http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm
Serbia mohon maaf pada keluarga
Gambar fail bertarikh 18 September 1996 - pakar forensik antarabangsa
memeriksa mayat-mayat yang ditemui daripada sebuah kubur besar dipercayai mayat
sebahagian daripada 8000 penduduk Bosnia yang dibunuh tentera Serb di
Srebrenica pada Julai 1995. - REUTERS
--------------------------------------------------------------------------
BELGRADE 31 Mac - Parlimen Serbia meluluskan dengan tipis deklarasi mengutuk
pembunuhan beramai-ramai 8,000 orang Islam Bosnia oleh puak Serb di Srebrenica
pada 1995.
Ia dilihat sebagai satu usaha menjauhkan negara tersebut dengan kesan selepas
perang di bawah bekas orang kuat, Slobodan Milosevic.
Deklarasi berkenaan yang memuatkan simpati dan permohonan maaf terhadap mangsa
terbabit diluluskan dengan majoriti kecil 127 undi di Parlimen yang mempunyai
250 kerusi.
Ia diluluskan selepas debat sepanjang hari semalam yang memaparkan wujudnya
perbezaan pendapat hingga ke hari ini berhubung peranan Serbia dalam konflik
pada 1990-an itu.
''Dewan Perwakilan Kebangsaan Serbia mengutuk keras jenayah yang dilakukan
terhadap penduduk Bosnia di Srebrenica pada Julai 1995,'' kata deklarasi
berkenaan.
Ia turut merakamkan ucapan takziah dan permohonan maaf kepada keluarga mangsa
kerana tidak semua langkah-langkah perlu diambil untuk mencegah tragedi
berkenaan.
Dokumen mengenainya diketengahkan oleh kerajaan campuran pro-Barat yang juga
menyebut, deklarasi berkenaan akan membantu persefahaman serantau dan membantu
usaha Serbia menjadi ahli Kesatuan Eropah (EU).
''Kita akan mengubah imej negara ini melalui deklarasi ini,'' kata jurucakap
Parti Demokratik pimpinan Presiden Boris Tadic, Jelena Trivan, di sini semalam.
Para pegawai EU sebelum ini telah memaklumkan kepada pemimpin Belgrade supaya
menjauhi dasar-dasar Milosevic jika mereka mahu merapatkan diri dengan blok
tersebut.
Anggota Parlimen nasionalis menolak deklarasi berkenaan sambil menyifatkannya
sebagai memalukan dan tidak adil. Mereka berkeras menyatakan angka kematian
adalah lebih kecil dan menafikan dakwaan Barat bahawa berlaku pembunuhan
besar-besaran.
''Serbia mengiktiraf kesalahannya sendiri dengan deklarasi ini,'' kata Slobodan
Samardzic, seorang nasionalis.
Seorang lagi ahli parti pembangkang, Velimir Ilic mempersoalkan mengapa perlu
generasi akan datang dibebankan dengan sesuatu yang tidak boleh diubah.
Di Sarajevo, mangsa Bosnia juga melahirkan rasa tidak puas hati kerana
deklarasi berkenaan gagal menyifatkan tragedi berkenaan sebagai satu malapetaka
kemanusiaan selaras dengan keputusan Mahkamah Antarabangsa.
''Malapetaka kemanusiaan telah dilakukan,'' kata Sabra Mujic yang sumainya
terbunuh dalam kejadian itu.
''Selama mana kami hidup kami akan memaklumkan kepada generasi akan datang
bahawa ia merupakan satu malapetaka,'' tambah beliau.
Pembunuhan lelaki dan kanak-kanak lelaki oleh tentera Serb Bosnia merupakan
kejadian paling buruk dalam sejarah Eropah selepas Perang Dunia Kedua. Ia
menjadi simbol kekejaman perang di Balkan itu.
Serbia juga perlu memberkas bekas komander tentera Serb Bosnia, Ratko Mladic
yang didakwa melakukan jenayah kemanusiaan di tribunal Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu di the Hague kerana merancang pembunuhan beramai-ramai itu.
Deklarasi semalam juga meminta Mladic ditangkap dan menyeru pihak berkuasa
melakukan semua yang mereka boleh untuk mencarinya ketika sebahagian nasionalis
semasa perdebatan di Parlimen menyifatkannya sebagai seorang 'hero Serbia'.
Sementara itu, bekas pemimpin politik Serb Bosnia, Radovan Karadzic yang sedang
dibicarakan di The Hague terhadap peranannya dalam perang di Bosnia menafikan
pelbagai tuduhan ke atasnya. - AP
<<lu_01.1.jpg>>
