http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm
Krisis Bank Century, kedudukan Naib Presiden tidak terjejas
PENUNJUK-penunjuk perasaan membaling batu, kayu dan buluh ke arah pasukan
polis yang menghadang pagar bangunan Parlimen Indonesia di Jakarta, semalam
semasa membantah langkah kerajaan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono
menyelamatkan Century Bank. Sepanduk besar yang digantung di pagar tertera ayat
'Tukar rejim, tukar sistem tanpa SBY (Susilo)'. - AFP
--------------------------------------------------------------------------
JAKARTA 2 Mac - Satu siasatan jawatankuasa Parlimen Indonesia mengenai tindakan
kerajaan menyelamatkan Bank Century gagal mencapai keputusan sebulat suara hari
ini, namun dua teknokrat utama dalam Kabinet dijangka mengekalkan jawatan
masing-masing.
Kegagalan itu menunjukkan keretakan serius dalam kerajaan campuran pimpinan
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berhubung program pembaharuan di negara ini.
Syor-syor jawatankuasa tersebut mendapat perhatian rapi daripada pelabur kerana
boleh memberi kesan kepada dua teknokrat yang merupakan tokoh pembaharuan utama
iaitu Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati dan Naib Presiden Boediono.
Selepas berbulan-bulan mengadakan sesi keterangan, jawatankuasa itu
mengemukakan dua syor bercanggah, yang disambut dengan ejekan dan sorakan oleh
ahli Parlimen.
Di luar Parlimen, polis melepaskan tembakan meriam air untuk menyuraikan
kumpulan penunjuk perasaan yang berpuak-puak, sesetengahnya menyokong Susilo,
manakala yang lain mengutuk tindakan kerajaan menyelamatkan Bank Century.
Syor pertama yang disokong oleh Parti Demokrat pimpinan Susilo dan dua sekutu
rapatnya dalam jawatankuasa tersebut, menyifatkan tindakan menyelamatkan Bank
Century sebagai bertujuan untuk melindungi Indonesia daripada krisis kewangan
global.
Sungguhpun parti-parti bersekutu itu mengkritik bank pusat kerana kelemahannya
dalam mengawal selia bank dan pihak berkuasa kerana pengendalian kes Bank
Century itu, mereka tidak pula menuduh Menteri Kewangan atau Naib Presiden
terlibat dengan sebarang salah laku.
Bagaimanapun, syor kedua yang disokong oleh parti-parti pembangkang dan dua
parti utama dalam kerajaan campuran Susilo menuntut siasatan jenayah
dilancarkan oleh agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang terhadap Sri
Mulyani dan Boediono berhubung langkah menyelamatkan Bank Century dan pemberian
pembiayaan jangka pendek kepada bank tersebut.
Anggota Parlimen dijadual membahaskan dua syor berbeza itu esok tetapi
sesetengah ahli dewan menggesa perbahasan dan pengundian diadakan hari ini.
Kekecohan timbul di dewan apabila Speaker menangguhkan sidang.
Penyingkiran Boediono atau Sri Mulyani dijangka menjejaskan harapan untuk
melihat kempen pembaharuan digiatkan semula di negara ini, di samping boleh
mencetuskan penjualan
<<lu_02.1.jpg>>
