pesisir  

{ PESISIR } Keputusan Sayembara Fiksyen Sains UTM-Kumpulan Utusan

Ediramle Ismail
Wed, 16 Dec 2009 08:05:20 -0800

Dipetik daripada Akhbar Utusan Malaysia  15 Dis 2009

Guru raih RM15,000 menerusi Kala Yuda

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghaz...@utusan.com.my






KUALA LUMPUR 14 Dis. - Karya Kala Yuda ciptaan Amer Hamzah L. Kadir dari 
Kota Tinggi, Johor diangkat sebagai johan Sayembara Fiksyen, Sains dan 
Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM)-Kumpulan Utusan.
Kemenangan itu melayakkan beliau yang merupakan seorang guru dari Kulim, 
Kedah meraih wang tunai RM15,000.
Tempat kedua dimenangi Nurul Izwati Mohd. Nor dari Jengka, Pahang dengan 
karyanya bertajuk Sentinel: Kronikel Bumi manakala Tawanan Kota Kumbang, 
karya Ruzaini Yahya dari Muar, Johor di tempat ketiga.
Kedua-duanya juga adalah guru dan masing-masing menerima RM7,500 dan 
RM5,000.
Karya Petaka Bakteria oleh Mohd. Kasim Mahmud dan Rawan oleh Hafizah 
Iszahanid pula dipilih penerima hadiah penghargaan.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang sayembara ini akan diadakan 
pada Februari depan.
Keputusan nama-nama pemenang itu diumumkan Pengerusi Panel Hakim, Profesor 
Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar di UTM Jalan Semarak hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Zaini Ujang dan Pengerusi 
Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin.
Selain itu ialah Pengarah Penerbit UTM Press selaku Pengerusi Bersama 
Jawatankuasa Sayembara, Prof. Dr. Hisamuddin Jamaluddin dan Timbalan Ketua 
Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad.
Dilancarkan pada 10 Februari lalu, sayembara ini merupakan kerjasama UTM dan 
Kumpulan Utusan yang bertujuan meningkatkan martabat bidang penulisan tanah 
air.
Sempena penganjuran sayembara itu, satu siri jelajah seluruh negara mengenai 
bersiri penulisan fiksyen sains dan teknologi diadakan.
Menurut Ahmad, sayembara kali ini mendapat sambutan menggalakkan dengan 22 
manuskrip diterima selepas tarikh tutup pada 31 Ogos lalu.
''Bilangan penyertaan melebihi jangkaan penganjur memandangkan sayembara ini 
masih baru dan belum pun setahun jagung,'' katanya.
Beliau menambah, penyertaan kali ini meliputi pelbagai latar belakang 
termasuk penuntut institusi pengajian tinggi, wartawan, penulis sepenuh 
masa, pensyarah, jurutera hatta pengawal keselamatan.
Dalam pada itu, Zaini berkata, pihaknya berhasrat mengetengahkan kategori 
baru melibatkan penyertaan pelajar sekolah pada penganjuran sayembara akan 
datang.
''Perkara ini masih dalam perhatian kerana kita difahamkan terdapat ramai 
pelajar yang berminat menyertai sayembara ini,'' katanya.
Dalam masa sama, beliau menjangkakan penyertaan sayembara musim kedua akan 
mula dibuka pada pertengahan tahun 2011.
''Penyertaan itu akan dibuka selepas penganjuran bengkel penulisan fiksyen 
sains dan teknologi ke seluruh negara selama setahun setengah dari awal 
tahun 2010 sehingga pertengahan 2011,'' ujarnya.
Sementara itu, Mohamed Hashim dalam ucapannya berkata, Kumpulan Utusan 
berbangga kerana dapat menjalin kerjasama kali pertama dengan UTM dalam 
penganjuran sayembara itu.
''Ia memberi peluang kepada kedua-dua organisasi yang berlainan latar 
belakang itu bertukar-tukar idea bagi membantu meningkatkan lagi 
perkembangan budaya sastera negara,'' katanya
 

<<dn_20.1.jpg>>

  • { PESISIR } Keputusan Sayembara Fiksyen Sains UTM-Kumpulan Utusan Ediramle Ismail