harakahdaily  

[harakahdaily] Pemohon IPTA boleh semak di laman web, SMS

Data
Sun, 06 May 2007 09:13:13 -0700

KUALA LUMPUR 4 Mei – Pemohon program pengajian lepasan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) dan setaraf boleh membuat semakan status kemasukan ke
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2007/2008 melalui
laman web dan khidmat pesanan ringkas (SMS) mulai Ahad ini.

Laman web tersebut adalah http://www.mohe.gov.my, http://jpt.utm.my atau
http://jpt.uum.edu.my manakala melalui (SMS dengan menaip UPUnombor kad
pengenalan/MyKad dan menghantarnya ke 32300.

Pegawai Perhubungan Awam, Kementerian Pengajian Tinggi, Rubaayah Osman
berkata, semua IPTA akan mengeluarkan surat tawaran kepada calon yang
berjaya melalui laman web masing-masing mulai 7 Mei ini.

Menurutnya, calon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan penerimaan
tawaran dalam tempoh 10 hari sehingga 15 Mei ini sama ada secara bertulis
atau melalui laman web IPTA berkenaan.

Jelas beliau, pendaftaran bagi pelajar baru ke IPTA ialah pada 1 Julai ini.

''Bagaimanapun, pendaftaran ke Program Asasi Universiti Malaya (UM),
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Pertahanan
Nasional Malaysia (UPNM) dan Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
lebih awal di mana tarikh sebenar akan dimaklumkan oleh IPTA berkenaan
melalui surat tawaran," katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di
sini, hari ini.

Hanya calon yang gagal menerima sebarang tawaran ke IPTA dibenarkan
mengemukakan rayuan melalui aplikasi e-Rayuan ke BPKP JP IPT dalam tempoh 10
hari bekerja selepas keputusan rasmi permohonan kemasukan ke IPTA diumumkan
melalui laman web http://www.mohe.gov.my.

Tarikh tutup permohonan e-Rayuan ialah pada 18 Mei ini.

Pemilihan bagi kes rayuan ini dibuat berdasarkan kekosongan tempat mengikut
program pengajian dan IPTA selepas pendaftaran pelajar baru.

Keputusan rayuan akan dimaklumkan pada minggu ketiga Julai 2007.

Sekiranya tiada sebarang tawaran diterima selepas tiga minggu tarikh
pendaftaran IPTA masing-masing, maka rayuan berkenaan dianggap gagal.

Calon juga boleh menghubungi talian 03-88835858 atau 03-88835848 untuk
sebarang pertanyaan.




--
"Sesungguhnya Solatku, Ibadatku, Hidupku dan Matiku adalah kerana Allah
Tuhan Semesta Alam"

Sila semak status daftar pemilih anda secara online dengan SPR di
http://daftarj.spr.gov.my/
  • [harakahdaily] Pemohon IPTA boleh semak di laman web, SMS Data