BERITA MALAYSIA


September 27 , 1999 20:21PM

 

ENJIN HELIKOPTER TIDAK BERFUNGSI SECARA NORMAL

 

RAUB, 27 Sept (Bernama) -- Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa enjin helikoper Agusta A109E Power yang membawa Ketua Kumpulan dan Pengerusi DRB-Hicom, Tan Sri Yahaya Ahmad tidak berfungsi secara normal sebelum terhempas.

Timbalan Pengarah Bahagian Airworthiness, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Suhaimi Abdul Ghani berkata enjin yang tidak berfungsi secara normal itu tidak dapat memberikan kuasa kepada putaran kipas helikopter berkenaan.

Katanya putaran kipas akan membolehkan helikopter terbang tetapi apabila putaran itu terlalu perlahan atau dalam keadaan luar biasa, kipas itu akan terjungkit dan tidak seimbang.

"Apabila sampai ke tahap melebihi kekuatan struktur, kipas itu akan patah," katanya kepada Majistret Kamal Azira Hassan yang bertindak selaku Koroner pada siasatan inkues yang masuk hari keempat hari ini.

Suhaimi ialah saksi kelapan siasatan inkues terhadap kemalangan helikopter yang mengorbankan Yahaya, isterinya Puan Sri Rohana Othman dan juruterbang Mej (B) Azlizan Abdul Manas.

Inkues itu untuk menentukan punca tragedi berkenaan, sebab dan cara kematian semua mangsa dan sama ada kematian serta tragedi itu berlaku kerana apa-apa perbuatan atau pengabaian yang menyalahi undang-undang.

Helikopter Agusta A109E Power itu, milik Gadek Aviation Services Sdn Bhd, anak syarikat DRB-Hicom, terhempas pada 3 Mac 1997, di Kampung Atong, Jerangsang di Kuala Lipis, mengorbankan Yahaya, 51, Rohana, 49, dan Azlizan, 32.

Mubashir Mansor dan Trevor J.M Pandasian merupakan peguam pemerhati bagi pengeluar helikopter itu, Moses Susayan dan Datuk A. Ramiah bagi pihak estet dan keluarga Yahaya serta Rohana manakala Shakuntala Sharma pula ialah untuk DRB-Hicom.

Semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Shariff Abu Samah, Abdul Ghani, 48, berkata beliau pergi ke tempat kejadian pada 4 Mac 1997 dengan menaiki sebuah helikopter dan ternampak bangkai pesawat itu dalam keadaan pecah-pecah dan terbakar.

Katanya satu daripada empat bilah kipas helikopter yang terhempas itu berada antara 200 hingga 300 meter dari tempat helikopternya mendarat dan mempunyai kesan patah.

Tiga lagi bilah kipas helikopter yang ditemui di tempat kejadian turut mempunyai kesan patah. Bagaimanapun, tiada kesan yang menunjukkan kesemua bilah kipas itu telah tercabut, katanya lagi.

Berdasarkan penyiasatan yang dijalankan, beliau mendapati bilah-bilah kipas itu patah semasa helikopter berkenaan sedang berada di udara.

Suhaimi yang berpengalaman 19 tahun bersama DCA, turut terbabit dalam penyiasatan beberapa kes kemalangan udara termasuk kemalangan Skyvan di Sarawak, pesawat Cessna yang membawa bekas menteri luar Tan Sri Ghazali Shafie yang terhempas di Pahang, pesawat Jumbo Jet Syarikat Flying Tiger di Puchong dan pesawat Airbus MAS di Kampung Subang.

Antara bidang tugasnya di Bahagian Airworthiness DCA ialah urusan pendaftaran pesawat, pengeluaran kad akuan layak terbang pesawat dan pengeluaran lesen jurutera penyenggara pesawat.

Mengenai pesawat Agusta A109E Power itu, beliau berkata berdasarkan dokumentasi, helikopter itu layak membuat penerbangan pada hari ia terhempas.

Suhaimi menjelaskan perakuan layak terbang akan dikeluarkan setelah semua proses yang membabitkan kira-kira 30 keperluan dijalankan mengikut perundangan.

Antara syarat untuk pengeluaran perakuan layak terbang itu termasuk ujian layak terbang dan ujian radio penerbangan yang meliputi alat-alat navigasi serta perhubungan pada pesawat terbabit.

Beliau berkata perakuan layak terbang bagi pesawat Agusta A109E Power itu dikeluarkan pada 28 Dis 1996 setelah semua keperluan teknikal dipenuhi manakala tempoh akhir bagi perakuan layak terbang itu ialah pada 27 Dis 1997.

Siasatan inkues itu disambung esok. -- BERNAMA

blue.gif

Kirim email ke