hizb  

H-Net* Fwd: Rasuah ini bukti munafiknya Umno

Onwards
Fri, 21 Jun 2002 00:07:49 -0700

Rasuah ini bukti munafiknya Umno
Oleh DINSMAN
BAHAGIAN PERTAMA
"RASUAH dan salahguna kuasa Dr Mohd Khir Toyo adalah contoh bagaimana
menteri-menteri Barisan Nasional melakukan rasuah, penyelewengan dan
salahguna kuasa."
Kata-kata ini diucapkan Ahmad Lutfi Othman dalam satu ceramahnya di kediaman
Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Ismail, di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Saya tidak ingat lagi bila tarikhnya, tapi di sekitar waktu kes rasuah Khir
Toyo mula didedahkan. Agaknya selepas akhbar Memo14 diterbitkan. Kisah
pendedahan rasuah dan salahguna kuasa Menteri Besar Selangor yang paling
muda ini memang satu kisah yang cukup menarik. Menariknya kerana ia
didedahkan dengan segala butiran dokumen dan bukti yang menyokong kesahihan
dakwaan. Menariknya kerana pendedahan dibuat oleh seorang individu yang
menampilkan dirinya dengan penuh berani dan tanggungjawab untuk mengambil
sebarang risiko yang mungkin timbul.
Menariknya kerana selepas membuat aduan pertama kepada Badan Pencegah Rasuah
(BPR), pengadunya Ahmad Lutfi Othman terus mengunjungi Ibu Pejabat BPR di
Putrajaya dan Pejabat BPR di Shah Alam dari semasa ke semasa, mengemukakan
dokumen-dokumen baru bagi menguatkan lagi dakwaannya dan agar membantu pihak
BPR menjalankan siasatan.
Bukti rasuah paling lengkap
Sejauh pengetahuan saya inilah aduan rasuah dan salahguna kuasa yang paling
lengkap dengan butiran-butiran dokumen dan bukti, pernah dibuat kepada BPR.
Cukup menarik kes ini. Bukan sahaja disokong dengan pelbagai dokumen dan
bukti, bahkan pendedahannya dibuat secara yang begitu lengkap; dalam bentuk
tulisan demi tulisan, risalah demi risalah, VCD demi VCD dan juga poster.
Apa lagi yang diperlukan oleh pihak BPR bagi membantu mereka menjalankan
penyiasatan? Ahamad Lutfi bukan sahaja bersedia pada bila-bila masa sahaja
untuk membantu, bahkan dia sendiri atas inisiatifnya seorang individu,
menerbitkan VCD yang secara visual menunjukkan bukti-bukti (atau
sekurang-kurangnya apa yang beliau anggap sebagai bukti) secara terperinci,
bagi membenarkan dakwaannya bahawa Khir Toyo telah melakukan rasuah dan
penyalahgunaan kuasa dengan begitu rakus sekali.
Dia mendakwa Khir selaku Pengerusi PKNS membeli tanah tapak banglo milik
PKNS di Bandar Baru Bangi dengan cara menyalahgunakan kuasa; lalu VCD
menunjukkan Lutfi dan kumpulannya pergi mencari lokasi tapak banglo tersebut
dan menemuinya di lokasi seperti alamat yang disebut dalam dokumen rasmi
berkaitan.
Dia mendakwa Khir meluluskan tanak seluas 50 ekar seorang kepada empat orang
anak muda yang antaranya mengatakan mereka tak tahu menahu pun dengan
perkara tersebut; lalu VCD menunjukkan krew Lutfi pergi mencari dan
menemukan rumah-rumah anak-anak muda tersebut, seperti alamat yang tercatat
dalam dokumen rasminya, yang antaranya termasuk rumah seorang Pegawai Daerah
(D.O).
Dia mendakwa Khir menipu rakyat apabila dia (Khir) menghadiahkan ayam dan
telur ayam yang dibelinya dari suatu perusahaan ayam di Sabak Bernam padahal
perusahaan ayam yang dikatakannya itu tidak pernah wujud pun; lalu VCD
menunjukkan visual Lutfi dan kumpulannya pergi ke tapak yang didakwa itu dan
mendapati yang ada hanyalah satu papan tanda dan kawasan lapang yang
terbiar, tetapi tidak ada sedikit pun tanda-tanda di situ pernah ada
perusahaan ayam.
Dia mendakwa Khir meluluskan projek jalan merentasi bendang di Tanjung
Karang dengan harga yang berlipat ganda daripada kos sebenar; lalu VCD
menunjukkan visual Lutfi dan kumpulannya melawat ke tapak kawasan jalan yang
sedang dibina itu. Dan seterusnya, dan seterusnya, dan akhirnya dia
menerbitkan buku.
Apa lagi yang diperlukan? Apa lagi yang diperlukan oleh sebuah agensi
pencegah rasuah negara untuk membolehkan ia mengambil tindakan ke atas orang
yang didakwa apabila segala dokumen dan bukti telah dikemukakan sedemikan
rupa?
Apa lagilah yang diperlukan! Tidak ada apa lagi yang diperlukan, kerana apa
yang telah dikemukakan oleh Lutfi itu pun sudah lebih daripada mencukupi.
Pihak BPR bertindak atau tidak, itu adalah urusan mereka. Mereka boleh
bertindak dan mereka boleh tidak bertindak. Dan sekarang jelaslah kepada
kita bahawa mereka tidak mahu bertindak.
Biarlah apa pun yang dikatakan oleh Rais Yatim, menteri yang ditugaskan
untuk perkara yang berkaitan dengan ini. Dia seolah-olah mengkritik pihak
kerajaan sendiri kerana tidak meneruskan pendakwaan kepada pihak-pihak
tertentu, yang mungkin termasuk kes ini atau mungkin tidak. Lalu TPM
Abdullah Badawi pun beri responslah seperti kebiasaan dia. Tak ada makna
apa-apa. Dan PM Mahathir pun beri respons juga seolah-olah tak bersetuju
dengan Rais. (Tapi percayakah kita bahawa orang seperti Rais itu berani
melakukan sesuatu yang Mahathir tak akan setuju?)
Lagi berani rasuah, lagi sayang PM
Khir Toyo pun terus seperti Khir Toyo juga. Seolah-olah tidak pernah ada
pendedahan mengenai amalan rasuah dan salahguna kuasa olehnya. Lalu lahirlah
kata-kata ini dalam iklan VCD skandal rasuah Khir Toyo dalam akhbar Memo21
dan Memo22:
"Dua VCD ini membuktikan rasuah membarah teruk dalam institusi Menteri Besar
Selangor. Juga membuktikan kerajaan Umno munafik dalam membanteras rasuah.
Lagi berani Khir Toyo merasuah, lagi suka PM Mahathir dengan dia."
Demikianlah "saya melihat kes rasuah yang dibawa oleh Lutfi ini telah
melalui beberapa fasa atau dimensi yang perlu diberi perhatian. Pertama, di
peringkat awal, apabila Lutfi mula mendedahkan skandal ini, saya tertarik
dengan satu kenyataannya iaitu seperti yang disalin di permulaan tulisan ini
"bahawa kes rasuah dan salahguna kuasa ini bukan khusus Khir Toyo sahaja,
tetapi merupakan "contoh bagaimana menteri-menteri Barisan Nasional
melakukan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa," khasnya Menteri Besar
dan Ketua Menteri.
Inilah yang ditekankan oleh Lutfi di peringkat awal pendedahannya. Atau
inilah aspek yang membuatkan saya jadi tertarik kepada kisah ini. Lutfi
mengatakan apa yang ditemuinya dalam kes Khir Toyo adalah satu modus
operandi bagaimana Menteri Besar dan Ketua Menteri Umno menggunakan kuasa
jawatan mereka untuk mengumpul kekayaan buat diri mereka dan keluarga serta
kroni mereka.
Yang didedahkannya secara terperinci ialah kes Khir Toyo. Tetapi bukan Khir
Toyo sahaja seorang menteri yang rakus harta. Menteri-menteri Umno yang lain
pun sama sahaja. Begitulah cara mereka menipu, menyeleweng dan
menyalahgunakan kuasa, demi mengumpul kekayaan, dan dalam masa sama
mempertahankan kuasa mereka.
Institusi Menteri Besar dan Ketua Menteri memang menyediakan peluang begitu
untuk mereka mengumpul harta kekayaan. Dan harta kekayaan, bagi Umno, adalah
sebahagian daripada kekuasaan.
Jadi, ternampak kepada saya waktu itu, waktu saya mendengar Lutfi berceramah
di kediaman Wan Azizah itu, (saya berada sebaris dengan para penceramah
kerana saya dijemput membaca puisi di majlis itu), bahawa sasaran pendedahan
Lutfi tidak akan terhenti dengan Khir Toyo.
Sasaran sebenar beliau ialah Institusi Menteri Besar dan Ketua Menteri.
Bukan sahaja Khir Toyo. Kerana sesiapa sahaja pimpinan Umno yang duduk di
kerusi itu, dia akan buat cara yang sama. Sebelum Khir Toyo, Abu Hasan Omar.
Sebelum itu, Ahmad Razali. Sebelum itu, Harun Idris. Semuanya rasuah.
Apa yang berlaku di Selangor, juga berlaku di negeri-negeri lain. Saya
menjangkakan selepas itu Lutfi mungkin akan mendedahkan pula rasuah dan
salahguna kuasa Menteri Besar Negeri Sembilan, misalnya.
Maka apabila VCD pertama mengenai rasuah Khir Toyo hendak disiapkan, saya
memilih "Skandal MB" sebagai judulnya, tanpa menyebut nama Khir Toyo
walaupun gambar muka Khir Toyo dijadikan hiasan latar.
Manakala di sebelah belakangnya diletakkan gambar Lutfi berdiri di hadapan
pejabat BPR, dengan dibesarkan kata-kata kenyataan oleh Lutfi: "Rasuah dan
salahguna kuasa Dr Mohd Khir Toyo adalah contoh bagaimana menteri-menteri
Barisan Nasional melakukan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa."
Kebetulan waktu itu menjelang pilihan raya kecil DUN Indera Kayangan,
Perlis. Maka VCD itu pun disasarkan untuk dijual di sana, di Kangar.
Dalam suasana kesibukan kempen pilihan raya di Kangar itu jugalah VCD itu
dilancarkan oleh Datuk Dr Hasan Ali, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri
Selangor. Lutfi juga turut berceramah sempena kempen itu, mempromosi VCD
"Skandal MB" di Kangar.
Berebut-rebut beli VCD rasuah Khir
Menggalakkan juga sambutan terhadap VCD "Skandal MB" di Kangar itu. Idea
bahawa pendedahan kes MB Selangor itu hanya sebagai contoh bagaimana
menteri-menteri BN melakukan rasuah, nampaknya diterima oleh orang ramai.
Kemudian, tak berapa lama selepas itu saya menyaksikan bagaimana kisah
rasuah dan salahguna kuasa MB Selangor ini boleh menjadi bahan ceramah yang
menarik, di suatu kawasan di luar Selangor, iaitu di Temerloh, Pahang.
Penceramahnya ialah Dr Hasan Ali (yang turut berperanan aktif membuat
pendedahan di dalam VCD tersebut), Apabila diumumkan VCD "Skandal MB" ada
dijual di situ, saya menyaksikan sambutan yang luar biasa daripada orang
ramai. Berebut-rebut membeli VCD itu.
Masa berlalu. Khir Toyo nampaknya semakin kukuh kedudukannya apabila Dr
Mahathir melantiknya menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, mengambil
alih jawatan itu daripada Tan Sri Muhamad Taib. Bukannya Mahathir hendak
mengambil tindakan ke atas Khir Toyo kerana perbuatan rasuah dan salahguna
kuasanya didedahkan kepada rakyat, sebaliknya Mahathir menyatakan
kesukaannya pula dengan menaikkan pangkatnya. Demikianlah budaya Umno yang
dibina dan dipupuk oleh Mahathir.
Menterinya rasuah, menyeleweng, salahguna kuasa "tak mengapa. Asalkan kamu
mahu dengar cakap aku, tak ada orang boleh sentuh kamu. Buatlah apa pun.
Pandai-pandailah mengatur pembangunan negeri. Selagi kamu patuh kepada aku,
kamu selamat. Nak rasuah serakus mana pun, kalau kamu pandai, rasuahlah. Aku
tak peduli."
Itu Dr Mahathir. Kita tak tahu dengan pasti sejauh mana BPR telah
menjalankan tugas mereka dalam kes Khir Toyo ini. Kata orang, BPR
menjalankan penyiasatan dan laporan hasil siasatan akhirnya diletakkan di
atas meja Mahathir. Dari situ, Mahathirlah yang menentukan segala-galanya.
Kalau dia tak mahu apa-apa tindakan diambil ke atas Khir, walaupun siasatan
BPR menunjukkan ada bukti Khir merasuah, kes itu akan diam di situ sahaja.
Habislah cerita setakat itu. Kata orang.
Tetapi Lutfi nampaknya tak mahu diam sampai setakat itu sahaja. Dia terus
dengan agendanya mencari apa-apa lagi bukti dan dokumen yang ada, dan
mendedahkannya kepada rakyat umum melalui pelbagai media yang boleh
digunakan… sehinggalah Khir Toyo berundur atau diundurkan dari kerusi MB
Selangor.




COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Sign-up for Video Highlights of 2002 FIFA World Cup
  • H-Net* Fwd: Rasuah ini bukti munafiknya Umno Onwards