harakahdaily  

[harakahdaily] Kenaikan tol adalah satu 'hadiah kemerdekaan ke-48'

Amir Hamzah
Sat, 20 Aug 2005 19:27:18 -0700

Kenaikan tol adalah satu 'hadiah kemerdekaan ke-48' - Hasan Ali
Friday, August 19 @ 09:32:43 MYT


Oleh MOHD SABRI SAID
PADANG SERAI, 19 Ogos (Hrkh) - Cadangan kenaikan baru tol lebuh raya dan jambatan Pulau Pinang merupakan 'hadiah kemerdekaan ke-48' dari kerajaan untuk rakyat kata, Naib Presiden PAS, Dato' Dr Hasan Ali.

Beliau ketika berceramah di Kampung Bukit Sarang Ayam, Lunas baru-baru ini turut membidas kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana terus menindas rakyat dengan berbagai tekanan.

"Kesediaan kerajaan BN mengkaji kenaikan baru tol lebuh raya dan jambatan Pulau Pinang adalah hadiah bermakna buat rakyat sempena kemerdekaan negara ke-48. Itulah nasib rakyat bilamana memberi mandat BN untuk terus berkuasa, " tegasnya di hadapan para hadirin.

Menurut beliau lagi, rakyat kini bagaikan 'jatuh tangga ditimpa tangga' ekoran menerima kenaikan harga tol Lebuh raya Utara Selatan (Plus) termasuk Lebuh raya Butterworth-Kulim (BKE) sepertimana diumumkan beberapa bulan lalu.

Terbaru rakyat ditekan dengan kenaikan harga minyak petrol, diesel dan gas di antara 5 sen ke 20 sen.

Kesan kenaikan itu semua harga barangan keperluan pengguna meningkat mendadak walaupun pada dasarnya kerajaan berjanji mahu mengawal kenaikan harga barangan serta memastikan ianya tidak membebankan rakyat.

"Kerajaan boleh cakap apa saja tapi yang menerima kesan ialah rakyat. Bukan sehari dua mereka berjanji sedemikian malahan setiap kali kenaikan harga minyak, " jelasnya dalam program anjuran PAS Kawasan Padang Serai.

Rakyat tambah Dato' Dr Hasan, jangan terus terpedaya dengan umpanan BN kononnya negara akan kucar kacir dan ekonomi akan runtuh jika peralihan kuasa pemerintah berlaku selepas pilihan raya.

Jentera penerangan PAS di peringkat akar umbi terangnya, wajar memahami persoalan ini untuk memastikan pemikiran rakyat tidak disogok dengan dakyah buruk.

"Inilah tugasan jentera di peringkat akar umbi. Mereka boleh membantu kepimpinan parti dengan menjadi suara penghubung antara kepimpinan dan rakyat keseluruhannya, " kata beliau.

Beliau juga tidak menafikan kadar jenayah akan meningkat ekoran beberapa kenaikan yang diumumkan oleh kerajaan.

Ini kerana, bila rakyat terlampau ditekan mereka terpaksa mencari inisiatif lain termasuk mencuri dan sebagainya untuk menampung keperluan hidup.

Sebelum itu, Dato' Dr Hasan menerima kemasukan ahli baru seramai 17 orang dari Cawangan Kampung Bukit Sarang Ayam dari Ketua Pemudanya, Ahmad Shahril Ramli.

Beliau juga diberikan amanah merasmikan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Midaul Hasanah.

Turut berceramah pada malam itu ialah Yang DiPertua PAS Padang Serai, Fauzi Tahir dan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, Ustazah Aishah Ghazali.

Hadir sama dalam program itu ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ustaz Haji Hasan Razak. - mks.


How much free photo storage do you get? Store your holiday snaps for FREE with Yahoo! Photos. Get Yahoo! Photos

Subscribe: [EMAIL PROTECTED]
Unsubscribe: [EMAIL PROTECTED]
Digest message: [EMAIL PROTECTED]
HarakahDaily: http://www.harakahdaily.com
PAS Homepage: http://www.parti-pas.org

HarakahDaily.com disclaims any liability whatsoever or however arising from the posting of e-mails herein. Authors of the emails are advised to ensure that the contents of their e-mails do not attract any liability, civil or criminal.




YAHOO! GROUPS LINKS




  • [harakahdaily] Kenaikan tol adalah satu 'hadiah kemerdekaan ke-48' Amir Hamzah