http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm
ARKIB : 11/06/2010
Majlis perkahwinan diserang, 40 maut
SEORANG doktor di sebuah hospital di Kandahar merawat salah seorang
mangsa yang cedera dalam kejadian sebuah majlis perkahwinan diserang dengan
letupan di Nangahaan, daerah Arghandab, selatan Afghanistan, semalam. - AFP
--------------------------------------------------------------------------
KANDAHAR 10 Jun - Sekumpulan pihak yang tidak dikenali melancarkan serangan
nekad ke atas satu majlis perkahwinan di selatan Afghanistan lewat malam tadi,
meragut 40 nyawa dan 74 yang lain cedera.
Menurut pegawai, butiran insiden itu di wilayah Kandahar serta motif serangan
masih belum jelas, tetapi pemberontak sering menjadikan pegawai kerajaan dan
polis di kawasan yang dikuasai Taliban itu sebagai sasaran serta menggunakan
keganasan ke atas orang awam bagi menakut-nakutkan mereka.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Zemeri Bashary berkata, letupan itu berlaku
pada pukul 9 malam waktu tempatan di daerah Arghandab, utara Kandahar.
Katanya, pengantin lelaki dan wanita, bagaimanapun terselamat.
Wilayah Kandahar merupakan kubu kuat Taliban yang bakal menjadi fokus operasi
ketenteraan Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap Taliban, Qari Yousef Ahmadi menafikan kumpulannya terlibat dalam
serangan itu.
Jurucakap tentera AS Kolonel Wayne Shanks berkata, insiden itu bukan disebabkan
serangan udara AS.
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam satu kenyataan berkata, tiada
anggota daripada pakatannya terlibat dalam serangan tersebut.
Seorang mangsa yang terselamat, Agha Mohammed berkata, tetamu sedang menikmati
jamuan pada majlis perkahwinan itu apabila satu letupan berlaku, mengakibatkan
satu bola api besar serta asap berkepul naik ke udara.
Katanya, skala serangan itu lebih serius berbanding letupan serangan biasa. - AP
<<lu_02.1.jpg>>
