http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_11.htm
Indonesia sedia tangani keganasan JAKARTA 15 Mac - Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Kebangsaan (Polri) akan terus berjaga-jaga dan sentiasa bersedia berdepan ancaman keganasan di republik tersebut. Panglima TNI, Jeneral Djoko Santoso hari ini berkata, pihaknya dan Polri akan terus berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dalam menjangkakan ancaman keganasan, sebagai sebahagian tugas mereka demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam. "Latihan bersama antara TNI dan Polri melibatkan aspek strategik, taktikal serta psikologi kerana ia merupakan modal utama dalam operasi menentang keganasan," kata Djoko selepas majlis penutupan latihan bersama TNI/Polri di sini hari ini. Ketua TNI itu berkata, keganasan berpunca daripada pelbagai faktor yang berkaitan dengan keadaan ekonomi serta sosial, dan sehubungan itu usaha komprehensif perlu bagi menghadapinya. Tambah beliau, TNI dan Polri merupakan dua komponen utama dalam usaha menentang keganasan, namun kedua-dua badan itu turut memerlukan sokongan dari komponen-komponen lain di Indonesia. "Sejajar dengan perkembangan dalam persekitaran strategik, keganasan merupakan ancaman dan musuh biasa. "Sehubungan itu, kita perlu membanterasnya bersama-sama," katanya. Jurucakap ibu pejabat TNI, Laksamana Pertama Sagom Tamboen dalam pada itu berkata, Indonesia telah memperkukuh keselamatan di darat dan sempadan perairannya berikutan pendedahan aktiviti pengganas yang diketuai sekumpulan militan yang sebelum ini diketahui beroperasi di sebuah negara jiran. "Sejak beberapa hari lalu semua pasukan ketenteraan di sempadan wilayah dan negara-negara luar telah meningkatkan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan darat serta maritim bagi meminimumkan kemungkinan kemasukan atau pengunduran pengganas dari wilayah Indonesia," ujarnya. - agensi Tambah beliau, langkah tersebut akan diteruskan bagi tempoh masa yang belum ditetapkan mengambil kira aktiviti keganasan yang tidak pernah reda. "Langkah untuk memperkukuh kawalan keselamatan bukan sahaja dilaksanakan di sepanjang kawasan yang menjadi laluan pengganas dan senjata mereka yang bersempadan dengan Thailand, Malaysia dan Filipina, tetapi juga di beberapa wilayah lain yang dianggap boleh dilalui pengganas," katanya lagi. - AGENSI
