Dr Mahathir: Kerajaan Abdullah Badawi lembab, gagal manfaat kekayaan
Harakahdaily
Thu | Feb 08, 07 | 09:44:03 AM KUALA LUMPUR, 8
Feb (Hrkh): Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed menganggap kerajaan
pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai lembab dan tidak memberi
tumpuan terhadap projek-projek pembangunan.
"Jika kita ada wang tapi tidak menggunakannya, ia tidak akan membina
kekayaan. Negara ini banyak wang. Tapi jika wang itu disimpan saja, tidak
digunakan, tidak ada orang akan dapat memanfaatnya dan nilai wang akan
menurun disebabkan inflasi," kata Mahathir dalam temu bual dengan majalah Off
The Edge baru-baru ini.
Beliau turut menyebut bahawa wang diperolehi oleh Petronas setiap tahun
cukup banyak dan ia boleh digunakan untuk melaksanakan projek-projek
pembangunan.
"Pada masa saya jumlah tertinggi yang pernah diperolehi Petronas ialah RM26
bilion, tapi kini meningkat RM86 bilion. Untuk mengatakan kepada rakyat
bahawa kita tidak punya wang, itu tidak betul, tidak jujur," jelasnya.
Dalam wawancara 10 muka surat itu, Dr Mahathir terus mengulangi pendirian
bahawa perbalahan yang berlaku di antara beliau dengan Perdana Menteri Dato'
Seri Abdullah Ahmad Badawi bukan disebabkan masalah peribadi, sebaliknya
berpunca daripada kegagalan Abdullah melaksanakan apa yang telah dirancang
oleh kerajaan yang terdahulu.
"Apa yang berlaku dalam kes Jambatan Indah telah menjatuhkan maruah negara
ini. Kita hilang harga diri dan hak apabila gagal berbuat sesuatu dalam
negara kita sendiri. Apabila kita membiarkan hak dan maruah ini pergi kita
hilang kebebasan dan kemerdekaan," katanya memberikan satu contoh yang
mengakibatkan berlaku konflik di antara beliau dengan Abdullah.
Menurutnya, tindakan Abdullah membatalkan rancangan-rancangan yang telah
dibuat oleh kerajaan terdahulu merupakan kesilapan yang sangat besar.
"Di sinilah kesilapan sebenar Abdullah," katanya.
"Ramai orang telah melabur di negara ini, perjanjian telah dibuat, wang
telah dikeluarkan, tiba-tiba rancangan dibatalkan. Ini membuatkan kerajaan
hilang kewibawaan," sambungnya.
Mengenai janji Abdullah untuk melaksanakan reformasi dan perubahan dalam
kerajaan di bawah pimpinannya, Mahathir berkata, "buatlah apa sahaja untuk
masa depan, tetapi membatalkan apa yang telah diputuskan dahulu untuk
dilaksanakan, adalah tidak baik".
---------------------------------
What kind of emailer are you? Find out today - get a free analysis of your
email personality. Take the quiz at the Yahoo! Mail Championship.