Menilai Kembali Penetapan Waktu Imsak Dalam Bersahur

http://fiqh-sunnah.blogspot.com/

Di ketika bulan Ramadhan, kita diperintahkan untuk berpuasa di siang hari dan 
berbuka di malam harinya. Selagi mana waktu masih malam, iaitu selagi belum 
masuknya Subuh, maka kita dibolehkan untuk makan, minum, dan menggauli isteri 
yang mana perkara ini diharamkan dilakukan di waktu siangnya. Ini adalah 
berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya):

“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan Ramadhan untuk bercampur dengan 
isteri-isteri kamu - mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pula adalah pakaian 
bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, 
kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu. Maka sekarang 
campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan 
makan minumlah sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu 
fajar (masuknya waktu subuh).” (Surah al-Baqarah, 2: 187)

Adalah menjadi sunnah Rasulullah di bulan Ramadhan sebelum memulakan puasanya, 
ialah dengan bersahur dan melewatkannya di penghujung waktu. Ini adalah 
sebagaimana hadis dan atsar berikut:

Daripada Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, beliau menyatakan bahawa 
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sahur adalah makanan yang penuh berkah. Oleh itu, janganlah kamu 
meninggalkannya walaupun hanya dengan seteguk air. Allah dan para malaikat-Nya 
berselawat kepada orang-orang yang bersahur.” (Hadis Riwayat Ahmad, 17/150, no. 
11086. Dinyatakan sahih oleh Syaikh Syu’aib al-Arnauth)

Daripada ‘Amr bin Maimun al-Audi, beliau menyatakan, “Para sahabat Muhammad 
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah orang-orang yang paling bersegera dalam 
berbuka dan paling terakhir (lewat) di dalam bersahur.” (Atsar Riwayat 
‘Abdur-Razzaq, al-Mushannaf, no. 7591. Dinilai sahih sanadnya oleh al-Hafiz 
Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shohih al-Bukhari, 4/199. Dan al-Haitsami, 
Majma’ az-Zawa’id, 3/154)

Waktu Yang Disunnahkan Untuk Mula Bersahur

Waktu untuk memulakan sahur adalah sekitar kira-kira tempoh bacaan lima puluh 
ayat al-Qur’an sebelum masuknya subuh. Ini menunjukkan sekitar 15 atau 10 minit 
sebelum masuknya waktu subuh.

Ianya berdasarkan sebuah hadis daripada Zaid bin Tsabit radhiyallahu ‘anhu, 
bahawasanya beliau pernah berkata: “Kami pernah makan sahur bersama Nabi 
Shalallahu ‘alaihi wa Sallam. Setelah itu beliau segera menunaikan solat.” Aku 
bertanya, “Berapa lama jarak antara azan dengan sahur?” Beliau menjawab, 
“Kira-kira sama seperti (panjangnya) bacaan lima puluh ayat al-Qur’an”. (Hadis 
Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dan penjelasan seterusnya, daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, bahawa 
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda, “Janganlah azan bilal 
menjadikan kamu berhenti dari makan sahur, kerana beliau mengumandangkan azan 
pada malam hari (azan pertama sebelum masuknya subuh). Maka, makan dan minumlah 
sehingga kamu mendengar azan yang dikumandangkan oleh Ibnu Ummi maktum, kerana 
ia tidak mengumandangkannya sehingga telah benar-benar masuk waktu subuh.” 
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, ia menunjukkan bahawa masih dibolehkan makan dan minum 
(bersahur) selagi mana belum jelas masuknya waktu subuh. Ini dapat dilihat dari 
maksud hadis tersebut di mana para sahabat dibolehkan untuk makan dan minum 
sehingga mendengar azannya Ibnu Ummi maktum. Manakala Ibnu Ummi maktum pula 
hanya akan melaungkan azan setelah masuknya waktu Subuh dan apabila 
diperintahkan (diberitahukan) untuk mengumandangkan azan, barulah beliau akan 
melaungkannya disebabkan beliau adalah seorang yang buta.

Kesalahan Penetapan “Waktu Imsak” 10 Minit Sebelum Subuh Atau Yang Seumpamanya

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

“Dan Makan dan minumlah kamu sehingga terang bagimu benang putih dari benang 
hitam iaitu fajar (masuk waktu subuh)”. (al-Baqarah, 2: 187)

Menetapkan tempoh-tempoh tertentu secara khusus supaya berhenti makan sahur 
sebelum terbitnya fajar shadiq, maka itu bukanlah suatu yang berasal daripada 
sunnah. Apa yang jelas di dalam sunnah adalah melewatkan sahur dan dibolehkan 
berhenti makan atau minum sehingga benar-benar telah masuknya waktu subuh 
dengan yakin. Ianya selain dijelaskan oleh ayat al-Qur’an di atas, ia juga 
memiliki hujjah yang jelas dari banyak hadis-hadis Rasulullah Shalallahu 
‘alaihi wa Sallam.

Di antaranya adalah sebagaimana hadis daripada ‘Aisyah di atas berkenaan 
azannya Bilal dan Ibnu Ummi Maktum.

Di ketika bersahur, apabila tiba-tiba azan subuh dikumandangkan sedangkan 
makanan di tangan dan di dalam mulut belum lagi dihabiskan, maka adalah 
dibolehkan menghabiskan makanan dan minuman tersebut walaupun di ketika waktu 
berkumandangnya azan. Ini adalah sebagaimana hadis Rasulullah berikut:

“Ketika salah seorang di antara kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman 
(atau makanan) masih berada di tangannya, janganlah dia meletakkannya sehingga 
ia menyelesaikan hajatnya (menghabiskannya).” (Hadis Riwayat Ahmad, 16/368, no. 
10629 - Tahqiq Syaikh Syu’aib al-Arnauth: Isnadnya hasan. Abu Daud, Kitab 
ash-Shaum, 6/297, no. 2003 – komentar Syaikh al-Albani: Isnadnya hasan sahih, 
disahihkan oleh al-Hakim dan disepakati oleh adz-Dzahabi, Shohih Sunan Abi 
Daud, 7/115, no. 2035. Daripada Abu Hurairah)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berkata di dalam kitabnya, Fathul 
Bari Syarah Shohih al-Bukhari (4/199): “Termasuk perbuatan bid'ah yang mungkar 
adalah yang diada-adakan pada zaman ini (pada zamannya), iaitu mengumandangkan 
azan kedua (azan Subuh) sepertiga jam (sekitar 20 minit) sebelum waktunya di 
bulan Ramadhan, serta memadamkan lampu-lampu yang dijadikan sebagai tanda telah 
haramnya makan dan minum bagi orang yang mahu berpuasa, mereka menganggap 
perbuatan ini sebagai rangka ihtiyath (langkah berhati-hati) dalam ibadah, 
tidak ada yang mengetahuinya melainkan beberapa bilangan manusia sahaja, malah 
sehingga perkara ini mengheret mereka pula kepada perbuatan mengumandangkan 
azan ketika telah terbenam matahari beberapa peringkat (melewatkan azan 
maghrib), untuk meyakinkan telah masuknya waktu berbuka puasa (menurut sangkaan 
mereka) dengan mengakhirkan (melewat-lewatkan) berbuka dan menyegerakan sahur, 
sehingga menyelisihi sunnah. Oleh sebab itu, terlalu sedikit kebaikan daripada 
mereka dan banyaknya keburukan yang berasal daripada mereka pun tersebar, 
Allahul Musta'an.

Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani rahimahullah turut mengulas persoalan ini 
melalui salah satu kitabnya, “Tamamul Minnah” ketika membantah kenyataan Sayyid 
Sabiq sebagaimana berikut:

“Ketika salah seorang di antara kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman 
(atau makanan) masih berada di tangannya, janganlah dia meletakkannya sehingga 
ia menyelesaikan hajatnya (menghabiskannya).”

Ibnu Hazm juga meriwayatkannya dan menambah: “Ammar (iaitu Ibnu Abi ‘Ammar, 
perawi Abu Hurairah) mengatakan:

“Mereka dahulu mengumandangkan azan ketika telah terbit fajar (setelah masuknya 
waktu Subuh)”.

Hammad (iaitu Ibnu Salamah) mengatakan dari Hisyam bin Urwah:

“Ayahku memberi fatwa demikian.”

Sanadnya sahih berdasarkan syarat Muslim dan memiliki hadis-hadis penguat yang 
telah saya (Syaikh al-Albani) sebutkan dalam at-Ta’liqat al-Jiyad dan juga 
ash-Shahihah (1354)”.

Ini adalah sebagai dalil bahawa seseorang yang mendapati fajar mulai terbit, 
makanan dan minuman masih di tangannya, maka masih boleh baginya makan. Allah 
berfirman:

“Makan dan minumlah kamu sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam 
iaitu fajar”. (al-Baqarah, 2: 187)

Tiada percanggahan di antara ayat ini dan hadis-hadis yang semakna dengannya, 
serta tidak ada ijma’ (kesepakatan) yang membantahnya. Bahkan sebilangan besar 
sahabat dan selain mereka menerima hadis ini dan berpendapat lebih dari itu, 
iaitu dibolehkannya makan sahur sehingga fajar tampak (kelihatan) jelas dan 
warna putih (terang) telah menyebar ke segala penjuru. (Lihat: Fathul Bari 
Syarah Shohih al-Bukhari, 4/109-110)

Dari pengertian hadis ini, dapatlah diambil pelajaran bahawa menetapkan adanya 
“waktu imsak” secara khusus sebelum masuknya subuh adalah perbuatan bid’ah 
(yang diada-adakan). Seandainya mereka mengetahui dan memahami rukhsah 
(kelonggaran) ini tentu mereka tidak melakukan bid’ah seperti ini (menetapkan 
adanya waktu imsak sebelum subuh). (Lihat: Tamamul Minnah fii Ta’liq ‘Ala 
Fiqhus Sunnah, m/s. 417-418)

Disusun oleh:
Nawawi B. Subandi
Penuntut Ilmu dan Penulis Blog


@Brother Nawawi
+60126887715
YM: nawi...@yahoo.com
MSN: dimens...@hotmail.com
http://an-nawawi.blogspot.com
http://galeriniaga.blogspot.com


                                          

Kirim email ke