Nasional-BERITA HARIAN
 Cetak .  Emel Rakan .   
Bangunan tinggalan syarikat lombong timah kurun ke-19


2010/07/12
BATU GAJAH: Stor tempat simpanan bijih timah yang menjadi lokasi  kejadian tiga 
pelajar terbunuh dan seorang lagi parah selepas dihempap  bumbung konkrit 
bangunan lama itu di kawasan Projek Perumahan Rakyat  Termiskin (PPRT) Kampung 
Changkat Tin, dekat sini, malam kelmarin  dipercayai berusia lebih 50 tahun. 


Ia berdasarkan sejarah perlombongan bijih timah di Perak terutama  sekitar Batu 
Gajah yang wujud sejak kurun ke-19, yang mana ketika itu  industri berkenaan 
sudah diusahakan penduduk Melayu.

  
Difahamkan, Tanjung Tualang satu ketika dulu dikenali kerana  mempunyai 
beberapa 
lombong bijih timah yang beroperasi pada skala besar.

  
Antara syarikat multinasional yang pernah bertapak serta beroperasi  di Tanjung 
Tualang ialah Lower Perak Tin Dredging, Southern Kinta  Consolidated, Southern 
Malayan Tin Dredging, Austral Amalgamated Tin,  Osborne & Chapple, Pernas 
Chartered Management dan Malaysian Mining  Corporation. 


Kebanyakan syarikat berkenaan membina tempat penyimpanan bijih  timah 
masing-masing sebagai tempat simpanan bahan mentah itu sebelum  diproses. 


Ketua Perhubungan RELA Tanjung Tualang, Ahmad Redwan Arif,  berkata berdasarkan 
maklumat penduduk setempat, stor simpanan bijih  timah sudah berusia lebih 50 
tahun dan dibiarkan dalam keadaan asal  kerana dianggap tinggalan sejarah. 


"Tempat itu (stor) memang dijadikan sebagai tempat simpanan bijih  kerana 
berdasarkan lokasi kejadian, ia hanya terletak kira-kira 10  meter dari kawasan 
lombong tinggal. 


"Stor berkenaan memang sentiasa dijadikan sebagai tempat bermain  dan membaiki 
basikal oleh sebahagian kanak-kanak di kawasan itu, selain  tempat berteduh," 
katanya. 


Tinjauan Berita Harian di lokasi kejadian turut mendapati stor  berkenaan 
mempunyai rekahan serius di struktur dinding, dan bumbung  konkrit, selain 
kawasan berkenaan dikelilingi belukar kecil. 


Turut difahamkan, bahagian atas stor itu dilitupi separuh bumbung  konkrit, 
manakala sebahagian lagi dibiarkan terbuka. 


Bahagian bumbung konkrit itu yang dikatakan runtuh dan menghempap  empat 
pelajar 
terbabit.      


Kirim email ke