MERAYAKAN VALENTINE'S DAY (2/2)
Bismillah, Walhamdulillah
Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman
Walaah
Apa pandangan Islam?
VALENTINE'S Day atau
'Hari Kekasih' sebagaimana yang difahami ialah hari di mana dua orang yang
berkasih sayang atau sepasang kekasih yang bercinta meraikan percintaan dan
kasih sayang. Budaya ini disambut setiap tahun pada 14 Februari.
Tidak dinafikan manusia suka dikasihi dan mengasihi di antara satu sama lain.
Golongan remaja adalah golongan yang sering kali dikaitkan dengan soal
percintaan. Cuma lumrahnya mereka mudah terikut-ikut serta taksub dengan
pengaruh yang dibawa oleh orang-orang barat.
Ruangan Irsyad hukum
kali ini akan membicarakan sama ada Valentine's Day munasabah disambut sebagai
hari kekasih atau tidak.
Mengikut beberapa sumber, Valentine
adalah nama bagi seorang paderi Kristian yang giat menyebarkan agama tersebut di
Rom ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Pada masa
pemerintahannya, Claudius II telah memenjarakan orang-orang Kristian kerana
mengamalkan agama yang bertentangan dengan agamanya. Oleh kerana Valentine
seorang penyebar agama Kristian, beliau juga telah ditangkap dan diseksa di
dalam penjara.
Walaupun berada dalam penjara, Valentine tetap
berusaha mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan
penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara melepaskan diri dari
penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Raja Rom dan beliau diseksa dan
akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari.
Orang-orang Kristian
menganggap bahawa Valentine merupakan seorang yang mulia kerana sanggup
berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan
penganut-penganutnya. Beliau disamakan dengan Jesus yang kononnya mati kerana
menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.
Valentine bagi penganut
agama Kristian adalah lambang kasih sayang sejati di antara seorang hamba dengan
tuhannya dan dengan sesama manusia. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam
penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan
di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta
kepada gadis tersebut yang bertandatangan 'From your Valentine' (Daripada
Valentinemu).
Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14
Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian
paderi mereka Valentine.
Berdasarkan penerangan di atas, adalah
jelas bahawa tidak ada istilah Hari Kekasih atau Valentine's Day dalam Islam.
Hakikatnya, adalah tidak boleh orang-orang Islam menyertainya kerana hari
tersebut adalah hari perayaan bagi orang-orang Kristian.
Memang
Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang di antara satu sama
lain akan tetapi untuk meluahkan kasih sayang di antara seorang lelaki dan
perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak bukan yang
menggalakkan kepada perkara-perkara yang mendorong atau merangsang kepada yang
dilarang dan maksiat.
Realitinya, Islam adalah agama yang
praktikal, bukan mengongkong. Islam agama yang mengatur kehidupan dengan lebih
sempurna. Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih sayang di antara
umatnya.
Dalam Islam ada tiga kategori kasih; pertama, kasih
Pencipta (Allah Subhanahu wataala) kepada hamba-Nya; kedua, kasih hamba kepada
Pencipta dan ketiga, kasih makhluk sesama makhluk.
Banyak ayat-ayat
Al-Quran dan hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyatakan mengenai hikmat
dan besarnya faedah berkasih sayang.
Allah Subhanahu wataala
menjelaskan tentang keagungan nikmat-Nya kepada ma-khluk-Nya melalui nikmat
kasih sayang; yang tafsirnya:
"Dan (Dialah) yang menyatupadukan di
antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta
benda) yang ada di muka bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di
antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati)
mereka." (Surah Al-Anfaal: 63).
Dan tafsirnya
lagi:
"Lalu Allah menyatukan di antara hati (sehingga kamu bersatu
padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu
orang-orang Islam yang bersaudara." (Surah Ali Imran: 103).
Dengan
penjelasan ayat di atas bahawa Allah Subhanahu wata'ala sangat mencela dan
mengingatkan dengan keras tentang perpecahan sesama makhluk. Allah Subhanahu
Wataala juga memerintahkan umat Islam supaya sentiasa berpegang teguh dengan
agama Allah dan dilarang berpecah belah dan bermusuhan.
Kasih
sesama makhluk pada sifatnya adalah tidak kekal, ia bergantung kepada keadaan,
tetapi kasih hamba kepada pencipta-nya dengan iman dan takwa, manakala kasih
Pencipta kepada hamba berkekalan. Hal in jelas sebagaimana firman Allah
subhanahu wataala yang tafsirnya
"Katakanlah (Wahai Muhammad):
"jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu
serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi
Maha Mengetahui." (Surah Ali Imran: 31).
Oleh itu sebaik-baiknya
hendaklah setiap orang Islam khasnya golongan remaja tidak terikut-ikut dengan
budaya 'Hari Kekasih' yang dicipta oleh orang-orang Kristian, sebaliknya
hendaklah menumpukan masa dan waktu kepada Allah Subhanahu Wataala dengan
melakukan apa jua pekara yang mendatangkan manfaat yang matlamat akhirnya
menghidupkan cinta kepada Allah Subhanahu Wataala. ***
[Non-text
portions of this message have been removed]