http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm
Pendakwa mahu pelindung pengganas dipenjara 10 tahun JAKARTA 27 April - Pendakwa raya Indonesia hari ini meminta hukuman penjara 10 tahun dikenakan ke atas seorang lelaki berusia 31 tahun yang dituduh melindungi dua pengganas yang terlibat dalam serangan berani mati di dua hotel mewah di Jakarta pada Julai lalu. Tertuduh, Aris Susanto, 'telah melakukan jenayah dengan membantu atau melindungi pengganas', kata pendakwa raya, Totok Bambang kepada mahkamah daerah Jakarta Selatan. "Kami meminta hukuman penjara 10 tahun dikenakan kerana dia terbukti bersalah menyembunyikan Syaifudin Zuhri dan Ibrohim," kata Bambang lagi. Syaifudin Zuhri yang didakwa sebagai komander operasi serangan hotel itu, ditembak mati polis pada Oktober lalu, manakala Ibrohim pula dibunuh di Jawa tengah pada tahun lalu. Polis yang menyiasat serangan bom pada 17 Julai lalu ke atas hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton yang meragut sembilan nyawa itu, menahan Susanto di Jawa Tengah pada Ogos tahun lalu. Noordin Mat Top yang mengetuai kumpulan serpihan rangkaian pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan didakwa mendalangi serangan berkembar itu, terbunuh dalam satu serbuan di pinggir Solo, Jawa Tengah pada September lalu. Dia dikaitkan dengan pengeboman Bali pada 2002 yang membunuh lebih 200 orang, serangan ke atas hotel JW Marriott pada 2003, letupan Kedutaan Australia pada 2004 dan satu lagi serangan Bali pada 2005. - AFP
