|
KENYATAAN MEDIA-23/9/2005 Adalah dimaklumkan bahawa pada hari ini, kanak-kanak MARULY AZIS BIN ABD MUTALIB (13+), SARAH NOR VARAH HANIM BINTI ABD MUTALIB (11+), YONATAN ADAM FAUZI BIN ABD MUTALIB (9+) dan ISMAEL SYAH PUTRA (6+) , diri saya dan Abd Mutalib, suami saya dan bapa kepada anak-anak kami, telah memulakan tindakan Mahkamah terhadap Dato Mohd Jamal Bin Kamdi, Saadun Bin Mat Sabari, Kamaruddin Bin Idris, Wan Siti, Osman, Manap, Tuan Haji Mamat Bin Abdullah , Tuan Haji Fisol Bin Haji Yahya, Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Selangor, Ketua Pengarah Immigresen, Jabatan Immigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Dan Kerajaan Malaysia. Saya juga ingin menyatakan bahawa kami juga telah membuat permohonan kepada Mahkamah supaya anak-anak saya dapat terus tinggal dan hidup bersama saya, ibu mereka, sehingga tamat kes ini. Bapa mereka secara salah telah ditangkap, ditahan dan dideportasi balik ke Indonesia pada 29-4-2005. Anak-anak saya telah lahir di Malaysia dan telah tinggal, hidup dan belajar di Malaysian sejak lahir. Mereka perlukan ibubapa mereka untuk bersama mereka untuk kepentingan terbaik mereka. Saya, sudah hidup di Malaysia selama lebih 14 tahun, ingin menyatakan bahawa sebelum ini saya tinggal dan hidup di Malaysia berasaskan visa yang biasa dikatakan "visa ikut suami". Visa terkini saya akan luput pada 26-9-2005(Isnin) dan itulah sebab mengapa saya sekeluarga terpaksa membuat permohonan untuk membolehkan saya terus tinggal dengan anak-anak saya. Saya ingin untuk terus tinggal bersama anak-anak saya di mana itu adalah untuk kepentingan terbaik mereka, dan olehkerana itu saya telah membuat beberapa permohonan untuk Permit Masuk, Visa, "Guardianship Visa" dan juga permohonan untuk perlanjutan visa, di mana sehingga kini saya masih tidak menerima apa-apa keputusan rasmi ,yang semestinya dalam bentuk surat, daripada pihak Ketua Pengarah Immigresen atau Jabatan Immigresen. Jika saya tidak dapat terus tinggal di Malaysia, bagaimana pula dengan anak-anak saya. Mereka juga mungkin terpaksa ikut saya balik ke Indonesia di mana itu bukan satu yang baik untuk mereka dan akan menjejaskan perkembangan minda, emosi dan pertumbuhan mereka. Pendidikan mereka akan terjejas kerana sistem pendidikan, kurikulum dan juga bahasa adalah lain di Indonesia berbanding dengan apa yang ada di Malaysia. Pendidikan sekolah rendah bagi ketiga-tiga anak saya adalah dalam sekolah Cina. Saya ingin menyatakan bahawa Malaysia telah menandatangani Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-Kanak pada atau lebih kurang pada 19 Mac 1995, di mana kini Malaysia mesti menghormati hak kanak-kanak sapertimana terkandung dalam Konnvensyen tersebut termasuk obligasi yang diletak di atas kerajaan untuk memastikan bahawa hak kanak-kanak dihormati dan dijaga. Tambahan pula anak-anak saya adalah warganegara Malaysia. Saya ingin menyatakan bahawa keluarga kami adalah mangsa ketidakadilan akibat daripada kelalaian tindakan kegagalan pihak Defendan yang dinamakan. Saya ingin menyatakan bahawa suami saya yang bukan pendatang haram telah diberi layanan "tangkap-tahan-deportasi" - di mana ini tidak wajar. Sekiranya Permit Masuk dan kad pengenalannya mahu dibatalkan setelah lebih daripada 20 tahun di Malaysia, dia seharusnya diberitahu alasan, diberi peluang untuk membela diri sekiranya alasan itu tidak berasas atau palsu, di beri peluang buat rayuan dan sebagainya. Saya ingin menyatakan bahawa keluarga saya amat duka cita dengan sikap atau kecekapan pihak Jabatan Immigresen Malaysia, Ketua Pengarah Immigresen dan juga Jabatan Pendaftaran Negara di mana sehingga hari ini, saya sekeluarga masih lagi tidak menerima apa-apa surat jawapan kepada rayuan-rayuan yang pihak kami buat. Saya percaya secara munasabah semua orang yang menulis surat kepada jabatan kerajaan berhak untuk mendapat balasan kepada surat mereka. Saya ingin menyatakan bahawa surat pertama saya telah dihantar pada bulan Mac 2005. Saya ingin menyatakan bahawa tanpa jawapan, hak kami tercabul kerana kami tidak tahu sama ada rayuan dibenarkan atau tidak. Tanpa pengetahuan tersebut pihak kami dihalang daripada mengunakan hak kami untuk membuat rayuan seterusnya kepada Menteri atau pihak atasan. Penafian hak ini adalag sangat tidak adil. Saya ingin menyatakan bahawa tindakan ini juga untuk meminta Mahkamah untuk memerintahkan Defendan berkenaan untuk memberikan jawapan kepada surat, surat rayuan, rayuan dan/atau permohonan saya. Hak untuk mendapat jawapan kepada surat adalah sangat penting. Saya ingin menyatakan bahawa pihak kami sebenarnya tidak berniat perkara membawa perkara ini ke Mahkamah tetapi "apa boleh buat". Rayuan dibuat. Permohonan dibuat. Tidak ada jawapan daripada mereka. Saya dan anak-anak saya adalah orang baik. Saya ingin menyatakan bahawa suami saya juga orang yang baik, suami yang baik dan bapa yang baik. Kami semua hidup secara aman damai sebagai satu keluarga penyayayng di Malaysia dan tiba-tiba hidup kami terkacau apabila suami ditangkap dan dideportasi balik Indonesia. MENGAPA? Apakah kesalahan kami? Kehidupan keluarga kami susah dan tidak aman akibat kelalaian dan tindakan salah Defendan yang dinamakan. Kami mahu keadilan. Kami mahu gantirugi dan pampasan. Apa yang telah dilakukan oleh pihak Defendan sebenarnya tidak boleh dipampas dengan wang. 100 BILLION pun tak akan mengantikan kehilangan ketenteraman keluarga kami. Kini perkara ini sudah di bawa ke Mahkamah, dan saya berharap sangat dan berdoa agar keluarga kami akan mencapai keadilan, dan keluarga kami yang terpisah akan disatukan semula supaya kami boleh hidup di Malaysia sebagai satu keluarga penyayang - bapa, mama dan anak-anak.
Romita Hasibuan bagi pihak Abd Mutalib bin Taib, diri saya dan kesemua 4 orang anak-anak saya
Sekiranya pihak tuan mahukan penjelasan dengan lebih lanjut, sila hubungi peguam kami, En Charles Hector dari Tetuan Charles Hector & Co (03-79581844,). ------------------------------------------------ ADIL-Net will remain a Free Forum until further notice. Disclaimer: The opinions and views posted are not necessarily that of the list owner's or ADIL's -------------------------------------------------- Send a blank e-mail to: [EMAIL PROTECTED] - to subscribe to the list [EMAIL PROTECTED] - to unsubscribe from the list [EMAIL PROTECTED] - to switch your subscription to normal [EMAIL PROTECTED] - to switch your subscription to digest ADIL Homepage: http://members.easyspace.com/reformasi/
SPONSORED LINKS
YAHOO! GROUPS LINKS
|
