PELITA BRUNEI 19 September, 2007 7 Ramadan 1428 Tahun 52 Bilangan 38
LANGKAH MELARANG PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT DI SEKOLAH DIANGGAP WAJAR Oleh : Dk. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor [EMAIL PROTECTED] Norliah Md. Zain KEMENTERIAN Pendidikan telah menguatkuasakan larangan bagi para penuntut dan murid-murid di kesemua sekolah menengah dan rendah kerajaan senegara membawa telefon bimbit ke sekolah. Menurut surat pemberitahuan Kementerian Pendidikan, arahan ini mula berkuat kuasa pada 1 September 2007. Dalam arahan ini, menegaskan mana-mana penuntut dan murid yang didapati tidak mematuhinya perlulah diambil tindakan bersesuaian oleh pihak sekolah masing-masing. Manakala semua pengetua dan guru besar dikehendaki untuk memaklumkan perkara ini kepada ibu bapa / penjaga penuntut-penuntut / murid secara bertulis. Berikutan dengan arahan ini, pelbagai peringkat terutama guru-guru dan penuntut-penuntut telah menyambut baik termasuklah beberapa buah sekolah sendiri sudah mulai memperketatkan larangan penggunaan telefon bimbit di sekolah, atas alasan boleh mengganggu pelajaran penuntut kerana khidmat pesanan ringkas (sms) dengan kawan atau kekasih semasa belajar. Apa lagi dengan telefon bimbit bila diperhatikan ramai kalangan penuntut yang memiliki telefon bimbit yang berkualiti tinggi dan tentunya mahal berbanding dengan ibu bapa mereka sendiri. Ketika wakil PELITA BRUNEI menemui beberapa guru telah menyatakan reaksi positif terhadap larangan ini, sudah tiba masanya ianya dikuatkuasakan memandangkan semakin banyaknya para pelajar menggunakannya. Dengan penguatkuasaan ini adalah salah satu cara yang berkesan bagi memastikan telefon bimbit tidak dibawa ke sekolah. Bagi beberapa orang guru yang ditemui berpendapat, dengan meluasnya penggunaan telefon bimbit telah mengubah bukan sahaja cara para pelajar berkomunikasi tetapi malangnya ada yang menggunakannya menghantar 'blue-tooth' dengan kawan atau kekasih semasa belajar yang lebih buruk lagi penyebaran gambar-gambar lucah melalui sms di kalangan penuntut. Bagi Dayang Nur Suria binti Ideris, Jurutera Kimia dan rakannya Dk. Sapiah binti Pg. Ismail, Jurutera Mekanik dan Dayang Sofianti binti Haji Mohd. Daud, Jurutera Awam menyambut baik penguatkuasaan tersebut. Semasa masih jadi pelajar lagi, kami memang di larang membawa telefon bimbit, ia bukan sahaja menggangu suasana belajar dalam kelas dengan pelbagai bunyi sms malah ketenteraman belajar penuntut yang lain. Bagi Awang Mohaimin dari BSP, Ada juga baiknya pihak kementerian melarang murid-murid membawa telefon bimbit ke sekolah kerana didapati ada sesetengah murid mengambil kesempatan untuk ber'chatting' di dalam kelas dan tidak menumpukan perhatian penuh terhadap pembelajaran. Tetapi apabila larangan ini dibuat, ibu bapa pula sukar untuk menghubungi anak-anak mereka terutama sekali untuk mengetahui jam pulang dari sekolah selepas menghadiri kelas tambahan. Mungkin kelonggaran boleh dibuat dengan mengenakan peraturan bahawa para pelajar hanya boleh membawa telefon jenis 'basic' sahaja iaitu yang cuma dapat menelefon dan sms. Bagi Awang Hasmeddie bin Kelali dari Brunei Shell Tankers, juga menyatakan penggunaan telefon bimbit boleh dibawa oleh para pelajar tetapi biarlah ia berbentuk 'basic' ertinya bila ada penerimaan dan menghantar sms kepada ibu bapa atau penjaga ketika hendak memastikan pelajar tersebut berada di sekolah atau adanya perubahan kelas, kadang-kadang memerlukan waktu pengambilan mereka balik, maklumlah ibu juga sibuk berada di pejabat. 'Fleksibel' Bagaimanapun sebahagia beberapa pelajar dari pengajian tinggi di negara ini tidak bersetuju dengan langkah tersebut kerana bagi mereka penggunaannya haruslah dilihat dari kesesuaian pelajar sekolah tinggi, menengah dan rendah. Awang Nadzuan bin Narawi dari Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien (SOAS), rasa larangan menggunakan telefon bimbit tidak salah bagi pelajar yang menuntut di sekolah rendah dan menengah, tetapi jika ia membabitkan pelajar maktab saya rasa larangan ini perlu 'fleksibel'. Ini kerana jadual sekolah bagi pelajar-pelajar di peringkat maktab dan institusi yang tinggi tidak menentu. "Kami perlu telefon bimbit untuk menghubungi ibu bapa untuk mengambil kami di sekolah. Sepanjang pengamatan saya, rakan sekelas saya di maktab langsung tidak menggunakan telefon bimbit ketika belajar," ujar Awang Nadzuan. Ada kalanya para penuntut perlu menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi guru untuk mengetahui jadual kelas tambahan. Pada masa ini ciptaan telefon bimbit semakin canggih. Ia bukan sahaja untuk kegunaan berkomunikasi seperti berbual dan pesanan ringkas, malah telefon bimbit juga boleh digunakan untuk menaip kerja-kerja sekolah dan 'save' kerja-kerja sekolah di dalam telefon bimbit itu. Telefon bimbit pada masa ini sudah mempunyai fungsi yang pelbagai. "Oleh itu kami tidak lagi perlu membawa komputer riba kerana telefon bimbit selain untuk menaip kerja-kerja sekolah malah ia juga mempunyai akses internet. Ia memudahkan bagi kami untuk menghantar kerja sekolah kepada guru-guru melalui e-mel. Telefon bimbit pada masa ini juga boleh digunakan semasa membuat pembentangan iaitu untuk mengawal 'presentation slide' seperti powerpoint'. Oleh itu, telefon bimbit adalah satu keperluan bagi para pelajar institusi tinggi," ujar Dayang Iliyana Melissa binti Muhd. Husain dari Pusat Tingkatan Enam Berakas (PTEB). Bagi Lim Wen Khong dan Abdul Muiz bin Haji Abdullah, PTEB, juga bersetuju dengan pendapat rakan saya bahawa telefon bimbit itu adalah satu keperluan dan pelajar-pelajar institusi tinggi sudah matang dan semestinya tahu bila waktu yang sesuai untuk menggunakan telefon bimbit. Gunakan telefon awam Bagi pelajar Menengah 5A Sekolah Menegah Sayyidina Abu Bakar, Dayang Hajah Nur Nadhirah binti haji Ahad berpendapat jika pelajar mahu menghubungi ibu bapa mereka, mereka boleh melalui telefon awam atau kedai di sekolah seperti sudah menyediakan telefon kad untuk menghubungi mereka. Dalam pada itu, Dayang Hajah Nur Nadhirah berkata katani perlu menjaga telefon awam jangan ada yang menjadi pemugut merosakkannya dan menyusahkan orang lain. Bagi Nur'Aisyah Hamidah binti Haji Jemain dari PTEB bersetuju dengan tindakan Kementerian Pendidikan membuat larangan membawa telefon bimbit ke atas para pelajar. Ini kerana para penuntut boleh menumpukan pelajaran semasa di dalam kelas. Bagi yang ingin menghubungi ibu bapa mereka masih boleh menggunakan telefon awam yang disediakan di sekolah. Dikhuatiri Murid-murid juga dikhuatiri menyalahgunakan telefon bimbit semasa proses pengajaran dan pembelajaran diadakan. Antara lain, murid dikhuatiri menggunakan telefon bimbit untuk menipu dalam peperiksaan. Mereka juga mungkin leka menggunakan SMS dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada pengajaran. Selain itu, tidak mustahil jika terdapat murid yang memuat turun perkara-perkara yang tidak diingini semasa di dalam kelas. Tidak keterlaluan jika kita mengandaikan bahawa akan timbul kesan psikologi terhadap murid sekolah yang kurang mampu. Maka akan wujudlah suatu 'trend' dalam kalangan murid sekolah bahawa telefon bimbit ialah perkara penting pada zaman persekolahan. Oleh itu, mereka akan memaksa ibu bapa membelikan telefon itu untuk mereka. Selain itu, pemilikan telefon bimbit dalam kalangan murid dikhuatiri menimbulkan suasana hubungan sosial yang tidak baik di dalam kawasan sekolah. Ini kerana ada murid yang mula menjadikan telefon sebagai salah satu simbol status sosial. Jika satu ketika dahulu jenama kasut, beg dan sebagainya pun boleh digunakan sebagai simbol status sosial di kalangan murid, maka telefon bimbit juga diramal akan turut menjadi alat untuk murid menunjuk-nunjuk. Masalah penggunaan telefon bimbit di sekolah perlu diberikan perhatian. Dengan itu, langkah melarang penggunaan telefon bimbit di sekolah dianggap wajar. Larangan ini wajar diteruskan memandangkan penggunaan telefon bimbit lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Sebenarnya, apa sebabnya telefon bimbit tidak dibenarkan di sekolah? Apakah keburukan yang selalu diperkatakan itu? Kita harus menimbangkan dengan bijaksana apakah yang dimaksudkan dengan keburukan telefon bimbit mengatasi kebaikannya.
