http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm

Anti-Islam: Jangan mudah hukum Barat
Laporan MARHAINI KAMARUDDIN, SAIFULIZAM MOHAMAD dan WAN SYAMSUL AMLY
KUALA LUMPUR 16 Feb. - Dunia Islam tidak harus terlalu mudah menghukum semua 
masyarakat Barat membenci Islam kerana masih terdapat sebahagian daripada 
mereka menghormati agama suci itu. 

Syeikhul Al-Azhar, Dr. Muhammed Sayyid Tantawi berkata, tuduhan seumpama itu 
tidak adil kerana sifatnya berat sebelah, sekali gus tidak menggambarkan 
keadaan yang sebenar khususnya kepada mereka yang pro-Islam.

Sehubungan itu beliau meminta, pendapat yang terlalu umum mengenai hubungan 
antara Islam dan Barat perlu dielakkan supaya tidak berlaku salah faham.

''Pada tahun ini kira-kira 3,000 pelajar di Universiti Al-Azhar yang berasal 
dari negara-negara bukan Islam (negara-negara Barat) telah memeluk Islam dan 
ini menunjukkan tidak semua masyarakat Barat membenci Islam. Kejayaan ini amat 
membanggakan kita.

''Mereka memeluk Islam kerana yakin dengan Islam. Oleh itu kita perlu 
menunjukkan kepada pihak Barat cara Islam yang sebenarnya," katanya pada sidang 
akhbar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Dakwah dan 
Pengurusan Islam) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang disampaikan 
Canselornya, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin.

Tantawi berkata, selain memberi contoh yang terbaik, setiap umat Islam juga 
bertanggungjawab mempertahankan ajaran agama suci itu daripada diganggu gugat 
oleh mana-mana pihak.

''Ini bukan tanggungjawab pihak tertentu sahaja tetapi juga semua (penganut) 
Islam," ujarnya.

Mengenai isu perselisihan pendapat antara Ahli Sunah Wal Jamaah dan Syiah, 
beliau berkata, selagi semua pihak berpegang kepada akidah yang sama, mengakui 
kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan semua nabi serta mengiktiraf sahabat-sahabat 
Rasulullah, perbezaan yang berlaku itu tidak harus menjadi punca perpecahan.

''Bagi saya tiada bezanya antara Ahli Sunah dan Syiah kerana kedua-duanya masih 
berpegang kepada akidah yang satu dan kita semua tetap bersaudara," katanya 
lagi.

Ditanya mengenai langkah kerajaan Iran membina teknologi nuklear bagi tujuan 
menjana tenaga elektrik, Tantawi berpendapat setiap program yang memberi 
manfaat kepada rakyat hendaklah disokong.

''Apa jua projek yang tidak memudaratkan rakyat, hendaklah disokong 
sepenuhnya," ujarnya lagi.

Kirim email ke