http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

29 lagi ditahan -- Termasuk 12 pemimpin pembangkang kerana perhimpunan haram
Oleh KHAIRUL AZRAN HUSSIN, TAN MING WAI, ZULKIFLI MANZOR, NORMALA ZULKIFLI dan 
RASHIDAH RAHIM



KUALA LUMPUR 11 Dis. - Seramai 29 orang termasuk 12 pemimpin parti pembangkang 
dan badan bukan kerajaan (NGO) ditahan kerana terlibat dalam perhimpunan haram 
di luar kawasan Parlimen, hari ini.

Pemimpin pembangkang yang ditahan ialah Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat 
(PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim; Ketua Penerangan PKR, Tian Chua; Ketua Dewan 
Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh; Bendahari Agung Pas, Dr. Hatta Ramli dan 
Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Lo' Lo' Mohd. Ghazali.

Dua yang lain ialah Pengerusi Penaja Parti Sosialis, Dr. Nasir Hashim dan 
setiausaha agung penaja parti itu, S. Arutchelvan.

Mereka ditahan secara berasingan di luar pintu masuk utama Parlimen dan kawasan 
sekitarnya yang menjadi tempat perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya 
Bersih dan Adil (Bersih) bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari ini.

Selepas itu, Pengarah Pilihan Raya Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu, 
Datuk Mustafa Ali pula antara lima pemimpin yang ditahan di dalam kawasan 
Parlimen, pukul 1 petang ini.

Mereka ditahan di tempat letak kereta kawasan Parlimen selepas menyerahkan satu 
memorandum kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di lobi 
Parlimen.

Memorandum itu ialah berkaitan bantahan Bersih terhadap tindakan meminda 
Perlembagaan Persekutuan untuk melanjutkan umur persaraan ahli Suruhanjaya 
Pilihan Raya (SPR) di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain Mustafa, empat lagi yang ditahan ialah Pengarah Eksekutif Suara Rakyat 
Malaysia (Suaram), Yap Swee Seng; Ahli Writers Alliance of Media Independence, 
Wong Chin Huat; Pengasas Pusat Komunikasi Masyarakat, Mein Lor dan Pengarah 
Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas, V. Gayathry.

Selain 12 pemimpin parti pembangkang dan NGO terbabit, turut ditahan ialah 17 
aktivis dan orang awam iaitu antara 100 penyokong Bersih yang berhimpun di 
persimpangan Dato' Onn berhampiran bangunan Bank Negara Malaysia (BNM) di sini.

Tian Chua adalah pemimpin pembangkang pertama ditahan iaitu pada kira-kira 
pukul 10.35 pagi ketika beliau bersama seorang rakan lelakinya yang berkereta 
melanggar sekatan polis di Jalan Parlimen berdekatan Tugu Negara.

Beliau dan lelaki itu berjaya ditahan walaupun pada satu ketika mereka enggan 
keluar dari kereta.

Pada pukul 11.05 pagi, Nuridah, Dr. Hatta dan Dr. Lo' Lo' ditahan bersama lima 
pemimpin Pas yang lain ketika berkumpul di luar kawasan Parlimen.

Ini diikuti penahanan Khalid pada pukul 12 tengah hari selepas bercakap kepada 
pemberita di luar pintu pagar utama kawasan Parlimen.

Kesemua tahanan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPKKL) untuk 
disoal siasat sebelum kesemuanya dibebaskan secara berperingkat-peringkat 
dengan jaminan polis bermula petang ini, didahului Khalid dan Mustafa pada 
kira-kira pukul 3 petang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar yang dihubungi Utusan Malaysia 
memberitahu, kesemua tahanan itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis malam 
ini selepas masing-masing selesai disoal siasat.

Menurutnya, kesemua 29 orang itu ditahan di beberapa lokasi sekitar Parlimen 
sejak pukul 9 pagi sehingga 1 petang ini.

Tambah beliau, mereka ditahan kerana melanggar perintah mahkamah semalam yang 
melarang penyokong Bersih daripada berkumpul di bangunan Parlimen hari ini.

"Mereka tetap berdegil dan ingkar arahan mahkamah, jadi polis terpaksa tahan 
mereka," katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, selain persimpangan Dato' Onn, Jalan Parlimen dan 
Jalan Kinabalu, semua jalan utama di ibu kota yang mempunyai akses ke Parlimen 
ditutup atau diadakan sekatan oleh polis.

Di Jalan Parlimen dan Jalan Kinabalu, laluan itu dikawal ketat oleh kira-kira 
500 anggota polis, termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditempatkan 
di beberapa lokasi berhampiran Parlimen.

Ekoran itu, cubaan peserta perhimpunan untuk menuju ke bangunan Parlimen 
menerusi persimpangan Dato' Onn berjaya dihalang pihak polis yang berkawal 
sejak pukul 3 pagi lagi.

Para penyokong Bersih yang tidak berpuas hati kemudian berjalan kaki menuju ke 
IPKKL bagi menuntut supaya polis membebaskan pemimpin dan rakan-rakan mereka 
yang telah ditahan.

Kumpulan tersebut yang tiba di IPKKL pukul 1 petang berdegil enggan bersurai 
walaupun diberi amaran oleh Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan 
Ketenteraman Awam (KDN/KA) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner K. Kumaran.

Mereka hanya mematuhi arahan dan bersurai kira-kira pukul 2.15 petang selepas 
diminta oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub yang datang ke IPKKL.

Kirim email ke