Haji Johari Adam
Mon, 03 Jul 2000 16:23:35 -0700
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
COLUMNS
July 1, 2000
DOTMAI
Hishamuddin Rais
Air liur politikus, idea
wartawan
Satu pekerjaan yang dilihat umum
sering melakukan kesilapan ialah
kerja mencari berita. Wartawan
selalu diberitakan melakukan
kesilapan melaporan berita di
akhbar. Kesilapan ini bukan sekali,
bukan sepuluh kali tetapi hampir
setiap masa.
Yang menjadi pelik tetapi benar
ialah fenomena "salah lapor berita"
ini terlalu kerap berlaku di Malaysia.
Di negara-negara lain, terutama di
negara yang kita kutuk sebagai
"rendah moral," kesilapan laporan
amat jarang berlaku.
Dengan kecanggihan teknologi,
pemberita kita telah dibekalkan
oleh pita rakaman. Lihat saja
imej-imej wawancara, temu ramah
atau sidang akhbar yang disiarkan
di kaca televisyen. Jelas kelihatan
puluhan alat rakaman yang tersusun
atau dihulurkan ke mulut ahli politik
yang sedang
berbicara.
Alat perakam bertujuan
mengelakkan daripada salah lapor
atau memetik kata-kata yang salah.
Justeru omong-omong atau
kenyataan yang menyatakan
pemberita salah lapor atau salah
petik berita ini tidak lagi boleh
diterima.
Jadi siapa yang benar dan siapa
yang salah dalam hal ini? Pemberita
salah dengar atau si polan yang
diwawancara salah cakap?
Di Malaysia ini, spesies manusia
yang selalu menyalahkan pemberita
dan wartawan ialah para menteri
dan ahli politik. Kebanyakan
menteri dan politikus di negara kita
ini kurang arif tentang gerak kerja
media.
Atau mereka sendiri tidak arif
tentang keupayaan alat rakaman
buatan Jepun. Atau mereka
sebenarnya spesies politikus buatan
Malaysia yang kurang arif: noktah.
Ketiga-tiga andaian ini benar dan
sah. Spesies politikus buatan
Malaysia ini jarang berfikir tentang
implikasi daripada ucapan,
kata-kata atau komentar politik
mereka. Sering mereka bercakap
mengikut ‘sedap mulut' sahaja.
Mulut lebih cepat ternganga
sehingga otak tidak sanggup
mengikuti pergerakan bibir dan
lidah.
Mungkin ini berlaku kerana spesies
politikus buatan Malaysia kerja asli
mereka hanyalah bercakap dan
berceramah sahaja. Kerana terlalu
kerap bercakap atau berceramah,
maka keupayaan berfikir tentang
konsep, falsafah atau analisa
sesuatu menjadi tabiat yang begitu
asing. Membaca mungkin jauh
sekali.
Mereka menganggap ceramah dan
sembang politik sebagai azimat
untuk membina negara. Sembang
dan ceramah politik yang bertaburan
ini pasti akan dipungut oleh
pemberita. Jika keesokan hari,
cakap kosong dan ulasan politik
mereka dicetak sebagai berita,
maka terbongkarlah kekosongan
kepala mereka.
Apabila sudah terbongkar, tiba-tiba
politikus menjadi bijak. Mereka
telah sedar akan implikasi sembang
politik mereka. Seperti seekor gajah
menyorok di belakang lidi, spesies
politikus buatan Malaysia ini akan
menafikan mereka pernah
menghamburkan "kata-kata bodoh"
tersebut.
Jalan pintas yang diterokai sejak
zaman berzaman oleh spesies
politikus buatan Malaysia ini ialah
menyalahkan para pemberita dan
wartawan. Dengan ‘muka sepuluh
sen' mereka mengeluarkan
kenyataan rasmi, kali ini bertulis,
bahawa tidak mungkin seorang
politikus
berjawatan penting dengan
tanggungjawab yang besar akan
mengeluarkan kata-kata yang tidak
masuk akal.
Perangai gajah menyorok di
belakang lidi ini bukan khusus untuk
politikus kerajaan. Politikus
pembangkang juga mempunyai
tabiat yang sama. Justeru, semua
spesies politikus buatan Malaysia
ini tidak mengira dari kumpulkan
mewarisi perangai yang sama.
Mungkin ada perbezaannya bagi
politikus pembangkang. Mereka
mempunyai perisai untuk
menyalahkan akhbar arus perdana
yang berkiblatkan parti kerajaan.
Menurut mereka, media arus
perdana tidak bersimpati kepada
mereka. Sayangnya, alasan ini agak
susah untuk diterima.
Politikus spesies pembangkang
terlalu sering menuduh hingga
berbuih-buih mulut mereka bahawa
media arus perdana tidak boleh
dipercayai. Media prokerajaan akan
memutar-belitkan kenyataan
mereka. Jika ini pandangan mereka,
maka kenapa pula sanggup
membenarkan wawancara oleh
akhbar tersebut? Bukankah ini satu
perbuatan yang sia-sia?
Dalam usaha mencari salah atau
benar kenyataan politikus,
wartawan dan akhbar juga wajib
melihat diri mereka sendiri.
Persoalan yang timbul ialah kenapa
wartawan sanggup menjadi tong
sampah yang menerima semua
kebodohan air ludah politikus?
Seharusnya mereka tidak berganjak
daripada kesahihan punca berita
mereka. Kesahihan ini boleh
dipertahankan oleh alat rakaman
atau buku catatan.
Di sini jelas kelihatan perangai dua
kali lima. Kesanggupan pemberita
dan akhbar Malaysia diperbodohkan
oleh politikus telah menjadi satu
seni. Seni pak sanggup wartawan
kini semakin sebati dengan air liur
politikus.
Ini menyebab para pemberita dan
wartawan Malaysia terlupa bahawa
di mana-mana saja di dunia ini -
kecuali di Malaysia - wartawan dan
penulis mempunyai tahap intelek
yang tinggi berbanding politikus.
Spesies politikus buatan Malaysia
hanya bertaraf tukang karut; tidak
lebih daripada itu.
HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang
manusia baru dengan roh yang
bebas. Pendukung dan pengembang
asal mazhab NGI
(non-governmental individual).
Dipengaruhi oleh fahaman Marxis
jenis Groucho. Lulusan dari sekolah
pemulihan pemikiran politik seperti
Melbourne Tellamarine Center,
Bombay Arthur Road, Ayer Molek
dan Dang Wangi. Dalam DOTMAI
beliau akan menulis isu-isu politik
semasa, filem, seksualiti hingga
kepada isu estetika kebosanan
hidup.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: "Haji Johari Adam" <[EMAIL PROTECTED]>