Salam kepada Sdr Edi dan rakan-rakan semua,

  Saya merasa terpanggil untuk mengulas tentang tanggapan serong
banyak pihak terhadap subjek kesusasteraan yang diajar dalam sistem
pendidikan negara selama ini. kebetulan, saya juga pernah bercakap
tentang hal ini kepada khalayak sebelum ini. Pandangan saya adalah
seperti berikut: Pendidikan merupakan satu proses pemerolehan dan
pemindahan pengetahuan, nilai murni dan kemahiran yang berlangsung
secara berterusan dalam diri seseorang, semenjak kecil sehinggalah ke
akhir hayat (/life long learning/). Ia merupakan satu proses dengan
kaedah-kaedah yang tertentu sehingga seseorang memperolehi
pengetahuan, pemahaman, tingkah laku dan amalan yang sesuai dengan
keperluan serta kehendak golongan yang melaksanakan pendidikan.
Encyclopedia  mentakrif pendidikan sebagai /'to draw out',
facilitating realization of self-potential and latent talents of an
individual. It is an application of pedagogy, a body of theoretical
and applied research relating to teaching and learning and draws on
many disciplines. Ini bermakna, pembangunan modal insan menekankan
tentang pentingnya membentuk manusia yang sedia ada kepada yang lebih
sempurna, lebih baik, dan memiliki ciri-ciri keinsanan atau
kemanusiaan./..  Istilah pembangunan boleh difahami dari pelbagai
perspektif, tapi maksudnya sama; untuk memberi kesejahteraan kepada
kehidupan manusia. Pembangunan tidak semata-mata dilihat dari sudut
ekonomi atau sains dan teknologi, tapi perlu juga dilihat dari segi
budaya, cara hidup dan sebagainya. Modal insan (/human capital/)
pula adalah merujuk kepada soal-soal keprofesionalan pengurusan
sumber manusia, atau /a way of defining and categorizing peoples
skills and abilities as used in employement and as they otherwise
contribute to the company/   Untuk memahami tentang peranan sistem
pendidikan di Malaysia, boleh dirujuk kepada Falsafah Pendidikan
Negara (FPN) yang menjadi teras dan tunjang bagi semua aktiviti dan
program pendidikan. Pernyataan peranan atau matlamat sistem
pendidikan tersebut adalah meliputi semua tahap; rendah, menengah dan
tinggi. Hal tersebut telah diungkapkan secara jelas dalam pernyataan
yang berbunyi:  Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang
berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara.    (/Huraian Sukatan
Pelajaran/,1988:V)   Pernyataan di atas jelas menggariskan objektif
yang ingin dicapai oleh sistem pendidikan negara. Dari segi sahsiah,
pendidikan bertujuan melahirkan individu yang seimbang pada domanin
kognitif, afektif, dan psikomotor atau unsur intelek, rohani, emosi
dan jasmani. Di samping itu, pendidikan juga bermatlamat untuk
melahirkan rakyat negara ini yang dilengkapi dengan ciri-ciri
berkualiti sebagai insan, iaitu insan yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri serta berupaya pula memberi sumbangan
kepada keluarga, masyarakat dan negara. FPN ini merupakan asas
pelaksanaan sistem pendidikan di Malaysia, yang turut menggariskan
kaedah yang berterusan, menyeluruh dan bersepadu.  Hal ini
menunjukkan bahawa pembinaan individu yang dihajati perlulah berlaku
secara terus menerus dan tanpa putus, di samping berlaku secara
menyeluruh, merentasi dan berpadu tanpa pemisahan dengan kurikulum
lain.    Kepentingan soal pembinaan dan pembangunan modal insan ini
juga telah ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Badawi melalui pembentangan Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK-9) yang
mensasarkan pembangunan modal insan sebagai teras utama pembangunan
negara, khususnya dalam mencapai impian Wawasan 2020. Dalam konteks
tersebut, fokus diberikan kepada tiga strategi utama untuk melahirkan
modal insan kelas pertama, iaitu meningkatkan keupayaan dan penguasaan
ilmu, mengukuhkan keupayaan sains; penyelidikan dan pembangunan (R&D)
serta inovasi; dan memupuk masyarakat berbudaya serta memiliki
kekuatan moral. Walau bagaimanapun, perbincangan tugasan ini akan
memberi perhatian khusus terhadap fungsi atau peranan sistem
pendidikan negara dalam mengesahkan pembanguanan modal insan dalam
konteks Malaysia. Bukti-bukti yang dikemukakan dan dibincangkan di
sini adalah berdasarkan pengalaman dan penelitian, khususnya daripada
perspektif kurikulum kesusasteraan Melayu.       Peranan pendidikan
khususnya berdasarkan contoh-contoh pengajaran dan pembelajaran
kurikulum kesusasteraan Melayu, adalah jelas mengarah kepada matlamat
atau objektif yang digariskan oleh FPN. F.R. Leavis seorang sarjana
sastera di Universiti Cambridge (1937-1962) dalam bukunya /Education
and the Univesity/ (1971) menegaskan bahawa pengajian kesusasteraan
sepatutnya menjadi inti pengajian kepada semua pengetahuan yang
diajar di universiti, dengan alasan bahawa ianya penting untuk
meninggikan peradaban bangsa daripada pengajian kejuruan atau
vokesional. Kepentingan yang sama turut ditegaskan oleh Probst (1987)
dengan menyatakan, /Literature provides us not knowledge ready-made
but the opportunity to make knowledge. And it is knowledge not about
things  those it leaves to scientists and engineers  but about
relationships and values and purpose. It is the kind of knomledge
that each individual is responsible for/. Pernyataan ini menekankan
tentang peluang-peluang untuk mendapatkan pengetahuan, tentang
hubungan dan nilai serta tujuannya yang menjadi keperluan bagi setiap
individu. Di Amerika Syarikat misalnya, pendidikan kesusasteraan
dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah sejak kurun ke 18 dengan
tertubuhnya /Franklins Philadelphia Academy/ (1751) dengan asas
../the consideration of literature as a source of vicarious
experience which could be used to aid student in better character and
better social judgement./ Sehingga ke hari ini ilmu-ilmu sastera
masih terus diajar di Barat, termasuk di Universiti Harvard.    Di
Malaysia, reka bentuk kurikulum pendidikan kesusasteraan yang telah
diajar di peringkat sekolah kini diimplimentasi secara wajib melalui
KomSas (Komponan Sastera) dalam subjek Bahasa Melayu. Melalui Komsas,
semua pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima tanpa mengira
aliran pengajian atau etnik akan menerima pendidikan kesusasteraan
kerana Bahasa Melayu merupakan subjek wajib. Langkah yang diambil
oleh pihak kerajaan ini kerana berkeyakinan bahawa ilmu kesusasteraan
dapat menyumbang ke arah pembangunan manusia dari sudut spiritual.
Sementara di peringkat pengajian tinggi, pendidikan kesusasteraan
diajar dalam program-program pengajian di beberapa buah universiti
utama di negara ini, termasuk di Universiti Malaya, Universiti
Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putera Malaysia. Bentuk
kurikulum yang digubal di peringkat sekolah dan pengajian tinggi,
sebahagian besar adalah mengarah kepada pencapaian matlamat dalam
FPN, iaitu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dalam
pelbagai aspek, meliputi intelek, rohani, emosi dan jasmani.    Unsur
INTELEK merupakan satu unsur utama dalam sesebuah karya sastera yang
menjadikan ia bukan hanya sebagai bahan hiburan semata-mata, tetapi
lebih  penting bahan untuk pembaca mendapatkan ilmu pengetahuan.
Fikiran dan pemikiran yang ditimbulkan misalnya, adalah mengenai
soal-soal moral, masyarakat, ekonomi, politik dan lain-lain menjadi
bahan teladan kepada pelajar. Melalui proses pengajaran dan
pembelajaran subjek ini, pelajar didedahkan kepada usaha-usaha untuk
mendapat, meningkat dan menyebarkan ilmu, berfikiran kritis dan
kreatif dalam mengembangkan daya pemikiran. Mereka juga dilatih untuk
mampu menghurai, mencerakin, menaakul, merumus dan menghasilkan
idea-idea yang bernas, serta berupaya pula memanfaatkan ilmu untuk
diri, orang lain dan alam sekitar. Penghayatan teks-teks
kesusasteraan seperti novel, cerpen dan puisi melalui teknik-teknik
simulasi, sumbang saran, main peranan, lakonan, soal jawab dan
perbincangan dalam kelas mendorong pelajar terus berfikir bagi
mencari jawaban kepadan setiap permasalahan, dapat memupuk dan
melahirkan pelajar yang berfikiran kritis, kreatif dan mampu
mengembangkan daya pemikiran. Hal ini selaras dengan matlamat FPN
yang berhasrat mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis, termasuk
dalam aspek intelek.   Karya-karya kesusasteraan Melayu juga memberi
penekanan kepada ciri-ciri ROHANI yang akan melahirkan insan yang
menyedari dan menginsafi adanya Tuhan, menyedari dan mensyukuri
pemberian Tuhan, menyedari serta prihatin tentang tanggungjawab,
memupuk dan membina disiplin diri, membentuk akhlak mulia dan
memiliki jiwa yang tenteram dan tenang. Hal ini penting bagi
memastikan bahawa insan yang dilahirkan bukan hanya berjaya dari segi
pencapaian akademik atau material, tetapi disertai dengan kualiti
kerohanian. Penerapan nilai-nilai ini dilakukan melalui teks-teks
kesusasteraan yang bersifat kerohanian seperti novel /Imam/ oleh SN
Abdullah Husein atau puisi-puisi kerohanian oleh penyair Amir Hamzah
dan Kemala. Melalui penampilan watak dan perwatakan contoh yang
mementingkan sahsiah diri dan sifat-sifat kerohanian, karya-karya
seperti ini mengajak pembaca untuk sentiasa mementingkan soal
tanggugjawab dan disiplin diri dalam apa juga keadaan, di samping
sentiasa mengamalkan akhlak mulia. Pendidikan yang menerapkan
nilai-nilai sebegini jelas berupaya melahir dan membangunkan modal
insan yang baik untuk negara.    Salah satu unsur yang melandasi
penciptaan karya kesusasteraan ialah unsur EMOSI yang membezakan
antara karya sastera dengan karya bukan sastera. Emosi yang
dimanifestasikan melalui watak dan perwatakan dalam sesebuah karya
sastera, dapat dimanfaatkan ke arahmemiliki tingkah laku yang
terkawal dan berperasaan tenang, memiliki dan memupuk perasaan kasih
sayang, memiliki semangat kekitaan dan perpaduan serta menghargai dan
menilai keindahan. Dengan menghayati dan menerapkan nilai-nilai
tersebut di kalangan pelajar, akan dapat memupuk semangat kasih
sayang dan rasa kekitaan sesama manusia, seterusnya dapat melahirkan
masyarakat penyayang yang disasarkan oleh pihak kerajaan.
Eleman-eleman mulia seperti ini bukan sahaja digalakkan dalam amalan
semua agama, malah ia perlu ditekankan dalam konteks perhubungan
sosial, khususnya bagi melahirkan kelompok masyarakat Malaysia
(berbagai bangsa dan agama) yang diikat oleh rasa kekitaan dan
perpaduan. Aspek ini juga merupakan sebahagian daripada ciri modal
insan yang ingin dibangunkan dalam negara sistem pendidikan negara
yang dimanifestasikan melalui FPN.   Seterusnya ialah penekanan
terhadap keseimbangan dari segi JASMANI atau fizikal. Ini dapat
dikaitkan dengan domain psikomotor yang menekankan aspek bakat dan
kemahiran teknikal, manipulatif dan sosial, memanfaatkan kemahiran
dan kecergasan fizikal untuk berdikari serta menggunakan kemahiran
dan kecerdasan fizikal bagi kepentingan masyarakat. Dalam kurikulum
kesusasteraan, aspek ini dapat direalisasikan melalui pelbagai kaedah
pengajaran dan pembelajaran kesusasteraan, seperti melalui teknik
simulasi, lakonan semula, deklamasi puisi dan seumpamanya yang
mendorong pelajar mengasah dan memupuk bakat serta kemahiran
berkomunikasi dan berkerjasama dengan rakan-rakan, di samping
mendorong kepada penampilan diri secara fizikal.   Berdasarkan
kewujudan ciri-ciri keseimbangan tersebut melalui pengajaran dan
pembelajaran kurikulum kesusasteraan Melayu, menunjukkan bagaimana
peranan sistem pendidikan dapat melahir, memupuk dan menjana
pembangunan modal insan dalam negara. Sekaligus ianya dapat memenuhi
matlamat untuk mewujudkan masyarakat yang seimbang dan harmonis dalam
empat komponen yang disasarkan oleh sistem pendidikan negara. Pada
masa yang sama, dapat melahirkan rakyat Malaysia yang berkualiti,
iaitu yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara.  Masyarakat BERILMU PENGETAHUAN yang
dihasratkan oleh sistem pendidikan adalah masyarakat yang mencintai
ilmu pengetahuan, sentiasa berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan,
memanfaatkan ilmu untuk kebajikan diri, orang lain dan kebaikan alam
sekitar serta mempunyai fikiran yang luas dan terbuka. Ciri-ciri
intelektual menjadi satu teras dalam penulisan kesusasteraan,
sehingga karya kesusasteraan itu sendiri dilihat sebagai lambang
tamadun sesuatu bangsa. Melalui teks /Sejarah Melayu/ misalnya,
mendedahkan pelajar kepada tradisi keintelektualan dan ketamadunan
bangsa pada zaman silam yang boleh dipelajari dan dimanfaatkan
sehingga ke hari ini. Banyak teladan dan iktibar daripada teks
tersebut yang boleh dijadikan landasan untuk kebaikan diri, bangsa
dan negara seluruhnya.  Melalui pelagai kaedah dan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran subjek ini juga dapat membentuk
KETERAMPILAN DIRI pelajar, iaitu dengan memiliki pengetahuan,
kelayakan dan kemahiran dalam menjalankan sesuatu tugas, berkebolehan
melaksanakan tugas dengan cekap dan sempurna, berpandangan jauh dan
berinisiatif. Pada masa yang sama, melalui penerapan nilai-nilai
murni dalam teks kesusasteraan dapat melahirkan pelajar yang
BERAKHLAK MULIA, iaitu yang mempunyai pengetahuan dan keyakinan
terhadap nilai murni, mempunyai kesedaran terhadap kesan daripada
perbuatan baik dan buruk, mengamal perlakuan yang baik, menghayati
nilai-nilai mulia merangkumi nilai-nilai kerohanian, kemanusiaan dan
kewarganegaraan. Begitu juga dalam memupuk rasa BERTANGGUNGJAWAB di
kalangan pelajar. Mereka diajar untuk menyedari bahawa setiap tugas
dan tanggungjawab merupakan amanah dan dilaksanakan dengan sempurna,
menjalankan tugas dengan amanah, bersih dan cekap, sentiasa berusaha
untuk meningkatkan daya pengeluaran, memahami peraturan dan
undang-undang negara, serta berusaha memajukan diri, keluarga,
masyarakat, agama, bangsa dan negara.  Seterusnya adalah untuk
melahirkan individu yang BERUPAYA MENCAPAI KESEJAHTERAAN DIRI, iaitu
dengan mempunyai fikiran yang waras, jiwa yang tenang dan badan yang
sihat, mempunyai daya ketahanan diri yang kuat untuk menghadapi
cabaran hidup serta sentiasa dapat mewujudkan perhubungan yang baik
dengan orang lain. Pemupukan nilai-nilai ini dilakukan melalui
penghayatan terhadap watak dan perwatakan dalam karya cenderung ke
arah memanfaatkan nilai-nilai tersebut. Dengan menampilkan watak
/role model/ tertentu, pelajar dibimbing supaya turut memiliki
nilai-nilai tersebut.   Matlamat terakhir yang termaktub dalam sistem
pendidikan negara ialah untuk membina insan yang BERUPAYA MEMBERI
SUMBANGAN TERHADAP KEHARMONIAN DAN KEMAKMURAN KELUARGA, MASYARAKAT
DAN NEGARA. Melalui contoh-contoh perbincangan di atas, secara tidak
langsung telah mengarah kepada pencapaian objektif FPN yang telah
digariskan oleh dasar pendidikan negara. Pada keseluruhannya, proses
pengajaran dan pembelajaran subjek kesusasteraan baik di sekolah,
mahu pun di pusat pengajian tinggi adalah sebagai sebahagian daripada
usaha ke arah merealisasikan matlamat sistem pendidikan negara. Sama
ada secara tersurat atau tersirat, teks-teks kesusasteraan sentiasa
memupuk perpaduan rakyat melalui kerjasama, toleransi, kekitaan dan
hormat menghormati, berusaha memajukan ekonomi ke arah perkembangan
bangsa dan negara, sentiasa berusaha mengekalkan kestabilan negara,
sentiasa berusaha mematuhi dan mempertahankan peraturan dan
perlembagaan, sanggup mempertahankan diri, agama, bangsa dan negara
serta sentiasa mengamal dan menghayati prinsip-prinsip rukun negara.
Justeru itu, semua prinsip tersebut haruslah terkandung dalam
karya-karya kesusasteraan yang dipilih sebagai teks pilihan atau teks
wajib bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran kursus ini, sama ada di
peringkat sekolah atau universiti.    Peranan sistem pendidikan bukan
untuk mengadakan perubahan negara sahaja, tetapi juga mengesahkan
pembangunan modal insan dalam negara. Justeru, pendidikan
kesusasteraan adalah sebahagian daripada platform yang tepat, yang
boleh dimanfaatkan untuk mencapai matlamat tersebut. Melalui
perbincangan tentang matlamat sistem pendidikan negara, khususnya
berdasarkan contoh pengajaran dan pembelajaran dalam kurikulum
kesusasteraan, menunjukkan bagaimana caranya matlamat tersebut boleh
dicapai. Penekanan kurikulum kesusasteraan itu sendiri adalah untuk
melahir dan membina modal insan yang seimbang dan harmonis serta
dilengkapi dengan ciri-ciri kualiti sebagai insan sudah tentu
menjadikan matlamt sistem pendidikan negara lebih mudah untuk
direalisasikan. Hal ini menunjukkan bahawa peranan sistem pendidikan
bukan sahaja untuk melakukan perubahan atau pembangunan fizikal,
tetapi yang lebih penting adalah membangunkan modal insan yang
merupakan aset utama kepada negara. Hasrat tersebut sudah tentu boleh
direalisasikan melalui pengajaran dan pembelajaran subjek
kesusasteraan. Wallahu'alam. (Norhayati AR)
------------------------------------------------------------------------------------
UNIVERSITY OF MALAYA  -  " Producing Leaders Since 1905 "

Kirim email ke