hidayahnet  

Help Palestine [hidayahnet] Celaka dan Derhaka , kita bagaimana

Rozmal bin Malakan
Mon, 02 Mar 2009 13:33:23 -0800

Akibat banyak sangat bicara politik, bicara derhaka dan celaka akibatnya 
masalah rakyat terlepas pandang.

Antaranya cerita penduduk Lubuk China yang projek perumahan mereka terbengkalai 
tiada nampak usaha untuk dipulihkan sejak sekian lama dan lain-lain tempat di 
N.Sembilan. Laporan penuh di blog http://terbengkalai.blogspot.com

Berita lain :
Guru j-QAF Sarawak, Sabah diabai – Berita Harian 27 Feb 2009

NASIB kami sebagai guru program kelas Jawi, al-Quran dan Fardu Ain (j-QAF) di 
Sarawak agak malang. Saya rasa guru j-QAF di Semenanjung mungkin berbeza 
sedikit berbanding kami guru j-QAF yang jauh dari mata dan hati Kementerian 
Pelajaran. Itupun mungkin kerana mereka dekat dengan kementerian dan media.

Apa juga masalah cepat saja dapat diselesaikan. Apa saja rintihan dan aduan 
sering mendapat perhatian.

Sudah masuk tahun kelima kami warga j-QAF berbakti di bumi Sarawak, tetapi rasa 
seperti 15 tahun lamanya. Saya paparkan beberapa masalah yang dihadapi guru 
j-QAF untuk iktibar dan perhatian bersama.

Pertama, agihan jadual waktu mengajar yang sangat membebankan dan tidak adil. 
Contohnya, seorang guru j-QAF perlu mengajar 35-45 waktu seminggu berbanding 
guru lain termasuk guru Pendidikan Islam hanya puratanya 25 waktu.

Paling menyedihkan, kelas tasmik al-Quran j-QAF yang dijalankan di luar waktu 
persekolahan sering disalah anggap. Kelas percuma itu dikatakan ada elaun.

Seharusnya pihak sekolah memberi taklimat mengenai program j-QAF agar tidak 
menimbulkan salah sangka.

Namun, guru lain jika mengadakan kelas tambahan seperti Skim Baucer Tuisyen 
(SBT) dan Kelas Fardu Ain (Kafa), mereka akan dibayar. Purata perbezaan jumlah 
waktu mengajar antara guru j-QAF dengan guru lain adalah 10 waktu mengajar.

Lebih teruk lagi, kebanyakan sekolah di Sabah dan Sarawak yang tiada 
pertambahan guru j-QAF, mereka terpaksa mengajar dari Tahun Satu hingga Tahun 
Lima.

Bayangkan bagaimana persediaan untuk kelas dan rekod serta penilaian yang 
terpaksa dibuat. Jika banyak kelas dari tahun yang sama tidak mengapa, ini pula 
lima kelas dari tahun berbeza.

Belum dikira tugas lain lagi, dengan kokurikulumnya, tugas perkeranian, 
pembantu am rendah dan tukang kebun turut ada dalam senarai tugas guru j-QAF. 
Muridlah yang menjadi mangsa. Bagaimana hendak menumpukan perhatian jika 
beginilah keadaannya. Fikirkanlah.

Kedua, kemudahan prasarana j-QAF amat mengecewakan. Jika kementerian sanggup 
menghabiskan belanja besar untuk mata pelajaran lain, kenapa tidak kepada j-QAF?

Memang betul ada sekolah menikmati kemudahan termasuk seperti bilik j-QAF, alat 
bantu mengajar, kursus dan latihan serta peruntukan menganjurkan program.

Bagaimanapun, kemudahan itu hanya dinikmati sekolah tertentu. Bayangkan satu 
kelas terpaksa dibahagikan kepada tiga kumpulan. Kadang-kadang murid terpaksa 
belajar di padang. Pada zaman moden kini dan Malaysia dikatakan negara maju 
dalam pendidikan, masih ada fenomena itu. Hakikatnya, Sabah dan Sarawak masih 
jauh ketinggalan.

Ketiga, guru j-QAF dianggap guru di luar kuota. Ada pentadbir sekolah 
mengatakan guru j-QAF tidak layak mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang (APC) 
disebabkan status guru j-QAF.

Keempat, pertukaran guru j-QAF secara luar biasa. Ada guru j-QAF yang berjaya 
mohon pertukaran walaupun kontrak belum tamat. Semua gara-gara ada ‘kabel.’ 
Kalau kementerian membenarkan pertukaran, janganlah hanya kerana orang yang ada 
‘kabel’ lulus.

Kementerian mesti berlaku adil kepada semua guru j-QAF.

Baru-baru ini Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran mengeluarkan 
surat menyatakan guru j-QAF akan dipertimbangkan untuk pertukaran dengan syarat 
- suka sama suka, sudah dilantik dan opsyen yang sama.

Tidakkah melampau dan tidak realistik syarat sebegitu? Alasan mereka mudah 
saja, tiada pengganti kalau dibenarkan berpindah. Tetapi, kenapa ditempatkan 
semua guru j-QAF yang baru di Semenanjung?

Kenapa tidak di Sarawak? Sasaran pencapaian j-QAF di Sabah dan Sarawak tidak 
akan tercapai sekiranya keadaan itu terus berlaku.

Guru j-QAF yang sudah lama di Sarawak dan Sabah sudah luntur semangat 
mengajarnya dek kerana sikap kementerian yang tidak peka dengan masalah mereka. 
Kerana itulah ramai guru yang tidak mahu ditempatkan di Sabah atau Sarawak.

Sebenarnya banyak lagi masalah yang terpaksa didiamkan begitu saja. Mungkin 
inilah cabaran yang terpaksa dihadapi guru j-QAF.

Mungkin guru j-QAF insan yang akan mengembalikan wajah guru yang dulu seperti 
kata-kata sinis daripada guru lain ‘janganlah berkira sangat, ustazkan 
pentingkan pahala bukan ganjaran dunia, banyak mengajar dan kerja kira bagus 
lah.’

Semoga kenyataan berkenaan dizahirkan dengan ikhlas.

GURU J-QAF
TERLUKA,
Daro, Sarawak.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Surat/20090227012621/Article/index_html




  • Help Palestine [hidayahnet] Celaka dan Derhaka , kita bagaimana Rozmal bin Malakan