http://www.al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=15050


Itulah Sikap Kita: Sering mengabaikan sumbangan orang lain      - 

Bila kita melihat teman-teman dari kelompok lain menumpukan kerja-kerja 
tertentu, kita secara sinis mengatakan "tak habis-habis dengan kerja itu.." 
Kemudian kita mendabik dada mengatakan "ini.. Kerja yang kami buat lebih besar 
sumbangannya.." 
 Bila kita lihat kawan-kawan kita menumpukan dengan kerja-kerja politik semasa, 
kita akan mengatakan "tak habis-habis dengan politik.." "Kerja-kerja 
membenteras bid'ah lebih baik diutamakan." 
 Bila kita lihat kawan-kawan yang lain berusaha menyebarkan as Sunnah, 
membenteras bid'ah dan khurafat, kita akan mengatakan: "Itu benda remeh.. Itu 
benda khilafiyah.." "Mari kita lawan sekular dulu, dapatkan dulu kuasa, 
kemudian bila dah dapat barulah benteras bid'ah..." 


Bila ada orang yang menghabiskan waktunya dengan mengkaji tentang aliran Syiah 
Imamiyah hingga ke akar umbinya, kita juga akan kata begitu dan begini. "Tak 
habis-habis cerita tentang Syiah..." Kemudian macam-macam tanggapan yang kita 
buat: "Benteras bid'ah dan khurafat dulu.." Atau "Lawan sekular dulu.." 
"Dapatkan kuasa dulu.." Dan sebagainya... 
  Di sana banyak lagi kawan-kawan kita dengan penumpuan terhadap kerjanya 
masing-masing demi menyumbang kepada Islam. Ada yang menghabiskan masa dengan 
mengkaji aliran-aliran sesat.. Tarekat sufi. Ada yang berlawan dengan Anti 
Hadith dan Islam Liberal. Sebahagiannya mendalami hal perbandingan agama. 
Mengabdikan diri untuk berhujah dengan Kristian. 
  Yang lain, ada yang membuat penyelidikan dalam bidang Feqh.. Hadith.. 
Tafsir.. Qiraat dan seterusnya. 
  Setiap satunya itu memerlukan kesungguhan, tekad, masa, tenaga dan wang 
ringgit. 
  Kita sering mengambil sikap memperlekeh dan melecehkan kerja kawan-kawan 
kita. Kita sering beranggapan bahawa apa yang kita lakukan adalah yang paling 
utama. Apa yang kita ceburi itulah satu-satunya sumbangan terhadap Islam. 
Sumbangan kawan-kawan kita yang lain tidak ada ertinya. Atau paling kurang kita 
beranggapan tarafnya lebih rendah. 
  ------------------- 
  Hanya ALlah yang Maha Sempurna.. 
  Umumnya, tidak ada seorang manusiapun yang mampu melakukan semua hal. Semua 
kerja dalam satu masa. Setiap manusia secara tabiatnya memerlukan antara satu 
dengan yang lain dalam hidupnya. Ini perkara biasa yang semua orang tahu. 
  Seorang pesawah padi tidak boleh bangkit mendabik dada berteriak, "akulah 
yang paling berjasa untuk kelangsungan hidup manusia!" "Dengan tulang empat 
kerat inilah semua orang di negara ini dapat menjamah nasi." "Mereka jadi 
sihat. Kuat dan boleh hidup." 
  Seorang doktor perubatan pula memperlekeh pesawah, "tugas doktorlah yang 
paling memberi kebaikan kepada rakyat negara ini." "Mengubat orang yg sakit. 
Menyelamatkan nyawa orang." "Tanam padi bukan ada apa-apa.." 
  Tampil pula tukang rumah. Nelayan. Penternak binatang. Peniaga. Peguam. Guru. 
Mekanik. Jurutera dan seterusnya.. Dengan dakwaan masing-masing bidang kerja 
kamilah yang paling berjasa. Paling hebat. Yang lain tidak bermakna. 
  Bayangkan, ketika si pesawah ini sakit, doktor tidak ada. Si doktor mahu 
membeli makanan utama, si petani sudah tidak bertani lagi. Para nelayan sudah 
tidak ke laut lagi.. Dan seterusnya... 
  Masing-masing ada peranan masing-masing untuk membuatkan anakcucu bani adam 
terus wujud di mukabumi ini. Setiap manusia memerlukan manusia lain. Setiap 
orang dari bidang tertentu memerlukan manusia lain dari bidang tertentu. Ia 
bagaikan mata rantai yang tidak terputus. 
  --------------- 
  Dalam kita memperjuangkan agama. Usaha mendaulatkan Islam di atas mukabumi 
ini juga begitu. Masing-masing memerlukan antara satu dengan yang lain. 
Pertubuhan yang memperjuangkan politik, barangkali dilengkapi dengan hal-hal 
yang lain namun, tidak semestinya ia tidak memerlukan langsung dengan apa yang 
diusahakan oleh kelompok lainnya. 
  Mereka yang menumpukan usaha dakwah menarik manusia ke masjid, mustahil sama 
sekali tidak memerlukan hasil kerja keras parti politik. 
  Seorang faqeh yang menekuni hal-hal hukum-hakam Islam. Mengkaji feqh Islami, 
akan diperlukan oleh semua golongan pada ketika tertentu. Malah sebenarnya 
setiap masa. 
  Bila berlaku penyebaran aliran sesat dan sufi falsafah, teman kita yang 
mengkaji aliran sesat itulah yang menjadi rujukan kita. 
  Bila berlaku gelombang penyusupan masuk fikrah dan semangat syiah ke dalam 
masyarakat kita, maka pengkaji-pengkaji syiah yang telah menumpahkan banyak 
masa dan tenaga untuk hal itulah yang kita perlukan untuk sekurang-kurangnya 
mengingatkan umat Islam agar berhati-hati. Memberi tunjuk ajar garis 
sempadannya. 
  Golongan tajdid yang menumpukan bidang hadith sebagai keutamaan. Yang siap 
menggariskan sempadan antara sunnah dan bid'ah. Sering lantang memukul gendang, 
ini sunnah. Ini bid'ah. Ini khurafat. Kita amat memerlukan mereka untuk 
membendung merebaknya bid'ah. Tersebarnya khurafat. Dan dari merekalah kita 
dapat belajar rupa sunnah yang hidup di tengah-tengah masyarakat. 
  Ketika Islam liberal menyerang Islam melalui undang-undang, maka kawan-kawan 
kita yang menumpukan sepenuh masa dalam bidang undang-undang yang kita 
perlukan. 
  ------------------- 
  Masing-masing sebenarnya telah menikmati hasil usaha yang telah dilakukan 
oleh rakan-rakan yang lain, samada disedari ataupun tidak. Samada mahu ataupun 
tidak. Kadangkala orang yang memaki dan mengejek-ngejek temannya yang lain 
itulah yang paling banyak menikmati hasil usahanya. 
  Bila si A diajak mari kita dokong politik Islam, dijawabnya: Kita benteras 
khurafat dan bid'ah dahulu. 
  Bila si B diajak membenteras bid'ah, dijawabnya: Tunggu kita dapat kuasa 
dahulu, selepas itu baru kita benteras bid'ah. 
  Pada hakikatnya, si A itu perlukan si B, dan si B perlukan si A. 
  ---------------------- 
  Seorang rakan saya tidak pernah ambil tahu tentang Syiah. Walaupun dia 
seorang ustaz yang hebat, namun pengetahuannya tentang Syiah amat terbatas. Ini 
adalah fenomena ulama di Malaysia yang pengetahuan mereka tentang Syiah amat 
terbatas. Barangkali kerana gejala Syiah baru bermula. Atau sudah bermula 
tetapi tidak disedari. 
  Namun, apabila seorang saudara terdekatnya telah terjebak dengan Syiah, dia 
mula menggelabah. Dia tidak dapat menjawab dengan baik ketika ajaran Islam 
disergah oleh si saudaranya yang Syiah itu. Dia tidak terkata apa, apabila Abu 
Bakar r.a., Umar r.a dan sahabat lainnya dihina. Malah dikafirkan! 
  Dia mula mencari pengetahuan tentang Syiah. Selama ini dia tahu sahabat 
semuanya adil. Namun dia tidak pernah ambil pusing bagaimana mahu 
mempertahankan sahabat r.a. Dia hanya tahu menyintai dan mengasihi sahabat 
tetapi dia tidak tahu bagaimana mempertahankannya. 
  Dahulu, dia amat marah dan naik angin apabila khomeini dikritik kerana aqidah 
sesatnya. Katanya, syiah sekarang lain. Bukan macam syiah dulu. Syiah sekarang 
seperti mazhab yang empat. Namun apabila melihat sendiri dengan mata kepalanya 
saudaranya yang terbabit dengan Syiah memaki sahabat. Mengkafirkan Ummul 
Mukminin, dia terpaksa memikirkan kembali fahamannya ttg khomeini dan mazhab 
orang-orang Iran. 
  Dahulu,dia jugalah yang mengejek-ngejek orang yang sibuk mengkaji tentang 
syiah. Katanya buang masa sahaja. Katanya, jangan fikir soal Syiah ataupun 
bukan. Yang penting mesti lawan sekular. Katanya, yang ini dan yang itu lebih 
penting dari syiah! Katanya, kamu tidak ada kerja lain melainkan syiah! 
  Sekarang.. Hasil kerja kawan-kawannya itulah yang terpaksa ditelaahnya. Dia 
memanfaatkan hasil kajian teman2nya tentang Syiah dengan tekun. 
  ----------------- 
  Patutlah al-Imam al-Banna meminta agar Syed Sabiq menumpukan perhatian 
terhadap Feqh bukan politik, sehingga terhasillah Feqhus Sunnah yang dimanfaat 
oleh umat Islam sekarang ini. 
  Memang, apabila kita memusatkan fikiran kita ke dalam satu-satu kelompok akan 
menyebabkan kita sering sempit dan mengabaikan peranan saudara-saudara kita 
yang lain yang bukan dari kelompok kita. Kita sering tidak berlaku adil 
terhadap mereka. Malah sering juga kita menganaktirikan suara dan kritikan 
mereka. Jika kritikan itu datangnya dari kelompok kita, maka kita abaikan. Kita 
menganggapnya sebagai kritikan membina. Sebaliknya jika kritikan itu (yang sama 
isikandungannya) datangnya dari teman-teman yang bukan dari kelompok kita, maka 
kita akan menganggapnya sebagai cuba memusuhi kita. 
  Padahal itu saudaramu juga. Saudara seislam! 
  Itulah sikap kita... 


       
---------------------------------
Building a website is a piece of cake. 
Yahoo! Small Business gives you all the tools to get online.

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke