ANGKA 40 membawa persepsi yang berbeza terhadap lelaki dan wanita.
Bagi lelaki usia 40 dianggap sebagai permulaan hidup baru, semangat
baru, semakin matang. Bagi wanita usia 40 dikaitkan dengan
perkara-perkara negatif, dan selalu dikaitkan dengan musim saham mula
menurun. 

Bukan berniat merendahkan orang perempuan, jauh sekali untuk
memperlekeh kaum wanita. Cuma saya ingin bercakap perkara yang betul
di depan mata. Satu hakikat perihal Adam dan Hawa. 

Macam mana pun golongan pejuang wanita menegaskan tidak ada beza
antara lelaki can perempuan, saya tetap berasa ada perbezaan yang
jelas. Ini bukan soal fizikal - yang memang jelas ada bezanya - tetapi
ciri-ciri lain yang menyebabkan Leha dan Leman tidak serupa. 

Sebenarnya, awal-awal sudah berbeza. Dari segi tahap kematangan semua
orang mengakui perempuan lebih cepat dewasa berbanding lelaki. Anak
perempuan baligh lebih awal dari lelaki. Ada gadis yang mula haid
seawal sembilan tahun. Sebaliknya, ada lelaki yang sudah masuk usia 17
belum ada apa-apa. 

Mereka yang mempunyai anak-anak lelaki dan perempuan boleh melihat hal
yang sama. Baru darjah enam anak perempuan sudah boleh diharap
mengemas bilik tidur, mencuci pinggan mangkuk, membancuh susu adik.
Anak lelaki sudah tingkatan tiga pun masih tidak tahu apa-apa. 

Sebab itu orang putih kata, kehidupan seorang lelaki bermula pada usia
40 tahun. Konon, pada usia ini lelaki menjadi lebih matang, tepat
membuat keputusan, bijak memberi cadangan, lebih penyayang, lebih
prihatin, lebih itu, lebih ini. 

Hanya satu yang tidak sedap, malah tidak adil: konon pada usia 40
inilah degree kemiangan lelaki dikatakan semakin meningkat!

Miang, gatal, merenyam, gelenyar...banyak lagi istilah-istilah (maaf,
sesetengahnya tidak sesuai disiarkan sebab kedengaran kurang sopan)
yang seerti dengannya untuk menggambarkan perangai lelaki setelah
melewati usia empat puluhan. 

Orang perempuan selalu memberi alasan yang serupa untuk menguatkan
andaian bahawa lelaki memang miang. Antaranya, yang paling biasa:
suami mula menjeling wanita lain, suami mula main kayu tiga, suami
kahwin baru.

Bukanlah hendak menyebelah lelaki, tetapi pada hemat saya andaian
seperti itu adalah rambang, dan sekali gus tidak adil. Sebab, bilangan
suami yang main kayu tiga, atau membuka 'cawangan' baru adalah kecil,
terlalu kecil. Mungkin yang jeling-jeling wanita lain ramai, tetapi
percayalah jelingan itu tidak membawa apa-apa mudarat. Lagi pun ada
sebab suami menjeling wanita lain. 

Maaf cakap, ketika suami mula 'meriah habis' pada usia 40, wanita pada
usia tersebut dikatakan mula mengendur dan 'dingin' dalam banyak hal.
Sebenarnya, ini diakui sendiri oleh ramai wanita, sebab itu mereka
tidak suka usia empat puluhan disebut. 

Pendek kata, angka 40 membawa persepsi yang berbeza kepada lelaki dan
wanita. Bagi lelaki, usia tersebut dikaitkan dengan kematangan can
kehebatan, bagi perempuan, usia tersebut sering digambarkan sebagai
peringkat saham menurun. 

Kalau ada suami yang mula menunjukkan tanda-tanda 'keriangan' luar
biasa, saya ada panduan untuk isteri menyekat suami main mata dengan
orang lain. Kaedah ini tidak ada dalam buku motivasi suami-isteri,
tetapi boleh dicuba. 

Pertama, layan suami seperti biasa. Hangatkan suasana dengan kata-kata
yang memberangsangkan. Contoh: "Fuhhh, misai abang sekarang tebal
semacam, kita tengok pun geram!" Atau: "Abang sejak minum kopi herba
tu, kita rasa luar biasa!" 

Kata-kata seperti ini boleh membangkitkan semangat, dan suami merasa
dihargai. Tetapi jangan cakap sahaja, isteri patut buktikan dengan
perbuatan. Jika hanya pandai memuji misai, tetapi di bilik tidur
isteri rebah dan tidur macam tunggul, pujian tentang misai itu tidak
bererti langsung. 

Tidak guna menyiapkan kopi dengan tujuh ramuan herba, sekiranya di
katil isteri berdengkur kuat seperti bom, tanpa sedikit pun
menghiraukan perasaan suami yang seperti gelora tsunami.

Masalahnya ialah wanita pada usia 40, lebih-lebih lagi yang sudah
beranak ramai, sudah mula dingin seks. Bukan putus haid, tetapi mula
tidak berapa minat mengadakan hubungan kelamin. Mungkin sebab
kesibukan di pejabat, atau letih melayan anak-anak sepanjang hari di
rumah, isteri menjadi pasif di katil. Letak sahaja kepala di bantal,
terus berdengkur. 

Pada hemat saya, tanpa mengira usia, isteri patut bijak melakukan
reaksi-reaksi hangat semasa berdua di kamar tidur. Mungkin boleh cuba
urutan cakar harimau yang popular itu. Sambil mencakar boleh bergurau
senda, dan puji-puji tentang misai. 

Kalau cakaran harimau sudah mengena, suami yang letih menjadi segar
semula. Pasti suami akan membalas dengan cakaran kucing jantan.

Bayangkan apa akan terjadi apabila cakar berbalas cakar. Tentu harimau
akan mengaum. 

Amaran: hati-hati sekiranya isteri berkuku panjang dan tajam, takut
tersilap cakar luka pula kulit belakang suami. Akibatnya, suami berasa
kesakitan dan mungkin menggunakan tendangan kambing gurun hingga
isteri terpelanting bawah katil! 

Kedua, isteri mesti terus bergaya. Sebenarnya wanita pada usia 40-45,
masih cantik dan menawan. Masih anggun dan mempesona. Memanglah tidak
'cun-melecun' seperti gadis belasan tahun lagi 'trang-tang-tang'.
Tetapi sekiranya bijak mendandan diri, suami pasti tidak menjeling
pada orang lain. 

Masalahnya ialah sesetengah isteri, terutama yang menjadi suri rumah
sepenuh masa, tidak menghiraukan soal keterampilan diri. Tidaklah
selekeh, tetapi kurang mesra alam. Rambut tidak disisir, menggerbang
macam langsuir atau penunggu pohon beringin dalam Misteri Nusantara.
Dahi berkerut, bibir berkedut. Tanpa bedak, tanpa gincu. Pipi pun
berminyak semacam. 

Sudahlah begitu, pakaian pun asyik kain batik lusuh dengan t-shirt
Pagoda leher bulat yang ketiaknya terkoyak sedikit. Ini sudah menjadi
uniform tidak rasmi suri rumah yang tidak berseni. Sesetengahnya
langsung tidak berbaju, hanya berkemban. Sudahlah berkemban, nampak
bulu ketiak keriting, betul-betul macam ibu si Tenggang. 

Percayalah, kalau rupa seperti ini yang dilihat oleh suami setiap
hari, belum masuk usia 40 tahun pun suami sudah menjeling wanita lain.
Jika hari-hari melihat puntianak atau ibu si Tenggang, suami pun
berasa muak juga. Suami pun hendak melihat benda-benda indah. 

Sebenarnya, mendandan diri bukan susah sangat. Lagi pun kebanyakan
suami tidak cerewet sangat. Suami tidak mengharapkan isteri
menyambutnya dengan pakaian berjenama antarabangsa, atau jari lentik
dengan kuku berwarna, bibir merah dan basah berkilat, rambut ikal
mayang teknik rebonding, alis lentik bagai penari Mak Yong. 

Apa yang dikehendaki oleh kebanyakan suami ialah penampilan seorang
isteri yang kemas, sopan dan kelihatan manja. Jangan lentuk sangat,
suami naik lemas pula. Rambut perlu disisir kemas, pada hari-hari
tertentu (petang Khamis umpamanya!) boleh letak bunga ros di kepala.
Tetapi, jangan pula terlebih hingga pacak bunga manggar di kepala.
Nanti suami ingat isteri sudah sewel. 

Pipi patut dihias supaya tidak nampak berminyak macam mamak jual
capati. Kalau tidak mampu pakai bedak yang berjenama, bedak biasa pun
boleh, asalkan disapu dengan kemas. Jangan asyik lumur dengan bedak
beras sejuk sehingga wajah kelihatan seperti wayang China purba! 

Tidak salah menyambut kepulangan suami dengan haruman. Semburlah
pewangi yang boleh membangkitkan semangat. Kalau tidak ada pewangi pun
gunakanlah haruman ash dari bunga cempaka, melur, kenanga atau
lain-lain bunga wangi. 

Kalau pun teruk memasak di dapur pastikan bau serbuk kari, sambal
belacan, budu, atau bau ikan pekasam goreng tidak melekat di tubuh.
Amaran: jangan sekali-sekali ada bau semburan ubat lipas atau kapur
barus pada tubuh. Mati selera suami. 

Ketiga, mesti selalu senyum. Sambutlah suami dengan senyum paling
manis. Senyum yang ikhlas, dan bukan dibuat-buat. Ingat, orang lelaki
dapat membaca antara senyuman ikhlas dan senyum palsu. Tetapi, jangan
tersengih tidak tentu pasal, nanti suami ingat isteri tersampuk
puntianak sundal malam. 

Tidaklah diharapkan isteri mengurut-urut bahu atau dada suami sebaik
masuk ke rumah, lebih-lebih lagi di hadapan anak-anak. Memadailah
isteri menegur: "Abang nampak letih, boleh kita ambilkan air? Abang
nak air sejuk atau air panas?" 

Tetapi, jangan pula memberitahu suami benda-benda yang mungkin
mematikan semangatnya, seperti: "Tadi ada orang datang, dia kata abang
dah tiga bulan tak bayar ansuran kereta, betul ke?" Atau: "Orang
sebelah tu beli TV 29 inci, boleh tak kita beli yang 36 inci?" 

Keempat, etika di bilik tidur. Ini paling penting, sebab bilik tidur
adalah tempat rehat bagi suami isteri. Tempat tidur mesti selalu kemas
dan menarik. Semburkan haruman supaya semerbak sepanjang malam.
Sesekali taburkan bunga-bunga wangi di atas tilam. Barulah bersemangat
untuk cakaran harimau atau cakaran kucing. 

Malangnya, bagi isteri yang sudah melewati empat puluhan, bau haruman
di kamar beradu biasanya tidak dihiraukan lagi. Tidak ada bau minyak
wangi, seperti zaman baru-baru kahwin dulu. Apa yang memenuhi bilik
tidur sekarang hanyalah bau minyak angin. 

Bilik tidur penuh dengan beraneka minyak angin. Penjuru katil ada
minyak lenguh sendi, tepi bantal ada minyak sengal tulang, atas tilam
ada minyak pening kepala, bawah katil pun ada minyak semput.

Walaupun sudah lenguh sana-sini, minyak-minyak itu bukan di kamar
tidur tempatnya. Kalau setiap malam hidung suami tersumbat bau minyak
angin, matilah seleranya untuk mencakar. Ini yang isteri kena faham.

Bidadari Khusus Untuk Si Mama
Venergy Menambah Tenaga Papa
Jangan Dilupa D-Brain Sang Cahayamata
Sihat Bahagia Seisi Keluarga

Pelbagai produk kesihatan dan kecantikan berasaskan herba, homeopati,
sumber marin dan sumber alam semulajadi di
http://www.kedai-e.net/index.php?ref=kmjgroups



Kirim email ke