Kementerian didakwa musnahkan 'pendemokrasian Pendidikan'
Johari Jaafar
Tue | Feb 13, 07 | 12:31:09 AM IPOH, 13 Feb
(Hrkh) - Arahan daripada Bahagian Pengurusan Pendidikan Islam dan Moral,
Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Kementerian Pelajaran Malaysia, yang
mengarahkan semua Jabatan Pelajaran agar tidak mempertimbangkan calon-calon
daripada sekolah swasta untuk memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama
(SMKA), dilihat sebagai satu tindakan yang memusnahkan `pendemokrasian
pendidikan'.
Demikian dinyatakan oleh Bekas Calon PAS Parlimen Bukit Gantang, Roslam
Shahrom, ketika melahirkan reaksi spontannya terhadap arahan berkenaan.
Surat arahan tersebut ditandatangani oleh Pengarah Bahagian Pengurusan
Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Haji Suib Haji
Arshd, dan salinannya kepada Ketua Pengarah Pelajaran Kementerian Pelajaran
Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral,
semua Pengarah Pelajaran Negeri dan seluruh Pengetua Sekolah Menengah
Kebangsaan Agama.
Ini bermakna mulai sesi pensekolahan 2007 baru-baru ini, calon-calon dari
sekolah swasta termasuklah sekolah agama swasta tidak dipertimbangkan langsung
untuk memasuki tingkatan satu dan empat ke sekolah-sekolah menengah kebangsaan
agama di seluruh negara.
Sebelum ini calon-calon daripada sekolah swasta termasuk sekolah agama swasta
diterima masuk ke tingkatan 1 dan 4 ke SMKA di seluruh negara.
"Tindakan itu satu yang merugikan anak-anak orang Islam sendiri kerana mereka
yang cemerlang dari sudut akademiknya tidak dibenarkan belajar di SMKA," kata
beliau lagi.
"Pelajar-pelajar lepasan sekolah agama swasta adalah rakyat negara ini, kenapa
mereka dinafikan hak mereka," tegasnya.
"Tidak ada seorang pun pelajar dari sekolah kami yang diterima masuk ke SMKA
untuk tahun ini, sebelum ini ramai yang diterima masuk," rungut seorang
Pengetua sekolah agama swasta, yang ditemui di sini.
"Apabila keputusan UPSR 2006 dikeluarkan, ramai yang memohon untuk masuk ke
SMKA, tetapi apa yang berlaku permohonan daripada mereka tidak
dipertimbangkan,"katanya dengan nada sayu.
Seorang bapa yang pernah menghantar anaknya sekolah agama swasta, Mohd Alias
Yunus, turut melahirkan rasa kecewa dengan arahan daripada pihak terbabit,
sambil menyifatkannya sebagai tindakan yang terkebelakang dalam arus pendidikan
negara.
"Apa dosanya pelajar-pelajar dari sekolah swasta sehinggakan mereka tidak
dipertimbangkan untuk masuk ke SMKA," ujar beliau.
Beliau berharap arahan itu dikaji balik oleh pihak berkenaan sekaligus menarik
balik arahan itu demi masa depan pelajar khususnya dari aliran agama swasta.
Namun begitu surat arahan tersebut menyatakan mereka yang daripada sekolah
swasta boleh dipertimbangkan untuk masuk Kelas Aliran Agama (KAA) Sekolah
Menengah Kebangsaan setelah membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada
Pengarah Pelajaran Negeri di negeri masing-masing. - mks. .
---------------------------------
New Yahoo! Mail is the ultimate force in competitive emailing. Find out more
at the Yahoo! Mail Championships. Plus: play games and win prizes.