Isu boikot Batu Talam, media BN cuba lagakan pembangkang
Anis Nazri
Mon | Feb 12, 07 | 07:23:11 AM KUALA LUMPUR,
12 Feb (Hrkh) - Media milik BN cuba untuk melaga-lagakan pemimpin pembangkang
dengan percubaan mendedahkan ketidaksepakatan mengenai pemboikotan Pilihan Raya
Kecil Dun Batu Talam, Raub 28 Januari lepas kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan
Guru Abdul Hadi Awang.
Katanya, percubaan media arus tersebut adalah permainan BN untuk menutup segala
kelemahan dan kepincangan yang bersarang dalam parti Melayu terbesar itu, iaitu
masalah yang tidak pernah selesai sehingga hari ini.
Presiden PAS menegaskan pada asasnya, pembangkang sepakat dalam isu memulaukan
pilihan raya, khususnya pilihan raya kecil di Batu Talam, 28 Jan lalu.
"Perkara tentang tiada kesepakatan ini sengaja dimainkan media, untuk BN
menutup segala kelemahan dan masalah dalaman mereka," tegas beliau ketika
ditemui, di Pejabat Agung PAS dekat sini, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Mingguan Malaysia yang
menyatakan Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali, tidak bersetuju
dengan pemulauan yang dilakukan pembangkang pada pilihan raya kecil Batu Talam.
Ketika ditanya sama ada pembangkang akan meneruskan boikot pada pilihan raya
umum akan datang, Ustaz Hadi berkata perkara itu bergantung kepada suasana dan
akan diputuskan kemudian.
"Kita masih belum dapat keputusan, tetapi kemungkinan menyertai pilihan raya
umum, sekaligus berjuang untuk memulihkan demokrasi pilihan raya," tegas beliau.
Malaysiakini melaporkan Syed Husin, ketika berucap di Persidangan Meja Bulat
Nasional: Demokrasi dan Pilihanraya, anjuran Gabungan Menuntut Pilihanraya Adil
dan Bersih (Bersih), 10 Feb lalu, berkata kegagalan boikot di Batu Talam itu
berpunca daripada percanggahan pendapat di kalangan pemimpin pembangkang dan
penyebaran maklumat yang tidak meluas mengenai tindakan boikot itu kepada
pengundi Batu Talam.
"Ada pemimpin BA yang berkata, boleh keluar mengundi manakala yang lain pula
kata, tidak boleh keluar mengundi, ini mengelirukan pengundi Batu Talam."
Kita juga gagal menyebarkan maklumat mengenai boikot menyebabkan tidak
menepati sasaran dan kerana itu ramai pengundi tidak faham," katanya.
Bagaimanapun, Syed Husin berkata, sebarang keputusan, sama ada memboikot
pilihan raya umum akan datang atau tidak, akan ditentukan oleh pucuk pimpinan
BA dan pembangkang. - mr
---------------------------------
Yahoo! Messenger NEW - crystal clear PC to PC calling worldwide with voicemail