Lebih 1,500 mahasiswa demo depan Masjid Ar-Rahman

Pasukan ping pong Israel dibantah

 




Sebahagian mahasiswa yang berhimpun secara aman membantah kedatangan pasukan ping pong Israel ke negara ini.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,500 pelajar universiti tempatan menyertai bantahan aman penyertaan pasukan ping pong Israel dalam kejohanan ping pong berpasukan dunia ke-45 di Kompleks Sukan Bukit Jalil 19-26 Februari lepas.

Dalam demonstrasi yang bermula selepas solat Jumaat di pekarangan masjid ar-Rahman berhampiran Universiti Malaya (UM) di sini, mahasiswa dari pelbagai universiti menjeritkan slogan dan membawa kain rentang yang bertulis slogan-slogan anti-Israel.

Di Wisma Putra, Pemuda PAS yang diketuai ketuanya, Mahfuz Omar pula menyerahkan memorandum bantahan kepada pegawai kanan kementerian tersebut.

Pada 4 April 1997, demonstrasi yang hampir sama diadakan di pekarangan masjid itu bagi membantah penyertaan pasukan Israel dalam pertandingan kriket di negara ini yang menyebabkan 52 daripada mereka ditahan polis termasuk Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar.

Kedatangan pasukan ping pong Israel dibantah

Hampir separuh daripada mereka yang menyertai perhimpunan petang Jumaat lepas adalah mahasiswi yang mula berkumpul di sekitar stesen LRT Kerinchi sejak awal sembahyang Jumaat lagi.


Mahfuz bersama pemimpin Pemuda PAS menyerahkan memorandum kepada pegawai kanan Wisma Putra membantah kedatangan pasukan ping pong Israel ke negara ini.

Kumpulan mahasiswa yang menunaikan solat Jumaat di masjid itu kemudiannya bergerak ke stesen LRT tetapi dihalang seketika oleh pasukan polis namun mereka berjaya meneruskan perjalanan untuk berkumpul di hadapan stesen LRT itu.

Ketika di pertengahan perjalanan, ada di kalangan mereka yang cuba membakar dua tayar yang tidak digunakan tetapi tidak berjaya.

Antara sepanduk yang dibawa bertulis, "Kami tidak rela bumi Malaysia dipijak oleh pembunuh" dan "Go to hell Israel".

Kumpulan pelajar itu kemudiannya diarahkan bersurai oleh polis kira-kira jam 2.35 petang tetapi mereka membantah. Bagaimanapun, kumpulan itu akhirnya bersurai selepas membaca doa beramai-ramai.

Setakat ini, tidak ada tangkapan dibuat oleh polis dan ke semua mereka yang menyertai demonstrasi bersurai dengan aman. Demonstrasi itu adalah yang pertama diadakan sejak pelantikan Menteri Pendidikan yang baru, Tan Sri Musa Mohamad.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), Ridzuan Mohd Noor kesal dengan sikap kerajaan yang tidak merasa bertanggungjawab untuk menghalang penyertaan pasukan ping pong Israel kerana sebelum ini bantahan dibuat terhadap penyertaan pasukan kriket Israel.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya menghormati perasaan umat Islam negara ini yang tidak menyenangi Israel berikutan tindakan mereka dalam menangani isu Palestin.

"Kita memuji tindakan mahasiswa yang mengadakan perhimpunan aman itu sebagai menandakan kebangkitan gerakan mahasiswa yang lebih bermakna kepada rakyat negara ini dan umat Islam," katanya .



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM

Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke