http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm 15 Februari 2010 / 1 Rabiul Awal 1431 Ratu Mak Nyah Aceh
PESERTA-PESERTA pertandingan Ratu Mak Nyah memakai pakaian tradisional di
Banda Aceh, kelmarin. - AP
--------------------------------------------------------------------------
BANDA ACEH 14 Feb. - Berpuluh-puluh mak nyah di Aceh menyertai satu
pertandingan untuk memilih Duta Budaya dan Sosial Aceh 2010, satu peraduan yang
diadakan bagi membolehkan golongan tersebut bertemu sesama mereka di wilayah
tersebut yang mengamalkan undang-undang syariah ketat.
"Selain memilih duta budaya dan sosial, pertandingan tersebut diadakan bagi
membolehkan golongan itu bermesra sesama mereka," kata Jimmy, ketua
jawatankuasa pertandingan tersebut seperti yang dipetik agensi berita Antara di
sini hari ini.
Pertandingan itu yang diadakan di dewan stesen radio negeri di Banda Aceh malam
semalam, telah memilih Angga atau Zifana Lestisia, 19, yang berasal dari
Lhokseumawe sebagai duta baru Aceh.
Menurut Jimmy, selain menguatkan hubungan persahabatan di antara mak nyah,
pertandingan itu juga diadakan bagi menghapuskan stigma negatif masyarakat
terhadap golongan tersebut.
"Pertandingan ini menunjukkan kepada masyarakat bahawa mak nyah juga boleh
mewakili aktiviti bermanfaat, yang telah diluluskan oleh Perhimpunan Perunding
Ulama Banda Aceh," ujarnya.
Katanya, seminggu sebelum pertandingan berlangsung, semua peserta pondan itu
telah dikuarantin bagi membolehkan mereka belajar tentang hak kemanusiaan serta
penjagaan sosial.
Semasa pertandingan berlangsung, setiap peserta diwajibkan memakai pakaian
tradisi daripada daerah yang diwakili dan pemenangnya akan dihantar bertanding
ke pertandingan lain di peringkat kebangsaan.
Sementara itu, Zifana berkata, dia akan berusaha memperkenalkan budaya Aceh di
peringkat kebangsaan dan pada masa sama menunjukkan bahawa mak nyah daripada
wilayah yang ketat mengamalkan undang-undang syariah boleh bertanding dengan
peserta dari wilayah lain. - Agensi
<<lu_06.1.jpg>>
