tidak menjalankan tanggung 
jawabnya. Ini penting kerana ramai wanita hari ini yang menganggap tuntutan 
perintah nafkah hanya untuk wanita yang sudah bercerai,” katanya ketika 
dihubungi, baru-baru ini. 

Bagaimanapun, beliau berkata, isteri yang menuntut nafkah adalah hanya untuk 
keperluan peribadinya tidak termasuk membeli barang perkakas dan keperluan 
rumah. Tuntutan nafkah itu mestilah bergantung kepada keperluan isteri dan juga 
anak, selain kemampuan suami itu sendiri.

Tuntutan nafkah membabitkan perceraian untuk bekas isteri ialah nafkah edah dan 
nafkah mutaah, manakala nafkah anak berterusan sehingga mereka boleh berdikari, 
iaitu berkahwin bagi anak perempuan dan mampu menanggung diri sendiri bagi anak 
lelaki. Malah, berdasarkan peruntukan itu bapa juga perlu membiayai pengajian 
anak daripada bekas isterinya termasuk di institusi pengajian tinggi.

“Ketika perbicaraan dijalankan, mahkamah akan merekodkan kata persetujuan 
antara suami dan isteri/bekas isteri untuk membayar serta menerima sejumlah 
nafkah itu. Contohnya isteri menuntut RM500 nafkah anak setiap bulan daripada 
suaminya. Ini bergantung kepada jumlah anak dan juga peringkat umur anak, 
selain kemampuan suami. 

“Bagaimanapun jika tidak mendapat kata persetujuan yang sama, mahkamah akan 
menjatuhkan berapa banyak nilai untuk dibayar suami kepada isteri/bekas 
isterinya. Proses itu dikenali sebagai mendapatkan perintah,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya suami mengingkari perintah mahkamah yang mengarahkan 
membayar nafkah berkenaan mengikut tempoh waktu dan nilai yang ditetapkan, 
tindakan boleh diambil isteri atau bekas isteri untuk memohon pelaksanaan 
perintah. 

Apabila ini berlaku, maka mahkamah akan memanggil suami untuk perbicaraan bagi 
mendapatkan penyelesaian. Proses itu pula dipanggil sebagai penguatkuasaan 
perintah. Dalam peringkat itu, suami perlu memberi alasan yang munasabah dan 
kukuh mengapa tidak dapat menjelaskan nafkah berkenaan. 

Mahkamah akan membuat pertimbangan dan menilai semula huraian terbabit dan 
memberi peluang kepada suami/bekas suami menunaikan tanggung jawabnya, tetapi 
nafkah itu tetap harus dibayar dan ia semakin berganda mengikut setiap bulan.

Bagi suami yang bekerja dengan kerajaan, mahkamah boleh menetapkan pembayaran 
dibuat melalui potongan gaji dan terus membayar melalui akaun bank isteri. 
Tetapi masalah akan timbul dan sukar untuk membuat tuntutan daripada suami, 
sekiranya suami itu bekerja di bawah naungan swasta. Dalam hubungan ini, jika 
majikan ingkar mahkamah juga boleh mengambil tindakan terhadap majikan 
berkenaan. 

“Jika proses penguatkuasaan perintah itu masih tidak dipatuhi, isteri atau 
bekas isteri boleh memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah komital kerana 
menghina mahkamah. Apabila disabitkan bersalah, si suami boleh dikenakan 
tindakan termasuk dipenjarakan mengikut budi bicara hakim,” katanya

Nisah berkata, walaupun dipenjarakan jumlah nafkah tetap bertambah setiap bulan 
dan suami perlu membayar jumlah yang tertunggak itu.

FAKTA

MEKANISMA MEMBUAT TUNTUTAN NAFKAH:

* Failkan tuntutan nafkah di mana-mana mahkamah yang ada bidang kuasa yang 
betul.

* jika isteri tiada peguam, mahkamah akan uruskan dengan menggunakan Biro 
Bantuan Guaman.

* Sertakan maklumat mengenai suami seperti alamat tempat tinggal dan tempat 
kerja dengan betul dan lengkap.

* Kemudian, suami akan menerima satu salinan dan juga borang dari mahkamah 
mengenai tuntutan yang dibuat isterinya. Berdasarkan borang yang diberi itu, 
suami perlu mengisi borang jawapan dengan memberikan alasan mengapa isteri 
tidak boleh dibayar dan mengapa diabaikan dan tanggungan dan sebagainya.

* Suami akan mendapat surat tarikh untuk perjumpaan di mahkamah bersama isteri 
untuk urusan lanjut 

* Datang pada tarikh ditetapkan, kemudian jumpa pegawai pendaftar. Keputusan 
akan ditanya sama ada setuju ataupun tidak untuk membayar nafkah kepada isteri.

* Jika SETUJU- mesti akur untuk membayar dalam tempoh yang ditetapkan.

* Jika TIDAK SETUJU atau tidak mampu - mahkamah akan menilai kes itu dan suami 
perlu menjawab beberapa alasan membabitkan jumlah yang sanggup bayar, komitmen 
atau tanggungan lain secara bertulis.

* Suami akan mendapat tarikh untuk perbicaraan di mahkamah.

* Perbicaraan dan keputusan dari mahkamah


Panduan untuk bakal pengantin & sudah berkahwin.. cara utk mengawal kewangan, 
meningkatkan dana kewangan utk berkahwin & sesudah berkahwin, berbelanja secara 
berhemah.. insha ALlah

layari laman web>> http://www.maskahwin.com/index.php?ref=delete 
untuk keterangan lanjut
 Send instant messages to your online friends http://asia.messenger.yahoo.com 

[Non-text portions of this message have been removed]



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Protect your PC from spy ware with award winning anti spy technology. It's free.
http://us.click.yahoo.com/97bhrC/LGxNAA/yQLSAA/JcWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

Alternatif-Net : A Discussion Forum Focusing on Issues Related to Justice
            Forum Perbincangan Maya Yang Fokus Kepada Isu Keadilan

Disclaimer: Messages sent do not represent the stand of the Barisan Alternatif 
(BA) unless otherwise stated

Complaint : Send to [EMAIL PROTECTED]

To Sub    : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED]
To Unsub  : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/alternatif-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Reply via email to