Tidakkah jerebu juga tentera Allah?  
Subky Latif,   24 Jun
2013  
 
“Sebelum yang tidak beriman mendapat petunjuk, orang yang
beriman itulah yang mesti insaf dan taubat dulu.”
 
APAPUN kerosakan di laut, di darat dan di udara seperti
jerebu adalah justeru gatal tangan manusia, demikian kira-kira maksud ayat 41
surah ar-Rum.
 
Maka jerebu yang melanda Singapura, Malaysia dan apa lagi
Sumatera sebagai pusat punca yang mengeluarkan asap itu adalah hasil perbuatan
manusia rakus mahu memunggah kekayaan bumi Sumatera yang sebanyak-banyak secara
senang melakukan pembakaran.
 
Siapa manusia itu tidak penting, biarlah Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkannya.
 
Pembakaran yang mulanya untuk tujuan ekonomi telah bertukar
menjadi bala umum bagi sekurang-kurangnya tiga buah negara Asean berbentuk
asap. Asap yang banyak itu memenuhi udara menjadi jerebu siang sentiasa redup
dan di setengah tempat siang itu sentiasa seperti senja.
 
Tidakkah jerebu itu pula satu bentuk tentera Allah yang
dikirim-Nya bagi memberi amaran kepada manusia?
 
Seperti Allah menjadikan tentera-Nya dalam bentuk seekor
nyamuk bagi membinasakan Namrud, maka jundullah dalam bentuk jerebu itu adalah
amaran awal kepada kemaksiatan manusia dan ujian bagi orang yang amal soleh.
Bala untuk umat Muhammad SAW tidaklah membinasakan manusia seluruhnya seperti
yang dialami oleh umat sebelumnya, justeru janji Allah kepada baginda sebagai
pengirimannya adalah rahmat kepada seluruh, maka umatnya tidak akan mengalami
bala sepahit kaum Nuh, Aad, Tsamud dan lain-lain.
 
Tentera asap telah dirakamkan dalam al-Quran dalam surah
Ad-Dukhan, betapa asal tebal berkepul-kepul telah melanda bumi mengancam
musyrikin Makkah. Tentera asap itu bukan sekadar menyesakkan nafas manusia dan
boleh mendatangkan penyakit, malah asap atau jerebu itu, memanaskan udara
sekalipun redup, tetapi ia mengakibatkan kemarau bagi wilayah yang Allah hukum.
 
Apakah gara-gara yang dialami oleh kemarau? Tumbuhan dan
tanaman tidak menjadi. Ia menyempitkan rezeki manusia dan binatang. Manusia
putus minuman kerana tiada sumber air, putus bahan makanan kerana tanaman tidak
menjadi. Apabila binatang baik ternakan dan yang liar mati kelaparan, akhirnya
tiada apa yang manusia dapat makan kecuali pasir.
 
Tentera jerebu yang melanda tiga wilayah Asean itu mungkin
memulakan proses kiamat. Ia mungkin dapat diatasi atas penguasaan manusia atas
ilmu teknologi, dan atas doa orang-orang soleh, tetapi ia adalah ayat-ayat
Allah sebagai amaran kepada kerakusan manusia.
 
Orang yang melakukan pembakaran itu tentulah berdosa. Mereka
bukan sekadar dihukum Allah semasa di dunia dan di akhirat, kerajaan juga akan
menghukum mereka. Tetapi dosa mereka yang membakar itu menimpa lain-lain orang
yang tidak membakar dan orang yang tidak merebut kekayaan di Sumatera.
 
Orang miskin Singapura dan Malaysia tidak ada apa-apa
kepentingan dengan pembakaran di Sumatera itu, tetapi apakah dosa mereka, maka
mereka menerima azab dari kesan jerebu itu?
 
Pemimpin dan pemerintah ke tiga wilayah yang terlibat perlu
bertanya apakah dosa masyarakat masng-masing, dosa kerajaan dan dosa para
pemimpin itu sendiri menyebabkan Allah turunkan jerebu itu. Orang yang membakar
hutan itu adalah penyebab kepada jerebu itu, jerebu itu adalah bala yang Allah
turunkan berpunca dari pembakaran itu.
 
Kadang-kadang kebakaran bukan kerana ada pembakaran, tetapi
oleh gara-gara pembuangan puntung rokok. Apakah manusia selain dari menghukum
orang yang gatal tangan dan mengikhtiarkan kaedah mengatasinya, sedia muhasabah
akan sebab Allah turunkan bala itu?
 
Pakar teknologi boleh menanam benih awan  dan hujan, orang soleh boleh solat 
minta
hujan, tetapi apa peranan ulama dan sekalian orang yang beriman menyampaikan
dakwah, bahawa jerebu itu bukan sekadar gara-gara Riau terbakar, tetapi ia
adalah mesej Allah supaya manusia kembali kepada ajarannya. Sebelum yang tidak
beriman mendapat petunjuk, orang yang beriman itulah yang mesti insaf dan
taubat dulu.
 
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/20266-tidakkah-jerebu-juga-tentera-allah
 

Kirim email ke