Onwards
Fri, 21 Jun 2002 00:07:19 -0700
Empat wartawan akhbar Cabaran dan majalah Tamadun yang ditahan di PWTC
KUALA LUMPUR: Empat wartawan akhbar Cabaran dan majalah Tamadun yang ditahan
di PWTC, petang semalam, dibebaskan dengan ikat jamin, jam 11.15 malam tadi,
selepas ditahan lebih lapan jam
Wartawan Tamadun, Rosmida Abdul Rahman bersama wartawan tabloid politik
Cabaran, Mohd Noor Abd Samad, jurugambar Rozani Morad dan pemberita sambilan
Haris Zulkapli ditahan di lobi dewan persidangan Umno kerana disyakki
mengedar risalah berkaitan salahguna kuasa dan amalan rasuah Menteri Besar
Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.
Semalam adalah hari pertama perhimpunan agung Umno, yang menyaksikan
presiden parti, Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan dasar.
Menurut Timbalan Ketua Polis Dang Wangi, Superintenden Khasni Mohd Noor,
hasil soal-siasat polis akan mempertimbangkan peruntukan undang-undang yang
sesuai untuk mengambil tindakan terhadap empat wartawan itu. Katanya, merekadisiasat mengikut Seksyen 8, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) pindaan
1987.
Menurut laporan sebuah akhbar harian, dua risalah yang diedarkan di beberapa
kawasan berasingan di sekitar PWTC, termasuk pusat media bertajuk "Tolak
Rasuah, Tolak Khir, Tolak Umno" dan "Khir Toyo Bapa Rasuah". Turut dirampas
ialah cakera padat video bertajuk Skandal MB.
Apabila dihubungi, Rosmida berkata, beliau ditahan oleh sekumpulan anggota
Gerak Gempur Pemuda Umno, selepas beliau cuba menemubual Penolong Setiausaha
Pemuda Umno, Zulkifli Alwi. Sebelum itu, beliau telah berjaya mendapatkan
beberapa pendapat pimpinan Umno, bukan saja mengenai isu salahguna kuasa Dr
Khir Toyo tetapi juga isu-isu pendidikan, daripada Setiausaha Parlimen
Kementerian Pendidikan, Dr Mahadzir Mohd Khir dan Presiden GPMS, Suhaimi
Ibrahim.
Zulkifli kemudiannya dikatakan telah mengarahkan lima anggota Gerak Gempur
Pemuda Umno mengikuti jejak Rosmida, yang kemudiannya menahan !
beliau bersama
anggota polis yang bertugas di PWTC . Bagaimanapun, ketika ditahan tiada
sebarang risalah yang diperolehi daripada Rosmida.
"Tujuan saya hanyalah untuk mendapatkan respons pemimpin Umno, bukan saja
dalam isu rasuah Khir tetapi isu-isu lain yang relevan. Dan saya bersama
tiga wartawan lain yang turut ditahan itu mempunyai pas akhbar yang
dikeluarkan oleh pihak urusetia persidangan Umno," tambahnya.
Bagaimanapun, meneliti laporan media yang menyiarkan berita tentang
penahanan Rosmida dan tiga wartawan itu, tidak satu pun akhbar yang
memperkenalkan mereka sebagai wartawan. Lebih menjolok mata bila Utusan
Malaysia mendakwa keempat-empat mereka adalah "empat pelajar lelaki institut
pengajian tinggi".
Selain itu, Rosmida turut hairan mengapa telefon bimbitnya turut dirampas
sedangkan ia bukanlah bahan kes. "Sebagai wartawan, saya amat memerlukan
telefon bimbit itu kerana banyak nombor telefon orang yang perlu saya
hubungi h!
anya disimpan di dalamnya," tambahnya kesal.
Katanya, pagi tadi, beliau cuba untuk mendapatkan semula daripada pegawai
penyiasat kesnya, Inspektor Abdul Aziz Harun, dari Ibu Pejabat Polis Daerah
Dang Wangi. Bagaimanapun pegawai bertugas memaklumkan Aziz bercuti.
Menurut Rosmida, apabila diminta alasan mengapa telefon bimbitnya perlu
dirampas, pegawai berkenaan berkata, ia mungkin untuk memudahkan proses
siasatan bagi "mengenal pasti siapa yang menghubungi awak".
Difahamkan pihak polis cukup berminat untuk mengetahui siapa sebenarnya
tokoh-tokoh Umno yang disyakki mendalangi usaha Ahmad Lutfi Othman
mendedahkan kes rasuah Khir Toyo secara berterusan. Setakat ini Lutfi sudah
lebih enam kali membuat aduan rasmi kes rasuah Menteri Besar Selangor itu ke
ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) sama ada di Putrajaya ataupun Shah
Alam.
Ketika dihubungi untuk mendapat keterangan lanjut, Ahmad Lutfi berkata
beliau akan membuat kenyataan akhbar m!
engenai perkara itu petang nanti.