Sejauhmana seriusnya kerajaan membanteras jenayah?
Ustaz Haji Ahmad Awang
Mon | Feb 26, 07 | 09:19:54 AM Kejadian jenayah
di negara kita nampaknya semakin menjadi-jadi. Daripada masalah disiplin di
sekolah, keruntuhan moral di kalangan remaja membawa kepada kejadian jenayah
pembunuhan didapati kes-kes yang dilaporkan semakin meningkat.
Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh pihak polis, bilangan jenayah
kekerasan yang dilaporkan tahun 2005 adalah sebanyak 33,509 kes.
Manakala kejadian jenayah berkaitan yang dicatatkan pada tahun 2006 ialah
42,343 kes iaitu peningkatan sebanyak 8,834 kes berbanding tahun sebelum ini.
Pertambahan ini amat besar dan memberikan petunjuk bahawa kejadian jenayah
kekerasan seperti bunuh, rogol, cabul kehormatan, samun sama ada menggunakan
senajata api atau tidak, pemerasan, ugutan jenayah, merusuh dan mencederakan
menjadi semakin tidak terkawal.
Apakah ini bentuk masyarakat Islam Hadhari yang hendak diwujudkan oleh Pak
Lah? Masyarakat kita menjadi semakin tidak bertamadun dan mengenepikan
nilai-nilai luhur yang menjadi ajaran agama.
Peningkatan yang serupa juga dapat diperhatikan pada jenayah harta benda.
Perangkaan tahun 2005 menunjukkan sejumlah 138,095 kes dilaporkan meliputi
jenayah curi, ragut dan pecah rumah.
Pada tahun 2006 sebanyak 156,299 kes telah dilaporkan meningkat sebanyak
18,184 kes. Jenayah komersial pula mencatatkan 6,029 kes pada tahun 2005 dan
7,300 kes pada 2006. Jenayah komersial terbahagi kepada tiga kategori iaitu
menipu, pecah amanah dan jenayah komputer.
Jenayah narkotik iaitu kes-kes yang berkaitan dengan pengedaran dan pemilikan
dadah seperti mana yang dilaporkan pada tahun 2005 berjumlah 20,384. Pada tahun
2006 kes yang dilaporkan adalah sebanyak 19,914 menunjukkan sedikit penurunan
tetapi tidak memberikan gambaran bahawa masalah dadah bukan lagi ancaman kepada
negara dan masyarakat.
Daripada statistik yang dikemukakan itu, ia memberikan kita satu indikator
bahawa masalah jenayah di negara amat serius sekali. Ini kerana terdapat banyak
lagi kes-kes yang belum dilaporkan atau gagal dikesan oleh pihak yang berkuasa.
Oleh itu, PAS menuntut supaya pihak berkuasa bertindak untuk menangani masalah
jenayah kerana ia bukan sahaja menganggu kehidupan rakyat negara ini tetapi
memburukkan imej Malaysia di kaca masyarakat antarabangsa.
Parti PAS merasa kesal kerana polis diguna dan dikerahkan untuk menghalang
rakyat daripada mengadakan demontrasi dan protes menyuarakan pandangan serta
perasaan tidak puas hati mereka terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga tol,
petrol, air, elektrik dan seumpamanya.
Polis sepatutnya memberikan perhatian dan menumpukan tenaga serta kekuatannya
untuk menangani masalah jenayah yang berlaku pada saban hari bukannya bertindak
menganggu proses dan amalan demokrasi.
Polis berperanan menjaga kepentingan dan kelamatan orang ramai serta
memberikan perlindungan kepada rakyat. Tetapi yang berlaku ialah pasukan itu
telah digunakan oleh kerajaan BN untuk menekan parti-parti pembangkang dan
NGO-NGO yang bersikap anti estbalisment termasuk menganggu ceramah politik dan
majlis penerangan kepada masyarakat umum.
Sekiranya keadaan ini dibiarkan kejadian jenayah akan terus meningkat dan
kerajaan BN telah gagal mewujudkan satu persekitaran sosial yang sihat serta
baik untuk kehidupan rakyat negara ini.
---------------------------------
What kind of emailer are you? Find out today - get a free analysis of your
email personality. Take the quiz at the Yahoo! Mail Championship.