MENGENAL AJARAN SESAT DI MALAYSIA

TAKRIF AJARAN SESAT


1. Ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang 
dibawa oleh orang-orang Islam atau orang-orang bukan Islam 
yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah 
ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam 
sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu 
bertentangan daripada Islam yang berdasarkan Al-Quran dan 
al-Sunnah serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli 
Sunnah Wal Jamaah.

Menurut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Halaman 4, orang-orang 
yang sesat ialah orang-orang yang tidak berpengetahuan 
agama, kerana tidak berusaha untuk mempelajarinya atau 
orang yang berpengalaman agama yang tidak betul kerana 
dipelajari dengan tidak menurut peraturan dan jalan 
sebenarnya.


SEJARAH
2. Timbulnya ajaran-ajaran sesat dan amalan-amalan sesat 
dalam masyarakat Islam di Malaysia bukanlah satu perkara 
baru, mulai bergerak secara senyap-senyap semasa Islam 
mula bertapak di Semenanjung pada abad ke 15 iaitu melalui 
konsep animisma(1) dinamisma(2) dan ajaran Hindu-Budha. 
Tetapi yang ketaranya adalah datang dari pengaruh Syiah 
melampau seperti Sabaiyyah(3) Kaysaniyyah(4) dan oleh 
Syiah Ismailiyyah Batiniyyah(5) juga aliran teosofi(6).

Menurut sejarah bahawa ajaran sesat yang paling lama 
usianya di Malaysia ialah ajaran Taslim yang dibawah oleh 
Hj. Ahmad Matahari pada tahun 1870an di Kg. Seronok, Bayan 
Lepas, Pulau Pinang. Ajaran ini telah berkembang ke 
negeri-negeri lain seperti Kedah, Perak, Negeri Sembilan 
dan lain-lain. Sementara di Kelantan wujud ajaran sesat 
yang dikenali dengan ajaran Subud yang disebarkan dalam 
tahun 1950an dan ajaran Martabat Tujuh. Ajaran Subud 
hampir hilang tetapi ajaran Martabat Tujuh dipercayai 
masih hidup, bukan sahaja di Kelantan tetapi di 
negeri-negeri lain. Hari demi hari ajaran sesat telah 
bertambah dan hingga akhir tahun 1999 jumlahnya menjangkau 
lebih dari 100 ajaran yang diadukan ke Jabatan Agama 
seluruh Malaysia.

Sehingga kini setiap buah negeri di Malaysia terdapat 
ajaran-ajaran sesat yang disebarkan secara senyap-senyap 
dan ada kalanya mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh 
kecil agama tempatan. Jumlah ajaran sesat telah bertambah 
dari masa ke semasa.

Beberapa peristiwa yang menggugat ketenteraman dan 
keselamatan awam belaku berikutan dari ajaran sesat 
umpamanya pada 19 Oktober 1974 seorang dari kumpulan 
ajaran sesat 4 Sahabat di Kg. Kedap, Rantau Panjang, 
Kelantan telah mati ditembak dalam satu pertempuran dengan 
pasukan keselamatan. Pada 7 Julai 1979, Tajul Ariffin yang 
mengaku dirinya Imam Mahdi telah mencederakan imam masjid 
Rapat Setia, Ipoh, Perak (Tn. Hj. Damanhuri b. Hj. Abd. 
Wahab, 68 tahun). Pada 19 Ogos 1979 peristiwa di Kerling, 
Selangor telah mati terbunuh apabila mereka sedang 
melakukan pemecahan Kuil Hindu di Kerling, Selangor. Satu 
peristiwa besar di Batu Pahat telah berlaku pada 16 
Oktober 1980 di mana 8 orang dari kumpulan ajaran sesat 
yang dipimpin oleh Ahmad Nasir b. Ismail (Kemboja) telah 
terbunuh apabila mereka menyerang Balai Polis Batu Pahat 
dan mencederakan ramai anggota polis, kakitangan balai dan 
orang awam. Pada 1 Februari 1996, dua orang lelaki warga 
Indonesia cedera ditembak selepas mengamuk dan cuba 
mencederakan orang ramai di Kompleks Sinsuran, Kota 
Kinabalu, Sabah. Lelaki berkenaan menyebarkan ajaran sesat 
yang berpusat di Inanam, Kota Kinabalu, Sabah. Pada 18 Mac 
1996, pengikut ajaran Tabarani bertindak keterlaluan 
memukul Ketua Kampung, Kampung Pandan Satu, Kuantan, 
Pahang, Sidek Mohamad kerana didakwa menghalang kegiatan 
mereka.

FAKTOR-FAKTOR AJARAN SESAT

3. Hasil dari penelitian Cawangan Akidah, Bahagian 
Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, umat Islam 
di negara ini sentiasa terdedah kepada ajaran sesat yang 
berkembang hasil dari faktor-faktor berikut:-

i. Tasawuf Falsafah @ Teosofi
ii. Ajaran Batiniah;
iii. Ajaran Syiah;
iv. Khurafat, Amalan Bomoh dan Tradisi; dan
v. Usaha menjauhkan Umat Islam dari al-Quran dan 
al-Sunnah.

FAKTOR PERTAMA:

TASAWUF FALSAFAH @ TEOSOFI @ WUJUDIAH + MARTABAT TUJUH

4. Tasawuf Teosofi(7) menjadi punca utama kepada 
penyelewengan dalam ilmu tasawuf dan kepada muncul 
ajaran-ajaran sesat yang mana ia didapati dipengaruhi oleh 
pengaruh Greek, Parsi, Yahudi, Kristian dan Hindu – 
Buddha. Faktor ini mengandungi berbagai-bagai konsep yang 
bermula dengan konsep wahdatul wujud dan seterusnya 
diserap kepada ajaran martabat tujuh dari karangan Syeikh 
Mohammad b. Fadhlullah Al-Burhanipuri, (W 1029H @ 1619M) 
melalui bukunya al-Tohfah Ila-Mursalah Ila Roh Al-Nabi, 
yang diterjemah ke bahasa Jawa tahun (1680M) kemudiannya 
pula disalurkan oleh beberapa tokoh Nusantara seperti 
Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani (W 1690M) yang mengarang 
buku Jauhar al-Haqaeq, Abdul Rauf Singkel dengan kitab 
Daqaiq al-Huruf beliau dikatakan menuntut di Mekah selama 
19 tahun dan kembali ke Acheh tahun (1661M) dan Syeikh 
Hamzah Fansuri (W 1606M) dalam buku-bukunya di bidang 
tasawuf ketuhanan terutama buku Asrar al-Arifin, Syarb 
al-‘Asyikin dan al-Muntahi dan berkembang pula melalui 
kitab al-Durr al-Nafis oleh Syeikh Mohammad Nafis 
al-Banjari (W 1778M) yang ditulis tahun (1200H) yang 
dianggap pula oleh beberapa tokoh penyelidikan sebagai 
mewarisi kitab al-Tohfah al-Mursalah yang dikatakan telah 
ditemui di Ceribon tidak lewat dari tahun 1668M oleh Abdul 
Muhyi seorang wali dari Jawa, yang menjadi guru kepada 
Bagus Norjan dari Ceribon. Kitab ini juga tersebar di 
Sumatera pada abad ke-17 M. Buku ini dikatakan 
mempengaruhi kelanjoran buku Serat Wirid Hidayat Jati 
karangan Rengka Warsita (W 1873M). Pada asasnya faktor 
Tasawuf Teosofi ini telah banyak mempengaruhi 
ajaran-ajaran yang dibawa oleh guru-buru ajaran sesat 
ditambah pula oleha buku Kasyr Al-Asrar oleh Syeikh 
Mohammad Salleh bin Abdullah al-Mengkabu yang ditulis 
tahun 1922M.

Tasawuf Wahdatul Wujud

5. Menurut Prof. Dr. Abdul Fatah Haron Ibrahim bahawa 
tasawuf wahdatul wujud dalam Islam dapat dikesan sumbernya 
daripada Hindu dan Neoplatonisma atau seumpama 
kedua-duanya (lihat Ajaran Sesat 1994) DBP hal. 13). 
Menurut Haji Abdullah Fahim b. Hj. Ab. Rahman, pula bahawa 
buku Bahr al-Lahut iaitu kitab adunan antara kandungan 
al-Tohfah al-Mursalah dengan Serat Wirid dan kandungan 
Bahr Al-Lahut inilah yang terdapat dalam kitab Hidayah 
Anwar (Ajaran Taslim) dan Hakikat Insan (1985M) serta 
Tajalli Ahmad Laksamana (lihat Sejarah Kemunculan Ajaran 
Menyeleweng, hal. 55-56). Menurut Dr. Abdul Fatah Haron 
bahawa martabat tujuh juga bukan dari al-Quran dan Hadis 
Sahih, tetapi dari falsafah Neo Platonism yang dikenal 
dengan teori immanasi atau as-Sudur (Lihat Beberapa 
Masalah Utama Dalam Tasawuf (1993M) BAHEIS, KL H. 25). 
Dari Kitab al-Durr al-Nafis, Maktabah Wa Matbaah Darul 
Maarif Pulau Pinang terdapat huraian martabat tujuh ini 
dari halaman 21 – 23. Falaman Wahdatul Wujud menganggap 
alam ini adalah penyataan Allah yang qadim Azali lagi 
abadi. Alam ini seperti ombak dan Tuhan seperti laut. 
Ombak itu kekal ada selagi laut itu kekal.

Ajaran Martabat Tujuh

6. Martabat Tujuh adalah satu perbincangan mengenai asal 
usul mula kejadian alam semesta ini. Ilmu ini termasuk 
dalam bidang iktiqad Tasawuf Falsafah Wahdatul Wujud. 
Penjelasan maksudnya ialah bahawa Allah Yang Maha Esa 
Mentajalli (menampak) alam semesta daripada Dzatnya 
sendiri.

Pertama: Ahadiyah iaitu Martabat zat qadim, azali, abadi, 
martabat La Taayun ertinya martabat tidak nyata. Ahadiyah 
iaitu seperti menilik cermin, wahdah seperti cermin, 
wahdiyah seperti rupa dalam cermin, martabat La Taayun 
belum nyata Tuhan dengan hamba.

Kedua: Wahidiyah – Martabat Aliah Wahdah Qadim, azali, 
abadi, roh Qudsi yakni nyawa Muhammad, martabat Taayun 
Awwal iaitu nyata yang pertama, kelakuan dzat: Syuun, 
Martabat Muhammad. Ertinya nyawa Muhammad pada pihak 
pengetahuan Allah.

Ketiga: Wahdiyah, Martabat Taayun thani, nyata yang kedua 
iaitu Roh Adam dan Aayanthabitah namanya iaitu 
Kenyataannya telah ada bagi ilmu Allah bagi zat dan bagi 
sekalian yang maujud iaitu jalan tafsil. Tajalli hak Allah 
kepada martabat ini dengan nama Ar-Rahman bersifat 
pemurah.

Keempat: Alam Arwah iaitu alam segala nyawa dan alam roh 
aayan kharijah ertinya kenyataan yang sudah terbit 
daripada ilmuNya dan roh itu daripada kehendak Allah Taala 
yang dibangsakan keadaannya dengan martabat terbit 
daripada suruhan Tuhan kita dengan berantara sesuatu 
daripada pergantung.

Kelima: Alam Mithal ialah kalbu sanubari bererti tempat 
hati. Inilah alam segala rupa namanyaa iaitu daripada 
kehendak Allah Taala yang rapat terus daripada segala suku 
yang halus dan tiada menerima suku ertinya tiadalah 
menerima akan tegahan dan tiadalah menerima berciri-ciri 
setengahnya daripada setengahnya dan tiadalah menerima 
akan tebusan dan tiada menerima zakat kerana halus.

Keenam: Alam Ajsam ialah alam syahadah, alam yang 
dipandang, alam segala martabat yang terus daripada anasir 
empat, air, tanah, udara dan api dan yang tersebut 
daripada itu lima perkara iaitu segala batu, tumbuhan, 
binatang dan segala jin yang tersusun dari segala unsur, 
nyata Allah taala itu dengan zahir dan Muhammad namanya 
Mazhar.

Ketujuh: Alam Insan disebut Insan itu rahsiaKu dan Aku 
rahsianya martabat yang dihimpunkan segala martabat ini. 
(Bandingkan dengan buku dari Abdul Fatah Ajaran Sesat 1994 
h. 20 – 25).

Nur Muhamad

7. Nur Muhamad ialah cahaya yang dihubungkan dengan Nabi 
Muhammad (s.a.w). Dari segi istilah ialah ciptaan Allah 
yang pertama, sebelum Dia mencipta makhlukNya yang lain. 
Cahaya ini dicipta dari Nur Allah, pada asal kewujudannya. 
Nur ini sama dengan rupa kejadian Nabi Muhammad s.a.w. 
Istilah yang lain dipakai juga oleh penggemarnya iaitu 
al-Aql al-Awwal, al-Insan al-Kamil, Qutub, Ghaus dan 
lain-lain. Kaitannya dengan Martabat Tujuh, ia terletak di 
martabat kedua. Pemikiran ini tidak ada dalam al-Quran dan 
hadis sahih, lebih-lebih lagi ia disifatkan sebagai qadim 
dan semua perkara yang ada dalam alam ini bersumber 
darinya. Bagi syiah, menggunakannya untuk meluluskan 
akidah mereka terhadap al-Imamah. Manakala kaum Sufi untuk 
meluluskan Konsep al-Wilayah atau Kewalian, yang ada 
persamaannya dengan al-Imamah dalam Syiah. Orang Islam 
yang awal membincangkan Konsep Nur Muhamad ialah Ibnu 
‘Arabi (638H/240M) dan Abdul Karim al-Jili (832H). Ini 
disebutkan dalam kitab-kitab karya mereka seperti 
al-Futuhat al-Makiyyah, Fusus al-Hikam dan al-Insan 
al-Kamil fi Ma’arifah al-awa’il wa al-Awakhir.


Bagi Ibnu Arabi, Nur Muhamad merupakan asal usul kejadian 
semua makhluk yang hidup dan sumber yang terpancar 
daripada ilmu para Nabi dan wali atau dengan kata lain Nur 
Muhamad ialah roh yang nyata dengan rupa para Nabi dan 
wali sejak Nabi Adam a.s. diutus hingga Nabi Muhamad 
s.a.w. dan sejak wujud Martabat al-Wilayah atau kenabian 
dalam pemikiran Sufi. Ilmu para nabi dan wali menurut Kaum 
Sufi adalah suatu pancaran dari Nur Muhamad yang merupakan 
induk kepada segala yang wujud ini. (lihat Muhamad Ali 
al-Junid, Nazdariyyah, al-Imamah, al-Imamah, hal. 128) dan 
bandingkan dengan artikel Prof. Madya Dr. Abdul Hayei bin 
Abdul Shukor (UM) “Nur Muhamad: Satu Pencemaran Terhadap 
Akidah” (Utusan Zaman – 9 Jun 1996). Orang yang terlibat 
dengan kumpulan ini dipercayai banyak memalsukan hadis 
bagi meluluskan teori dan cita-cita ini. Sedangkan menurut 
pandangan ahli Sunnah Wal Jamaah, asal kejadian Nabi 
Muhamad s.a.w. adalah jelas seperti dinyatakan dalam ayat 
110, surah al-Kahfi, yang bermaksud;

“Katakanlah (wahai Muhamad) sesungguhnya aku hanyalah 
seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa 
Tuhan kamu hanyalah satu.”

Bagi ahli Sunnah, kepercayaan Nur Muhamad ini adalah 
khurafat dan tidak bersandarkan mana-man dalil yang layak 
menjadi sumber hukum. Tetapi setengah kaum Sufi yang 
keterlaluan mendakwa bahawa ilmu mereka kasyaf, 
kadang-kadang dikatakan diambil terus dari Allah atau 
Rasulullah.

Menurut Prof. Dr. Abdulfatah Haron bin Ibrahim, bahawa Nur 
Muhamad tidak lebih daripada lagenda. Ia tidak ada dalam 
ajaran akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Asyariah, Maturidiah 
dan Salafiah, tetapi terdapat dalam Ajaran Tasawuf 
Wahdatul Wujud). Dalam kitab al-Dur al-Nafis disebutkan 
sebuah hadis yang bermaksud: “Mula pertama Allah jadikan 
ialah Nur Nabimu, hai Jabir, maka Allah jadikan Nur itu 
segala sesuatu dan engkau adalah daripada sesuati itu 
(halaman 22).” Hadis ini adalah hadis mauduk ( rekaan dan 
palsu) seperti disebut dalam Kitab al-Mawahib dalam Kasyaf 
al-Khifa Wa Mazil al-Albas, hal. 266).


FAKTOR KEDUA:

AJARAN BATINIAH

8. Ajaran ini juga dikenali dengan Tasawuf Batiniah iaitu 
kebatinan. Pada umumnya ajaran ini dibawa melalui buku 
Kasyaf Al-Asrar terjemahan dan susunan oleh Syeikh 
Mohammad Salleh bin Abdullah Al-mangkabau yang ditulis 
pada tahun (1344H/1922M) (tahun 1390 telah ulang cetak 
ke-22 di Singapura) dan kemudiannya disalurkan melalui 
buku Hidayah Al-Anwar oleh Syed Ghazali Jamalullail, Pulau 
Pinang pada tahun 1355H/1933M) dan mengembangkan Ajaran 
Taslim dari bapanya Hj. Mohd. Matahari, kemudian Hj. Ahmad 
laksamana bin Omar Kelantan pada tahun 1985, menulis buku 
Hakikat Insan (1985M) dan Ilmu Tajalli (belum terbit) dan 
mengembangkannya ke seluruh Malaysia. Unsur-unsur atau 
faktor ajaran Batiniah ini ialah berasal daripada Syiah 
Ismailiyah Batiniah iaitu satu gerakan yang pada mulanya 
dipropagandakan oleh Abdullah bin Maimon (W 165H/780M). 
Beliau ialah seorang bekas penganut agama Madaism 
(Al-Mazdakiyah) berbangsa Yahudi dari Al-Hawas, bapanya 
Maimon b. Dalsan al-Khaddah ialah hamba kepada Jaafar 
al-Sadiq iaitu salah seorang imam 12 Syiah. Al-Khaddahlah 
yang mendakwa Ismail bin Jaafar al-Sidiq yang telah 
meninggal dunia tahun 158H dianggap sebagai ghaib dan 
beliau adalah Imam Mahdi Abdullah bin Maimon juga 
terpengaruh dengan teori angka simbolik seperti angka 7, 
12 yang diambil dari 7 huruf Bismillah dan 12 huruf 
Lailahaillahallah kemudiannya berjumlah 19. Teori ini 
akhirnya diambil oleh Ismailiyah Kisaniyah dan Qaromitah.

Di kalangan pengamal ilmu hakikat seperti Taslim wujud 
satu amalan nikah batin, yang pda asalnya lahir dari 
konsep batin yang disebar oleh kumpulan Syiah Batiniah. 
Nikah batin adalah satu amalan misteri bagi golongan 
Taslim.ereka merahsiakan amalan ini dari sesiapa. Menurut 
Hj. Abdullah Fahim b. Abdul Rahman, nikah batin di 
Malaysia ia bukan sahaja diamalkan oleh kumpulan Taslim 
bahkan oleh individu lain. Menurutnya pada tahun 1986 
seorang gadis berumur 19 tahun dari Kuala Lumpur membuat 
laporan ke Pusat Islam yang menyatakan kakaknya telah 
dinikah batin oleh guru yang mengubat mereka secara batin. 
Kakak yang tua telah melahirkan 4 orang anak dan yang muda 
telah dua kali menggugurkan kandungannya. Guru itu dan 
kakaknya telah dibicarakan di Mahkamah Syariah Gombak 
Timor, Selangor atas tuduhan berzina sehingga melahirkan 
anak. Mereka mengaku salah dan guru tersebut tidak sebut 
langsung hal ‘nikah batin’, ini berlaku pada 28 Mac 1986. 
(Lihat catitan kaki hal. 106: Abdullah Fahim b. Hj. Abd. 
Rahman: Satu Analisis Perbandingan Antara Doktrin-doktrin 
Dalam Ajaran Taslim, Ajaran Ahmad Laksamana dan Tarekat 
Naqsyabandiah Kadirun Yahya, Tesis, Fakulti Pengajian 
Islam UKM, 1991).

Ajaran Batiniah ialah ajaran Tasawuf yang mengandungi 3 
unsur iaitu: fahaman Hulul iaitu penyerapan Tuhan dengan 
hamba dan Wahdatul Wujud dan semacam dengannya, faham 
Syariah Ismailiyah dan Batiniah dan yang semacam dengannya 
dan ilmu Kebatinan hasil sankratisma antara kepercayaan 
primitif, agama Hindu, Buddha, Tasawuf Wahdatul wujud dan 
ajaran Syiah terutamanya yang terdapat di negara jiran.

Antara ajaran sesat yang mengandungi unsur Batiniah ialah 
ajaran Taslim, ajaran Tajalli Ahmad Laksamana Kelantan. 
Ada doktrin wujudiah, batin, takwil, gnosis, emanasi dan 
kebatinan Jawa (A. Fahim Ibid. H. 193).


FAKTOR KETIGA:

AJARAN SYIAH

9. Yang dimaksudkan dengan ajaran Syiah di sini ialah 
Syiah Nusairiyah dan Nizariyyah serta Musta’liyah dan Druz 
. Syiah Ismailiyah berjaya menegakkan kerajaan Fatimi di 
Mesir tahun 358 Hijrah. Dalam tahun 487 Imam Kerajaan 
Fatimi bergelar al-Mustansirbillah meninggal dunia, lalu 
puak Ismailiyah berpecah dua, satu mengikut Nizar bergelar 
Nizariyah dan satu lagi mengikut adiknya al-Musta’li lalu 
digelar at-Musta’liyah. Ada lagi pecahan lain iaitu Druz 
dan Nasiriyah yang ada di Lubnan, Syria dan Palestin. 
Selain itu Syiah Dua Belas yang berakidah dengan dengan 
Imamah, Wasi, Ismah, Hulul Zahir – Batin. Ia mengandungi 4 
konsep utama iaitu:

i. Ada zahir dan batin
ii. Ada tanzil dan takwil
iii. Ada takiyyah
iv. Ada wasi

Di sepanjang sejarah Gerakan Syiah meninggalkan imej buruk 
yang penuh dengan ugutan, ancaman, pergaduhan dan 
kekerasan. Sikap kekerasan ini adalah warisan daripada 
saki baki gerakan syiah Ismailiyah yang berpusat di 
Aalamut yang diketuai oleh Al-Hasan al-Sabah di abad ke 
enam Hijrah, yang kadangkala menggunakan Hasyisy (ganja) 
atau seumpamanya.


FAKTOR KEEMPAT:

AMALAN KHURAFAT

10. Berpunca dari tiga unsur Sin Kritisma, Hindu-Buddha 
dan Animisma dan Dinisma. Ia dijelmakan dalam 
amalan-amalan perbomohan dan kesaktian.


FAKTOR KELIMA:

USAHA MENJAUHKAN UMAT ISLAM DARI AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

11. Ada pihak tertentu berusaha menyeleweng umat Islam 
agar tidak mengamalkan ajaran al-Quran dan As-Sunnah atau 
salah satu darinya. Mereka terdiri dari golongan munafikin 
dan zindik dengan usaha tertentu antaranya:

i. Pentafsiran batin oleh golongan kebatinan dan 
menyatakan al-Quran ada makna zahir dan makna batin dan 
mendakwa yang wajib diamalkan ialah yang batin sahaja.

ii. Pentafsiran dengan angka.

iii. Pentafsiran palsu ke atas surah Al-Muddathir ayat 30 
dan 31 oleh Rashad Khalifa.

iv. Penetapan tarikh berlakunya kiamat.

CIRI-CIRI AJARAN SESAT

12. Ciri-ciri yang didapati dalam ajaran-ajaran sesat di 
Malahsia adalah seperti berikut:-

(1) Mengaku diri atau gurunya sebagai Nabi atau wakilnya 
dan mendakwa menerima wahyu.

(2) Mengaku diri atau gurunya sebagai Imam Al-Mahdi atau 
mempercayai bahawa orang-orang tertentu tidak mati dan 
akan muncul sebagai manusia yang istimewa seperti Imam 
Al-Mahdi dan sebagainya (Qadyani, Bahai, 4 Sahabat, Nasir, 
Mufarridiah).

(3) Mempercayai bahawa roh orang yang mati menjelma semula 
ke dalam jasad orang yang masih hidup.

(4) Mendakwa pengikut-pengikut ajaran/tarikatnya sahaja 
yang dijamin masuk syurga.

(5) Mendakwa gurunya memegang kunci pintu syurga.

(6) Mempercayai bahaw agurunya boleh menebus dosa dengan 
wang.

(7) Mendakwa bahawa semua agama adalah sama.

(8) Mempercayai bahawa orang yang telah mati boleh memberi 
pertolongan apabila diseru namanya.

(9) Memohon kepada benda-benda tertentu seperti batu, 
cicin dan sebagainya untuk sampai kepada Tuhan.

(10) Melakukan penyerahan rohani dan jasmani kepada guru 
melalui nikah batin dengan tujuan untuk mendapat anak yang 
soleh @ anak hakikat.

(11) Mengaku Allah menjelma di dalam diri.

(12) Mendakwa atau mengaku dirinya sebagai wakil Nabi yang 
boleh memberi syafaat kepada muridnya.

(13) Mendakwa ajaran atau tarikatnya yang diamal sekarang 
diambil terus dari Rasulullah s.a.w. secara jaga 
(Yaqazah).

(14) Mengaku dan mempercayai bahawa seseorang itu boleh 
berhubung dengan Allah melalui Nur Muhammad yang berada di 
dalam dirinya dan dengan demikian di dakwa pasti masuk 
syurga.

(15) Memansuhkan syariat-syariat Islam seperti sembahyang, 
puasa, haji dan membuat syariat baru @ menganggapkan bila 
sampai kepada hakikat maka tidak perlu lagi syariat.

(16) Meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamalkan 
suluk.

(17) Mendakwa bahawa Ibadat Haji tidak semestinya 
ditunaikan di Mekah, tetapi boleh ditunaikan di 
tempat-tempat yang lain.

(18) Mengubah dengan sengaja ayat Al-Quran dan maskudnya.

(19) Mengaku dan mempercayai bhawa azimat (tangkal) boleh 
memberi kesan.

(20) Mendakwa bahawa setiap yang zahir ada batinnya dan 
setiap ayat yang diturunkan ada takwilnya seperti puasa, 
zakat, haji, nikah dan sebagainya ada batinnya. Mereka 
mendakwa orang yang mengamalkan syariah hanya kulit dan 
dant idak sampai kepada matlamat sebenar.


ANCAMAN KEPADA UMMAH DAN NEGARA

13. Penyebar ajaran menyeleweng telah banyak mendatangkan 
keburukan kepada umat dan negara. Antaranya melalui:

i) Mencela Ulama dan Fuqaha

Kebanyakan penganjur ataupun ajaran sesat didapati 
mendakwa diri mereka masing-masing atau dianggap oleh 
murid-murid atau pengikutnya sebagai manusia yang 
mengethaui segala isi iaitu ilmu hakikat dan mereka telah 
sampai maqam tinggi lalu menolak syariat, pada umumnya 
mereka mempunyai motif untuk mencela ulama dan fuqaha. 
Dalam masa yang sama meletakkan taraf ulama kepada dua 
iaitu ulama zahir dan batin. Ulama zahir ialah ulama yang 
hanya mengetahui perkara-perkara zahir seperti ulama yang 
ada hari ini, sedangkan bagi diri mereka diletakkan taraf 
yang lebih tinggi dan kedudukannya lebih mulia kerana 
mengetahui rahsia batin dan ilmu hakikat.

ii) Membuat Takwilan Dalam Agama

Guru ajaran sesat berani melakukan takwilan-takwilan 
terhadap ayat-ayat al-Quran dan Hadith Nabi s.a.w. dengan 
membuat huraian-huraian tanpa asas syarie. Mereka 
terpengaruh dengan ajaran Batiniah dan mengguna doktrin 
batin dan takwil dalam menghuraikan konsep wujudiah yang 
dipegangnya. Hal ini boleh dilihat dalam bentuk takwil 
terhadap kalimah-kalimah atas lafaz-lafaz yang berkaitan 
dengan ibadah seperti pada angka dan pandangan huruf.

iii) Kepentingan Peribadi dan Sex

Ajaran-ajaran sesat kebanyakannya adalah mempunyai motif 
dan kepentingan peribadi guru-guru ajaran sesat itu. Ini 
termasuk kepentingan kepada kedudukan, pangkat kebendaan 
dan seks bebas umpamanya dengan mengamalkan Nikah Batin: 
yang dinikah itu namanya maknikam, maharnya ialah air 
mani, walinya Allah Taala, yang manikamnya Muhamad 
saksinya Kiraman-Katibin (dalam ajaran Tariqatul Islam). 
Nikah Batin ialah nikah yang dijalankan secara rahsia oleh 
guru atas muridnya. Ia boleh berlaku antara guru dengan 
murid atau murid dengan murid, tidak terikat dengan hukum 
syarak. Maksud maknikam ialah perempuan yang dinikah.

iv) Ingin Melemahkan Perpaduan dan Menghancurkan Agama 
Islam Melalui Gerakan Rahsia

Peri adanya golongan atau individu yang dengan sengaja 
tetapi secara halus, ingin merosakkan agama Islam memang 
wujud, malah sejak zaman Rasulullah dan para sahabat lagi. 
Tetapi mereka telah mengalami kegagalan kerana Islam telah 
dapat dikawal dengan ketatnya pada masa itu. Tetapi 
perisai kawalan ini telah dapat ditembusi oleh seteru-teru 
Islam itu di zaman Khalifah Umaiyyah dan di zaman-zaman 
selepasnya. Mereka melakukan penyelewengan dalam 
berbagai-bagai segi sama ada di segi akidah atau syariah. 
Di dalam keadaan tertentu mereka menafikan kebenaran 
sumber-sumber Islam itu sendiri dan dalam keadaan lain 
pula mereka menyelewengkan hukum dan syariat Islam. Hal 
ini dapat dilihat juga di negara ini melalui:

i. Ajaran Crypto Mokhtar Hassan di hukum di Mahkamah 
Syariah (Kuang Selangor, 1978) ajaran ini menafikan 
Al-Quran, membatalkan ibadat sembahyang dan lain-lain. 
Ajaran ini tidak ada sambutan.

ii. Ajaran Taslim (difatwa oleh Jawatankuasa Kedah 1969) 
ajaran ini kadang-kadang mengurangkan pengerjaan ibadat 
sembahyang dan puasa.

iii. Ajaran Tajalli @ Hakikat Insan Ahmad Laksamana, 
Kelantan (dihukum di Kelantan tahun 1986). Ajaran ini 
memperkecilkan ulama syariat. Ia telah merebak ke serata 
negeri.

iv. Ajaran Mohd. Nasir Ismail Kemboja (Batu Pahat 1980) 
yang menafikan fardhu Jumaat serta menyalahkan orang lain, 
akhirnya telah menyerang Balai Polis Batu Pahat.

v. Kumpulan Anti Hadis (Jawatankuasa Fatwa Wilayah 
Persekutuan mengharamkannya Januari 1986, Jawatankuasa 
Fatwa Selangor mengharamkan November 1995).

v) Untuk memecahbelahkan perpaduan dan persaudaraan umat 
Islam.

Syiah yang tumbuh tahun 36H, dan sekarang Syiah di Iran, 
Lubnan, Pakistan dan lain-lain telah menimbulkan banyak 
masalah kepada dunia Islam. Di Malaysia kes Abu talib 
Haron @ Ahmad Habibullah Ahmad As-Salfi 34 tahun yang 
berkahwin dengan 10 orang (6 bermutaah) dituduh dengan 16 
tuduhan berasingan (mulai dibicara bulan Julai 1994), di 
Johor Bahru telah menguji kewibawaan pihak berkuasa agama 
akhirnya beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama 
dua (2) tahun mulai Julai tahun 1995.

vi) Untuk Menguji Sejauhmana Kefahaman Dan Ketaatan Umat 
Islam Terhadap Agamanya

Apabila mereka berjaya dengan motif tersebut, maka 
senanglah agama dan umat Islam dihancurkan dan diganti 
dengan ideologi dan sistem asing.

Mangsa Ajaran Sesat

20. Golongan yang mudah terpengaruh menjadi mangsa ajaran 
sesat ialah terdiri daripada:

(i) mereka yang jahil dan kosong jiwa kerana tidak 
mempunyai pengetahuan agama yang cukup. Dan mendapat 
dorongn kawan-kawan supaya berguru atau belajar melalui 
orang-orang tertentu yang mengajar secara rahsia dan 
sulit;

(ii) mereka yang ghairah mencari ketenangan jiwa dan 
kesempurnan beragama terutama melalui unsur kerohanian 
dengan cara jalan dekat tanpa ikut sunnah; dan

(iii) golongan yang salah atau menyeleweng dalam hal yang 
berhubung dengan usul; hal ini terjadi kerana mereka 
kurang kemantapan dalam usul syariyyah dan tunjangan serta 
pengetahuan mereka yang lemah dalam hal Shaddik dan 
ikhlas. Mereka mendakwa diri hampir dengan Allah dan 
berada di makam tertinggi.

Dalam keadaan ini terdapat orang yang suka 
mengeksploitasikan kejahilan dan kedahagaan masyarakat 
kepada kesempurnaan kerohanian dan lalu digunakan untuk 
kepentingan tertentu, seperti untuk mendapat kekayaan, 
pangkat, kuasa dan sex bebas. Di samping itu terdapat 
golongan yang berpegang kepada konsep kebebasan 
intelektualisme. Golongan ini mengagungkan rasionalisme 
dan pendekatan apa yang dikatakan secara sainstifik dan 
emparical dalam soal agama. Golongan ini membawa fahaman 
modenisasi dalam Islam yang bertentangan dengan akidah dan 
fahaman yang diiktiraf dan diterima oleh masyarakat di 
negara ini. Mereka ini dengan fikiran-fikiran baru itu 
menggugat akidah orang yang kurang kukuh pegangannya. 
Dengan akhirnya menimbulkan ajaran-ajaran sesat yang 
membawa perpecahan dalam masyarakat.


IMPLIKASI TERHADAP KEMURNIAN AKIDAH DAN KESELAMATAN

14. Kumpulan ajaran sesat didapati sentiasa muncul dan 
merebak daripada satu negeri ke satu negeri yang lain atau 
ke seluruh negara, jika tindakan membenterasnya tidak 
diberikan tumpuan yang bersungguh-sungguh. Tindakan yang 
diambil oleh pihak berkuasa negeri terhadap 
kumpulan-kumpulan ajaran sesat tertentu tidak memberi 
kesan yang positif kerana ia akan berpindah ke 
negeri-negeri lain. Ini memerlukan tindakan bersepadu oleh 
semua pihak di bawah penyelarasan sebuah agensi pusat. 
Perancangan membanteras ajaran sesat memerlukan proses 
yang seragam bagi menunjukkan tindakannya berkesan dan 
hasilnya dapat dijangka dengan lebih tepat. Dengan 
demikian, JAKIM perlu diberi tugas menyelaraskan program 
tindakan ini.

Sudah nyata pada pandangan umum, bahawa ajaran-ajaran 
sesat ini telah membawa dan boleh membawa kepada beberapa 
akibat dan ancaman kepada agama dan keamanan. Antara 
akibat-akibat ancaman itu ialah;

(a) Meluasnya kesesatan di segi akidah dan penyelewngan di 
segi ibadat orang-orang Islam. Ini dapat digambarkan 
melalui ajaran-ajaran sesat yang disebutkan di atas.

(b) Meluasnya perpecahan dalam masyarakat Islam.

Tiap-tiap ajaran sesat mempunyai ‘Ketua Guru’ dan 
pengikutnya sendiri. Antara mereka mempunyai perhubungan 
yang rapat seolah-olah hubungan antara ‘saudara dengan 
saudaranya yang lain’. Melalui ajaran yang dianuti, mereka 
memupuk persefahaman hidup dan jika dapat, cuba mewujudkan 
kumpulan atau masyarakat mereka sendiri. Dari sinilah 
wujudnya apa yang boleh dipanggil:

i. ‘Masyarakat Orang Qadiani’ di Kg. Nakhoda, Selangor.
ii. ‘Masyarakat Orang Taslim’ di Yan, Kedah.
iii. ‘Masyarakat Ikhwan’ @ ‘Al-Mas’ di W. Persekutuan, 
Selangor dan Melaka.

Sebagaimana yang telah diketahui, ahli-ahli kumpulan 
masyarakat di atas antaranya tidak boleh berkahwin dengan 
orang yang bukan dari ahli masyarakat mereka, atas arahan 
dan hukum dari ajaran itu sendiri. Ini menimbulkan akibat 
yang buruk, bukan sahaja dari segi agama malah dari segi 
sosial.

(c) Timbulnya berbagai-bagai keganasan di dalam 
masyarakat.

Keganasan yang timbul bukan sahaja sekadar mencedera dan 
membunuh orang lain, malah boleh membunuh diri mereka 
sendiri. Hal ini boleh ditunjukkan dari beberapa kejadian 
berikut:-

i. Pembunuhan dan tembak menembak antara polis dengan 
Kumpulan Ajaran Empat Sahabat, Kg. Dedap Rantau Panjang, 
Kelantan pada 19 Oktober 1974. Dalam kejadian ini, seorang 
dari kumpulan 22 orang itu telah mati tertembak dan yang 
lain-lain cedera parah atau cedera. Dalam pertempuran 
dengan anggota polis dan Rela itu mereka telah cuba 
bertahan dan tidak mahu menyerah sehinggalah mereka tidak 
berdaya lagi dan terus ditangkap. Mereka kemudiannya 
didakwa dan dihukum salah oleh Mahkamah Kadi Besar 
Kelantan pada tahun 1974 atas kesalahan mengajar ajaran 
salah.

ii. Serangan dengan parang oleh seorang awam ke atas 
seorang pengikut Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya di 
Bukit Marak, Kelantan pada tahun 1976. Pengikut tersebut 
telah luka di bahu dan dimasukkan ke Hospital Besar Kota 
Bharu. Ini berlaku akibat dakwaan pengikut tarikt tersebut 
bahawa orang yang tidak memasuki tarikatnya adalah tidak 
betul, tidak selamat dan tidak terjamin masuk syurga.

iii. Serangan Tajul Ariffin yang mendakwa dirinya Imam 
Mahdi, ke atas Tuan Hj. Damanhuri b. Hj. Abd. Wahab, di 
masjid Rapat Setia, Ipoh, Perak pada 5 Julai 1979. Ini 
berikutan keengganan orang lain mengiktiraf dirinya 
sebagai Imam Mahdi. Haji Damanhuri telah luka. Walau 
bagaimanapun, pemeriksaan doktor menunjukkan bahawa Tajul 
Ariffin adalah kurang siuman dan pernah dimasukkan ke 
Hospital Tanjung Rambutan untuk rawatan sakit otak.

iv. Serangan pengikut-pengikut Haji Kamaruddin bin Ahmad 
Kajang, ke atas kuil-kuil Hindu di Selangor dan Wilayah 
Persekutuan dan akhirnya Kuil Hindu di Kerling, Selangor 
pada 19 Ogos 1979. Akibat dari serangan ini empat (4) 
orang dari mereka telah dicederakan hingga mati oleh 
penjaga-penjaga kuil tersebut.

v. Serangan kumpulan Mohd. Nasir bin Ismail (seramai 15) 
orang ke atas Balai Polis Batu Pahat pada pagi 16 Oktober 
1980 dan mencederakan berbelas orang polis dan kakitangan 
Balai tersebut. Akibatnya 8 orang dari kumpulan ini, 
termasuk Nasir sendiri telah mati ditembak oleh Polis.

(iv) Berlakunya keretakan dalam keluarga.

Apabila terdapat seorang dari anggota keluarga itu, 
khususnya si suami yang memasuki satu-satu ajaran sesat, 
maka berlakulah keretakan dalam keluarganya, terutama 
apabila isteri tidak menyertai sama suaminya atau tidak 
menyokongnya. Hal ini berlaku apabila:

i. Si suami selalu menghabiskan masa siang dan malam 
bersama-sama guru dan pengikut yang lain dan apabila 
pulang ke rumah amalan-amalan di dalam ajaran tesebut 
diteruskan lagi dan kadang-kadang jelas pada pandangan 
isteri amalan dan iktikadnya sudah menyeleweng begitu juga 
sebaliknya.

ii. Banyak harta benda dan wang dicurah dan digunakan 
untuk kepentingan ajaran, guru dan pengikutnya. Hal ini 
berlaku kepada pengikut kumpulan al-Arqam dan lain-lain.

Hal yang sama berlaku pada pengikut-pengikut beberapa 
ajaran sesat.

iii. Si suami tidak lagi mahu mencampuri sahabat handai 
biasa yang bukan menjadi ahli ajaran yang diikutinya. Ini 
menyulitkan kehidupan biasa keluarga tersebut.

Dan terdapat berbagai-bagai akibat dan bencana lain lagi 
hasil wujudnya ajaran-ajaran sesat ini.

PENUTUP

20. Mudah-mudahan dengan penjelasan mengenai ajaran sesat 
ini boleh memberi garis panduan dalam usaha pembanterasan 
ajaran sesat di negeri-negeri.


Disediakan oleh:

Bahagian Penyelidikan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Kuala Lumpur
Mei 2000


http://www.islam.gov.my/ppi/ajaransesat.html




------------------------------------------------------------------------
Website Islam pilihan anda.
http://www.assunnah.or.id
http://www.almanhaj.or.id
Website kajian Islam -----> http://assunnah.mine.nu
Berlangganan: [EMAIL PROTECTED]
Ketentuan posting : [EMAIL PROTECTED]
------------------------------------------------------------------------ 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/assunnah/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke