http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm
Dipanggil 'bodoh', pekerja kilang Indonesia merusuh
JAKARTA 22 April - Beribu-ribu pekerja kilang di Indonesia membakar barisan
kereta dan sebuah gudang hari ini selepas seorang eksekutif India memanggil
mereka 'bodoh', lapor polis dan media.
Sembilan orang dilaporkan cedera apabila kumpulan pekerja mengamuk di kilang
milik PT Drydock World Graha di bandar Batam, kawasan ekonomi khas di selatan
Singapura.
"Seorang eksekutif syarikat dari India memanggil kami, pekerja Indonesia
sebagai bodoh dan itu membuatkan kami marah," kata seorang pekerja, Disra yang
dipetik agensi berita Antara.
Kira-kira 400 orang polis dipanggil mengawal keadaan dan memindahkan 41
kakitangan asing dari kilang di pinggir pantai itu.
Sebanyak 20 buah kereta dibakar termasuk sebuah gudang milik syarikat tersebut.
Komander polis tempatan, Leonidas Braksan bercakap dengan semua pekerja
terlibat menggunakan pembesar suara dan meminta semuanya bertenang.
"Saya di pihak kamu. Saya mahu kamu semua bekerja dengan baik. Keluarga kamu
menanti kamu dan wang gaji kamu di rumah," katanya lagi.
Leonidas menyatakan rakyat asing yang menghina Indonesia patut meninggalkan
negara ini dan ia disambut dengan sorakan pekerja yang turut menyanyikan lagu
kebangsaan dan lagu patriotik lain.
"Pekerja secara spontan membakar kereta apabila berasa tersinggung dan marah
selepas seorang eksekutif syarikat berasal dari India, mengatakan rakyat
Indonesia bodoh.
"Situasi kini terkawal dan kami telah membawa keluar penunjuk perasaan dari
kompleks syarikat," kata jurucakap polis kebangsaan, Zulkarnain kepada
pemberita. - AFP
<<add.gif>>
<<button1-share.gif>>
