KOTA BHARU, 2 Okt (Hrkh) Sukacita bahawa pada hari ini 27 Syaaban 1426 Hijrah bersamaan 1 Oktober 2005, beta mengisytiharkan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) kini dikenali sebagai MPKB Bandar Raya Islam (BRI).
Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sulan Yahya Petra bertitah demikian ketika memasyhurkan pengisytiharan Kota Bharu sebagai BRI pada majlis penuh istiadat di Stadium Sultan Mohammad Ke IV di sini, malam tadi.
Sebelum itu baginda menerima watikah yang diserah Menteri Besar, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat. Watikah tersebut dibawa menggunakan kereta kuda daripada Kota Darulnaim dengan perarakan bermula jam 8 malam.
Perarakan itu disertai 15 ekor kuda, 15 beca berhias dan kanak-kanak dan remaja daripada pelbagai kaum di Kelantan, antaranya Melayu, Cina, India dan Siam. Perarakan itu diiringi pasukan pancaragam dari Sekolah Menengah Sains Machang.
Angka 15 dipilih mengambil kira usia kerajaan PAS Kelantan sekarang sudah memasuki tahun ke-15 pemerintahannya. Sebaik tiba di depan pentas Diraja, rombongan membawa watikah yang diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Dato Abdul Rahim Hassan menyerahkan watikah tersebut kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Mohd Aiseri Alias.
Kemudian diserah pula kepada Menteri Besar. Majlis itu disaksi puluhan ribu rakyat Kelantan dan pelancong luar serta tetamu kehormat.
Hadir sama Raja Perempuan Kelantan, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Ampuan Mahkota, Timbalan Menteri Besar, Dato Ahmad Yakub, Speaker DUN, Dato Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, anggota-anggota Exco, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa.
Lima wakil rakyat Barisan Nasional juga turut hadir. Lebih 40,000 penonton memenuhi setiap ruang di dalam stadium, manakala di luar stadium ramai tidak dapat masuk dan mereka boleh menyaksikan acara penuh gemilang itu melalui skrin besar.
Selepas Sultan membaca watikah baginda merasmikan dengan gimik memanah. Setelah anak panah dilepaskan bunga api melambung ke udara dan mengeluarkan cahaya beraneka warna.
Sebelum itu, Menteri Besar ketika berucap berkata, pelaksanaan bandar raya Islam perlu diberi perhatian yang lebih serius terhadap elemen-elemen agama dalam aspek pentadbiran.
Katanya, pengasingan kaunter bayaran di pasar raya, kempen menutup aurat, pengawalan pergaulan bebas, menitik berat soal halal haram dalam penyediaan makanan dan menjaga kebersihan hendaklah menjadi keutamaan kepada pihak MPKB BRI.
Selain meningkatkan dari aspek fizikal, pembentukan rohani dan dalaman hendaklah diperluaskan. Kita kena seimbangkan pembangunan fizikal dan rohani. Ini kerana masalah moral yang berlaku sekarang hanya dapat diatasi apabila kita kembali kepada Allah, kata beliau.
Katanya juga, dari aspek seni bina, kerajaan negeri tidak menghadkan kepada ciri-ciri Islam sahaja, malah elemen kaum lain termasuk Cina dan India tidak dihalang.
Contohnya masjid pelbagai budaya di Rantau Panjang yang bakal dibina menggunakan reka bentuk senibina tamadun Cina dan India.
Adalah perlu dijelaskan biar pun Kota Bharu dijadikan bandar raya Islam, kebudayaan kaum dan agama penganut lain boleh diamal tanpa sekatan, ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Takiyuddin Hassan berkata, MPKB BRI akan mencapai status bandar raya dalam tempoh sekurang-kurang 10 tahun lagi, apabila menepati syarat digariskan pihak kementerian.
Program bersejarah tersebut bermula dengan azan Isya oleh Asri dari kumpulan nasyid Rabbani dan bacaan ayat-ayat suci al Quran. Penonton juga disajikan dengan persembahan nyanyian dan kebudayaan oleh Ustaz Akil Hayy, Rabbani, M Nasir, dikir barat, dan Mawi. Program berakhir jam 11.58 malam.
Pengasingan tempat duduk di antara jantina sekali lagi dilakukan di stadium, seperti konsert Tautan Kasih di Padang Perdana malam semalam.
- MJ