http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_03.htm
ARKIB : 07/04/2010
Ketua militan Indonesia jalin hubungan melalui Internet
JAKARTA 6 April - Transkrip perbualan di Internet menunjukkan ketua militan
Indonesia, Muhammad Jibriel berusaha menjalin hubungan lebih erat antara
rangkaian militannya di negara ini dengan pertubuhan al-Qaeda di kubunya di
Pakistan.
Perbualan antara Jibriel, 26, yang menggunakan nama dalam talian thekiller
dengan orang hubungannya di Pakistan berlangsung seperti perbualan biasa antara
kawan-kawan di laman Yahoo Messenger.
"Datanglah ke Pak. Kata orang kanan, hantarlah seorang anggota saudara ke sini
untuk mewakili kumpulan saudara," kata militan Pakistan, SAIF-a kepada Jibriel.
SAIF-a bagaimanapun memberi amaran mengenai serangan roket yang semakin
meningkat oleh tentera Amerika Syarikat (AS).
"Saudara-saudara di sini sangat bimbang, kerana di Waziristan semua serangan
peluru berpandu tepat mengenai sasaran. Ini bermakna orang dalam terlibat,"
kata SAIF-a.
Transkrip perbualan di Internet itu diperoleh daripada komputer Jibriel, yang
dikenal pasti dalam dokumen polis sebagai lelaki yang disyaki menggunakan nama
skrin thekiller.
Jibriel yang dikenali sebagai penyebar propaganda untuk al-Qaeda kini menjalani
perbicaraan atas tuduhan membantu membiayai dua serangan pengebom berani mati
ke atas hotel mewah, Ritz-Carlton dan J.W. Marriott di Jakarta pada tahun lepas.
Dia bagaimanapun mendakwa transkrip tersebut hanyalah rekaan polis. Transkrip
perbualan setebal 40 muka itu terkandung dalam dokumen polis yang memberi
gambaran mengenai perjalanan Jemaah Islamiah (JI).
Pakar antarabangsa mengenai kumpulan-kumpulan militan Asia Tenggara, Sidney
Jones menyifatkan transkrip itu sebagai satu amaran kepada pihak berkuasa untuk
bertindak.
"Ia menunjukkan hubungan militan Indonesia dengan kumpulan pengganas di
Pakistan dan Asia Barat adalah erat dan berbahaya, sekalipun terhad kepada
segelintir individu," katanya. - AP
<<add.gif>>
<<button1-share.gif>>
