harakahdaily  

[harakahdaily] Raja Qin, Terracotta, suatu kembara rohani

harakah daily
Mon, 05 Jan 2009 00:18:14 -0800

Raja Qin, Terracotta, suatu kembara rohani
Ali Bukhari Amir
Mon | Jan 05, 09 |  5:33:28 am MYT
Perjalanan kami adalah kembara rohani dan kelana akliah. Petang 9
Disember, bandaraya Phnom Penh sedang mendaratkan ketibaan rombongan
ketiga daripada Malaysia. Mereka adalah kumpulan anak-anak muda daripada
UKM dan kumpulan nasyid Devotees.
Iklan                          <http://www.kopijanda4all.com/>
Saya, Faizul dan Encik Allan mengambil suatu ruang yang agak sunyi
sambil menantikan ketibaan pesawat yang kerap tertunda di Lapangan
Terbang Antarabangsa Phnom Penh itu.

Angin petang yang berhembus petang itu membawa langkah kami ke sebuah
warung yang menawarkan Western Food yang mahal, tapi menyelerakan.

Bualan petang itu sarat terisi dengan kisah-kisah pengalaman lalu mereka
di Xian, China. Faizul dan Encik Allan, seorang pengarah dan seorang
penerbit di Astro Oasis untuk rancangan Rasa Halal Orient berjaya
mencuit perhatian saya terhadap beberapa perkara.

Ia mengenai Raja Qin, juga dikenali sebagai Shih Huang Ti yang telah
menyatukan China yang asalnya terhitung sebagai kaum-kaum yang
berpecah-belah sebelum itu.

"Raja Qin ini mahu membina tentera dan dia mahu memerintah selepas
kematiannya," itu yang disebutkan Faizul. Saya mungkin tersilap banyak
fakta. Tapi, tiada masalahnya bagi sesiapa pun untuk mencuba menelah,
menyusun andaian, menelaah sejarah yang lalu.

"Ini agaknya, raja yang diriwayatkan kisahnya dalam filem lakonan Jet
Li; The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor?" pintas saya semula.

"Ya betul.." kata pengarah dokumentari muda itu. Usianya sekitar
pertengahan 30-an.

Saya terdiam lalu memikirkan sesuatu. Dari mana Raja Qin mendapat tahu
bahawa akan wujudnya hari kebangkitan, kehidupan selepas mati di mana
dia akan hidup semula?

Adakah dia terpaut dengan ajaran falsafah atau memang dalam faham nenek
moyangnya, telah ada kepercayaan sebegitu? Dalam filem itu telah
ditunjukkan bagaimana Raja Qin bangkit semula lalu bersama para tentera
Terracotta yang dipimpinnya, dia pun membuat kacau-bilau semula di dunia
moden hari ini.

Ada juga kita dengar satu ungkapan (atau mungkin hadis) berbunyi,
'Tuntutlah ilmu hatta ke negeri China.' Walaupun ada kalangan ulama'
mendebatkan kesahihan hadis ini, tetapi adakah kerana hal ini, maka
Laluan Sutera terbuka merentang dari Istanbul ke Xian?

"Dialah yang telah menghapuskan semua kitab-kitab lama ini dan
mewujudkan Mandarin sebagai bahasa untuk menyatukan semua kaum Cina di
bawah kekuasaannya. Jadi, semua orang akan menyatu di bawah bumbung
bahasa," kata Encik Allan.

Suku kaum atau 'Bani' Qin
Qin Shi Huang adalah Maharaja Dinasti 'Bani' Qin yang pertama setelah
baginda berjaya menyerang, memerangi dan menggempur sekalian puak untuk
tunduk menyatu di bawah kekuasaannya. Menurut catatan, kekuasaan baginda
bermula seawal 221 sehinggalah 210 sebelum Masihi.

Setelah menyatukan China, beliau membina Tembok Besar China. Juga
dibinanya sebuah makam kota yang dijaga patung-patung Tentera Terracotta
bersaiz manusia. Melihatkan semua ini, kita barangkali terfikir, apakah
yang sebenarnya ingin dicapai Raja Qin?

Laluan Sutera itu yang berpenghujung di Xian itu sendiri menyebabkan
kita semua berasa terpanggil berfikir; bahawa hubungan Islam dan Tamadun
China itu sangat rapi dan rapat sekali. Ertinya, Islam telah mara untuk
menjalin hubungan dengan dunia Timur melalui dinasti kemaharajaan yang
agung itu.

Sementara itu, Selat Bosporus yang berhampiran Turki adalah selat yang
memisahkan di antara Benua Eropah dan Benua Asia. Kita tahu bahawa Benua
Eropah itu adalah warisan daripada Tamadun Rom. Mungkinkah berlaku
pertembungan yang istimewa antara Rom dan China pada suatu ketika
dahulu?

Dan, hal inilah yang saya utarakan kepada Encik Allan. "Ada dokumentari
yang sebutkan hubungan hal ini, tetapi hubungan itu mungkin terjalin
dalam bentuk ketenteraan."

Mereka mendengar penuh minat. Suasana hiruk-pikuk di lapangan terbang
lewat petang itu tak pernah menghentikan bualan kami. Penantian itu
suatu penyeksaan. Sementara menunggu orang yang tidak kunjung tiba, kami
bertukar-tukar pandangan.

Tentera Rom dan China pernah bersatu?
Menurut dokumentari itu, hubungan antara Rom serta China itu mungkin
terjalin dalam bentuk ketenteraan. Andaian yang terbit dalam dokumentari
itu ialah, ada kemungkinan Gladiators itu sebenarnya melibatkan tentera
Rom dan pasukan tentera China.

Ini kerana, ada satu puak di Cina yang meraikan satu hari di mana mereka
berpakaian ala tentera Rom. Namun, menurut dokumentari tersebut, pakar
genetik setakat ini belum lagi dapat mengesahkan persamaan genetik kaum
itu dengan genetik bangsa Eropah.

"Pernah dengar Hikayat Merong Mahawangsa?" saya bertanya rakan teman
perbincangan itu. Mereka pernah mendengar, cuma kami sendiri tidak
mendalami isi butirannya.

"Ada disebutkan juga cerita perkahwinan Putera Rom dan Puteri China,"
kata saya. "Dan perkahwinan mereka cuba digagalkan oleh burung garuda."
Walaupun, hal seperti ini ada unsur dongeng, namun saya cuba meneliti
dari sudut hubungan Rom dan China daripada sudut perkahwinan kedua-dua
mempelai tersebut.

Bagaimanakah pengarang hikayat tersebut boleh bercerita mengenai hal
perkahwinan itu dan daripada manakah beliau mendapat maklumat tersebut?
Jadi, hubungan Rom, China ini diperihalkan dalam bentuk kewujudan suatu
puak di Cina yang mengaku diri mereka punya pertalian darah dengan
tentera Rom.

Keduanya, Hikayat Merong Mahawangsa juga membawa kisah hal sedemikian.
Saya pun terus berteori dan menyusun andaian sendiri.. Jika ada hubungan
Rom, China yang selalu diganggu serangan liar, ada kemungkinankah wujud
gabungan ketenteraan antara kedua-dua tamadun itu seperti Nato dan
lain-lain pakatan ketenteraan misalnya pada era ini?

Ada kemungkinankah wujud seperti perjanjian persefahaman antara
Gladiator dan tentera warisan Terracotta itu? Ini cuma andaian yang
mungkin salah juga. Tapi kita tak bersalah untuk membuat telahan dan
andaian awal demi membangunkan ilmu.

Mengenangkan semua ini, menyebabkan akal terus berputar sebagai radar
untuk mencari kebenaran yang tiada penghujungnya. Itu tidak termasuk
lagi cerita tentang Melayu yang membawa masuk ajaran Buddha ke China,
kisah bangsa Dayar dan Banjar yang berasal daripada titisan darah
Monggolia.

Mutakhir ini, peranan warga Monggolia tidak kalah pentingnya di dalam
ketenteraan kita, sehinga dikorbankan oleh letupan bom C4 dalam urusan
jual-beli kapal selam kita.

Jejak sejarah yang hilang
"Di Xian dan beberapa tempat," kata En. Allan, "wajah penduduk di situ
sudah tidak lagi seperti kaum China kerana mereka ada darah campuran
Arab."

Kami mengangguk setuju. Semua ini kesan daripada perkahwinan campur
dengan warga tempatan. Banyak sungguh ilmu, catatan dan sumber
pengetahuan yang hilang untuk kita kesan semula jejaknya. Tapi, ini
memerlukan ketekunan, wang dan minat mendalam.

Baghdad pernah dilanggar Monggolia dan akibatnya, beberapa gedung
pustaka hangus, rentung terbakar. Kita pernah mendengar segala naskhah
khazanah pengetahuan Melayu yang terbakar di atas kapal penjajah dalam
perjalanan mereka mahu membawa khazanah itu ke negara mereka. Ini suatu
kerugian.

Raja Qin juga turut mengharamkan ajaran falsafah agar rakyatnya tidak
berpecah-belah kepada beberapa aliran. Dia mengebumikan ramai pengikut
ajaran itu hidup-hidup, lalu membakar semua buku ajaran lainnya.

Walhal, antara catatan yang boleh dirujuk untuk mengkaji Melayu ini
boleh kita temukan catatannya dalam lembaran gedung pustaka tamadun
China juga.

Dan bualan petang bersulam angin dingin, nyaman dan menyegarkan itu
akhirnya mati dibunuh senja tatkala kumpulan nasyid yang ditunggu-tunggu
telah tiba. Malam nanti, kami akan terus berkelana, masing-masing
menyambung tugasan yang tersendiri.

Saya pulang dari lapangan terbang petang itu dengan perasaan puas. Ilmu
Allah sangatlah luas. Makin diteroka, makin kita dapat membangunkan
kekerdilan diri kepadaNya!

5:14 a.m, 5 Januari
Sekolah Pemikiran Pendang

Pandangan dan maklumbalas berhubung fakta-fakta baru berhubung tulisan
di atas boleh dimajukan kepada   ibnua...@yahoo.com.
<mailto:ibnua...@yahoo.com.> Alamat email ini telah dilindungi dari spam
bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya   _

  • [harakahdaily] Raja Qin, Terracotta, suatu kembara rohani harakah daily