Sambut Maulidur Rasul tanpa memusuhi sunnahnya
Zainudin Hashim
Fri | Mar 30, 07 | 04:09:51 PM Hari ini dan
juga pada tahun-tahun berlalu, Umat Islam tidak melepaskan peluang menyambut
ketibaan hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., atau lebih
dikenali dengan Maulidur Rasul.
Sesungguhnya Maulidur Rasul adalah salah satu komponen daripada Sirah Nabi
Muhammad s.a.w., begitu juga dengan persoalan Hijrah baginda Rasulullah dari
kota Makkah ke kota Madinah, Israk Mikraj dan lain-lain. Apa yang perlu kita
tahu, Sirah Nabi seperti yang dijelaskan oleh para ulama sirah adalah
pelaksanaan Islam secara praktikal. Matlamat mempraktikkan Islam secara
menyeluruh tidak akan tercapai melainkan kita merujuk kepada sirah baginda
Rasulullah s.a.w. dalam segenap aspek.
Orang yang paling ketara menyatakan kegembiraan dengan kelahiran baginda
Rasulullah s.a.w. ialah bapa saudaranya iaitu Abu Lahab. Pembesar Quraisy itu
sanggup memerdekakan hamba sahayanya kerana ingin menyatakan kepada umum bahawa
dialah manusia yang paling gembira.
Tidak cukup sekadar itu, Abu Lahab bertawaf mengeliling Kaabah sebanyak tujuh
kali.
Apa sebenarnya telah terjadi pada Abu Lahab setelah anak saudaranya itu membawa
satu ajaran serta pendekatan yang lain dari apa yang dilakukan oleh masyarakat
Makkah ketika itu? Dialah manusia yang mula menunjukkan sikap penentangan
secara terbuka kerana mendakwa apa yang dibawa oleh Muhammad itu adalah karut
belaka, menyalahi amalan yang dilakukan oleh nenek moyang mereka sejak bertahun
lamanya.
Persoalannya di sini, adakah Allah SWT menerima pengorbanan Abu Lahab dengan
hanya menyambut kelahiran baginda Rasulullah s.a.w.? Jawabnya sudah tentu
tidak. Allah tidak melihat kepada aspek sambutan itu, tetapi Dia melihat kepada
amalan, cara hidup, pegangan serta akidah umat ini yang selari dengan ajaran
yang dibawa oleh baginda, walaupun baginda sudah lama meninggalkan kita.
Sehubungan itu Nabi bersabda yang bermaksud: Beruntunglah mereka yang melihat
aku dan beriman kepadaku (Nabi hanya mengungkapkan sekali sahaja), dan
beruntunglah mereka yang tidak melihat aku dan boleh beriman kepadaku (baginda
mengungkapkan ucapan itu hingga diulang sebanyak tujuh kali).
Pentingkan aspek luaran
Apa yang dapat kita saksikan masyarakat umat Islam hari ini, lebih mementingkan
aspek luaran sahaja dalam bab agama seperti sambutan Maulidur Rasul (tidak
salah menyambutnya selagi menepati selera agama), tetapi pengisian rohaninya
dari apa yang baginda ajarkan kepada kita tidak dilakukan dengan
sebaik-baiknya, malah kosong dengan roh penghayatan.
Justeru, ingatlah kepada pesanan baginda yang menjadi inspirasi kejayaan kita
di dunia dan akhirat: Sesiapa yang mahukan kejayaan di dunia, maka hendaklah
dia berilmu, jika dia mahukan kejayaan di akhirat, maka dia hendaklah juga
berilmu, dan jika dia mahukan kejayaan (dunia dan akhirat), maka hendaklah dia
berilmu.
Renungkanlah kata-kata hikmat baginda Rasulullah s.a.w seperti yang dijelaskan
di atas, yang akan memacu kita semua ke jalan kejayaan sebenar, tidak ada jalan
lain, melainkan kitalah yang menjadi pelapis kepada Islam pada masa akan
datang, Insya Allah.
Sambutan Maulidur Rasul dan persoalannya
Para ulama kontemporari tidak menolak keharusan menyambut Maulidur Rasul,
kerana mungkin sahaja itu boleh dianggap sebahagian dari kecintaan kita kepada
baginda, dan kita jadikan kecintaan itu juga adalah kecintaan kepada Allah SWT.
Walaupun pada zaman kehidupan baginda sendiri tidak pernah menyambutnya,
begitulah pada zaman para sahabat, tabiin dan generasi selepas mereka yang
berada pada zaman keemasan Islam.
Mereka berpendapat, bahawa selagi mana sambutan Maulidur Rasul itu boleh
menyedarkan manusia dengan pengajaran agama serta menghayati keperibadaan
baginda s.a.w., maka selagi itulah ia diterima sebagai salah satu pendekatan
yang baik menurut Islam.
Apa yang penting, dalam sambutan itu melalui penyampaian kuliah, ceramah atau
forum, mengajak kaum muslimin untuk mencintai baginda dalam segenap apa yang
dibawa walaupun hati kecil kita kadang-kadang sukar untuk menerimanya.
Kita juga adalah disaran untuk mengetahui cara-cara untuk mentaati perintah
Rasul, mengikut segala arahan dan meninggalkan segala tegahannya, melaksanakan
hukum-hakam yang diajarkannya, memperjuang dan memperkasa syariatnya, menyeru
orang ramai ke jalan dakwahnya, memperbanyak selawat ke atasnya dan mencintai
ahli keluarganya.
Kesemua aspek di atas tidak akan sampai kepada matlamatnya melainkan dengan
adanya penjelasan melalui kuliah dan ceramah agama. Maka sambutan seumpama itu
amat digalakkan oleh Islam kerana membawa manusia membesarkan keperibadian
Rasulullah s.a.w., manusia yang agung di sisi Allah SWT.
Apatah lagi di zaman mutakhir ini, di mana ramai di kalangan umat Islam sudah
tidak lagi berbangga dengan akhlak-akhlak yang pernah ditonjolkan oleh para
generasi awal di kalangan para sahabat, tabiin dan tokoh-tokoh ilmuwan Islam,
akhirnya tidak memandu mereka ke jalan kebenaran, seolah-olah mereka masih mahu
berada dalam kegelapan dan kejahilan, maka berlakulah kegencutan dalam
masyarakat.
Perancangan hebat Allah SWT
Sesungguhnya Maulidur Rasul dengan lahirnya Muhammad bin Abdullah bukanlah satu
kebetulan, tetapi ia adalah perancangan hebat daripada Allah Yang Maha Hebat.
Ini kerana bayi yang bernama Muhammad ialah dari kedua-dua ibu bapa yang salih,
kenapa tidak?
Allah SWT telah memilih ibunya Aminah dari seorang anak gadis yang suci bersih
dari sebarang sifat negatif; ketika ramai di kalangan anak-anak gadis ketika
itu terlibat dalam tindakan songsang umpama GRO pada hari ini. Begitulah
ayahandanya Abdullah; seorang remaja lelaki yang tidak pernah walau sekalipun
menyembah berhala, berjudi, minum arak, berfoya-foya. Ini menunjukkan bahawa
pasangan Aminah dan Abdullah adalah pilihan Allah bagi mendapatkan zuriat yang
salih.
Contoh teladan baik lagi positif yang ada pada diri baginda Rasulullah telah
bermula sejak pemilihan perkahwinan kedua-dua ibu dan bapanya yang dirancang
khusus oleh Allah SWT. Allah mahukan apa yang terbit dari diri baginda adalah
contoh teladan yang baik lagi mulia.
Justeru, sambutan Maulidur Rasul perlu disambut dengan penyampaian kefahaman
Sirah Nabi agar masyarakat dipandu ke arah kesempurnaan hidup. Dalam erti kata,
apa yang mereka lakukan adalah berdasarkan kefahaman yang betul dan bukannya
atas dasar ikut-ikutan. Sambutan Maulidur Rasul pada hari ini lebih sebagai
amalan adat dan bukan ibadat.
Apabila peranan ini dapat dilaksanakan lebih dua atau tiga puluh tahun dahulu,
maka generasi yang ada pada hari ini adalah generasi khaira ummah yang mampu
melaksanakan segala hukum al-Quran dengan semangat sejarah kelahiran Rasulullah
atau lebih tepat lagi dengan Maulidur Rasul.
Nota: Bagi mempertingkatkan laman ini, kami amat mengalu-alukan sumbangan yang
boleh disalur terus kepada akaun Maybank atas nama HARAKAHDAILY DOT COM
(564070000336)
---------------------------------
Yahoo! Messenger NEW - crystal clear PC to PC calling worldwide with voicemail