Bebaskan
Pejuang-pejuang Keadilan
[5]
Kami, isteri-isteri dan keluarga
terdekat tahanan ISA terus berusaha untuk membebaskan mereka. Walaupun hari ini
ada isteri yang telah dibenarkan berjumpa suami, usaha kami adalah usaha
berpasukan dan matlamat kami adalah untuk membebaskan mereka.
Kami telah memulakan langkah untuk
membawa hal ini terus ke Dewan Rakyat agar Dewan Rakyat meluluskan desakan
supaya polis membebaskan mereka segera tanpa syarat atau hadapkan mereka ke
mahkamah. Laporan penghantaran memorandum ini dimuatkan di akhbar tempatan.
Apabila kami sampai kami tidak dibenarkan masuk oleh Pegawai Keselamatan
Parlimen. Ini kali kedua kami dilayan di pondok pengawal, tetapi kali ini kami
bertegas menyatakan kami telah memberitahu Datuk Fadzil Noor akan kedatangan
kami. Kami diminta masuk ikut pintu belakang. Tetapi Datuk Fadzil Noor datang
bertemu kami dan menyatakan bahawa kami adalah tetamu beliau. Akhirnya kami
berjaya menghantar memorandum tersebut dan membuat kenyataan akhbar di lobi
Parlimen dan disokong oleh beberapa orang MP Pembangkang.
Lepas itu kami berjumpa Datuk
Zainal Abidin, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang sedang makan tengahari di
kantin Parlimen kerana kami dijemput makan oleh MP Barisan Alternatif.
Kenyataannya yang disiarkan akhbar Rabu 3 Mei antaranya "Orang yang ditahan
mengikut ISA bukan kerana mereka pembangkang, sebaliknya mereka melanggar
peraturan." Apakah peraturan yang telah tahanan ISA ini langgar dan tidak
bolehkah mereka dibicarakan dengan adil? Semua kenyataan beliau hanyalah
melepaskan batuk di tangga dan masih boleh dipertikaikan. Kami juga pergi
berjumpa setiausaha Yang DiPertua Dewan Rakyat untuk menyerahkan memorandum yang
sama dan kami nyatakan ini adalah amanah dan beliau diminta berjanji untuk
menyampaikannya.
Akta ISA adalah akta yang jelas bercanggah dengan hak
asasi manusia. Ia boleh diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu terutamanya
pemerintah untuk menakutkan rakyat berkata benar walaupun terdapat penyelewengan
kuasa pemerintah. Banyak lagi alasan mengapa ISA adalah undang-undang yang
zalim. Gerakan Mansuhkan ISA telah dilancarkan
pada 30 April bertujuan untuk memberi kesedaran kepada semua lapisan rakyat
kezaliman ISA ini dan seterusnya membebaskan semua tahanan ISA. Pamphlet, poskad
dan poster telah dilancarkan dan adalah menjadi tanggungjawab setiap warga
negara Malaysia yang cintakan keadilan dan bencikan kezaliman untuk menyertai
kempen ini. Kewujudan akta ini yang mencabul hak rakyat adalah amat memalukan
bagi sebuah negara seperti Malaysia yang mendakwa mengamalkan
demokrasi.
Hari Khamis pula, usaha kami berpasukan untuk menghantar
memorandum yang sama kepada Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri di
Putrajaya. Setiausaha kerja kami telahpun menelefon dan menghantar surat kepada
setiausaha mereka berdua akan kedatangan kami pada hari Khamis. Lagi sekali kami
telah dihalang untuk bertemu mereka. Kali ini kami, isteri-isteri, anak-anak,
abang serta adik tahanan ditahan beberapa meter dari pondok pengawal yang
canggih dan berhawa dingin. Kami terkejut kerana kami diserbu oleh ketua
sekuriti di tengah-tengah panas matahari. Kami katakan tidakkah kami boleh
berteduh di pondok yang canggih itu? Ini adalah pengalaman pertama saya
untuk melihat dari dekat pejabat Putrajaya. Saya begitu hairan, apakah
kedatangan rakyat biasa seperti kami ini tidak mendapat layanan yang berpatutan
dari pejabat-pejabat pentadbiran negara? Mula-mula dulu Bukit Aman, kemudian
Parlimen dan lepas tu Putrajaya? Akhirnya ketua sekuriti berkata bahawa beliau
diberi arahan. Mula-mula hanya seorang sahaja wakil boleh naik menyampaikan
surat tersebut. Kami kata, kami datang dari sepuluh keluarga tahanan dan kami
semua mahu bersama menghantarnya. Setelah berunding dalam suasana yang agak
tegang, mereka mengatakan hanya tiga orang sahaja. Kami masih tidak berganjak
dari permintaan asal kami. Akhirnya kedua-dua setiausaha kedua-dua menteri
tersebut turun berjumpa kami di pondok pengawal yang canggih itu dan penyerahan
surat hanya mengambil masa 10 minit. Kami sanggup menunggu hampir dua jam untuk
dapat menyerahkan memorandum tersebut. Jika dari awal mereka menyambut kami
dengan baik, tentu sekali nama PR Pejabat TPM dan PM tidak tercemar seperti yang
kami hadapi hari ini. Sebelum kami pulang, ketua sekuriti berkata dia diberi
arahan untuk menghalang kami di luar pondok pengawal. Alangkah malunya! Kami
hanyalah sekumpulan suri rumah yang tidak ada apa-apa kepentingan tetapi hanya
datang untuk menuntut keadilan dan kebebasan suami dan keluarga
kami.
Alhamdulillah sokongan kepada kami terus datang mencurah-curah.
Kami doakan rakyat terus berjuang menuntut keadilan demi negara yang kita
cintai. Kami yakin suami kami tidak bersalah dan tiada alasan mereka terus
ditahan.
Bebaskan mereka segera! Mansuhkan ISA
zalim!
Aliza Jaffar
(Ummu 'Urwah)
Isteri Saari
Sungib
4 Mei 2001