http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm
Giatkan usaha cari istilah ilmiah
Muhyiddin Yassin menunjukkan tiga naskah buku Mabbim selepas melancarkan
buku tersebut sempena majlis perasmian Sidang ke-49 Majlis Bahasa Brunei
Darussalam-Indonesia-Malaysia di DBP, semalam. Turut kelihatan (dari kiri)
Datuk Termuzi Abdul Aziz (Malaysia), Dayang Aminah Momin (Brunei), Dr Sugiyono
(Indonesia) dan Juffri Supaat (Singapura).
--------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 9 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Majlis Bahasa Brunei
Darussalam-Indonesia- Malaysia (Mabbim) menggiatkan usaha mengembangkan
istilah-istilah ilmiah khususnya dalam bidang sains dan teknologi dalam Bahasa
Melayu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan masyarakat
di rantau ini dapat mengungkapkan makna dan konsep baru pelbagai disiplin ilmu
secara tepat dalam Bahasa Melayu.
''Oleh itu, sudah tiba masanya Mabbim memberikan tumpuan kepada usaha pembinaan
istilah, terutamanya melalui penghasilan karya-karya ilmiah.
''Dengan cara ini ia bukan sahaja dapat mengembangkan istilah bahasa Melayu
dengan lebih rancak, malah ia juga akan berkembang sebagai bahasa ilmu yang
maju,,'' katanya ketika berucap merasmikan Sidang ke-49 Mabbim di Menara Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr.
Zulkurnain Awang; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom;
Pengerusi Pengelola DBP, Datuk Johan Jaafar dan Ketua Perwakilan Malaysia,
Datuk Termuzi Abdul Aziz.
Dalam pada itu Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagi meningkatkan
usaha pengembangan istilah, penghasilan karya bahasa Melayu dan bahasa
Indonesia perlu dipergiatkan lagi melalui penerbitan secara bersama oleh semua
negara anggota Mabbim.
''Misalnya, hasil penyelidikan institusi-institusi pengajian tinggi di
ketiga-tiga negara terutamanya dalam bidang sains dan teknologi boleh
diterbitkan secara bersama untuk meningkatkan kebolehpasaran karya.
''Dengan demikian, kita bukan sahaja dapat berkongsi penemuan baru dalam
pelbagai disiplin ilmu, tetapi juga memperkaya perpustakaan ilmu dalam bahasa
Melayu dan bahasa Indonesia,'' katanya.
Selain istilah, Muhyiddin turut menyarankan agar pemasaran buku antara
negara-negara anggota Mabbim dipermudahkan supaya buku berbahasa Melayu dan
Indonesia dapat menembusi pasaran yang lebih luas.
''Pada masa ini industri buku yang berbahasa Melayu atau Indonesia masih jauh
ketinggalan jika dibandingkan dengan penerbitan dalam bahasa Inggeris.
''Oleh itu saya yakin melalui cara ini, industri buku bahasa Melayu dan
Indonesia dapat berkembang dengan lebih rancak lagi, sekali gus meningkatkan
penggunaan bahasa ini," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Timbalan Perdana Menteri memberitahu, bahasa
Melayu merupakan bahasa kelima paling ramai penuturnya iaitu menjangkau 280
juta penduduk seluruh dunia.
<<dn_01.1.jpg>>
