Pecat Mufti Perak: PAS beri amaran pada Gerakan                           
                  Intan Abdullah      
         Mon | Apr 02, 07 | 05:24:39 PM                        KUALA LUMPUR, 2 
April (Hrkh) - 'Jangan bermain api!', itulah kenyataan keras yang disampaikan 
oleh beberapa tokoh apabila ditanya mengenai kenyataan biadap parti Gerakan.

 

 Gesaan Gerakan untuk memecat Mufti Perak, Dato' Seri Harussaini Zakaria 
dilihat sebagai isu yang amat sensitif dan mencabar kewibawaan umat Islam.

 
"Gerakan diingatkan agar lebih cermat dalam membuat sesuatu usul demi menjaga 
perpaduan nasional kerana umat Islam tidak boleh menerima apabila Islam 
dicabar," ujar Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Taib Azamuddin kepada 
Harakahdaily pagi tadi.

 
 Beliau yang merupakan bekas Imam Besar Masjid Negara berkata persoalan Mufti 
bukanlah perkara yang bersifat peribadi tetapi ia merupakan suatu jawatan yang 
menyentuh kewibawaan Islam itu sendiri.

 
  Perdana Menteri perlu sensitif  
Pada masa yang sama, Taib berkata jawatan Mufti ditauliahkan oleh Sultan di 
negeri-negeri dan Yang di-Pertuan Agong; jika sekiranya timbul masalah atau 
tidak puas hati terhadap mereka maka ia hendaklah ia disalurkan melalui saluran 
yang betul dengan kaedah yang tertentu.

 
 "Memandangkan Gerakan adalah satu parti komponen Barisan Nasional, maka ia 
hendaklah melalui Pengerusi BN iaitu Perdana Menteri," ujarnya lagi.

 
Beliau juga mengingatkan kepada Umno agar lebih prihatin dalam perkara-perkara 
seperti ini, kerana apabila mereka sendiri yang longgar dalam urusan agama ini, 
ia sekaligus menjadi peluang untuk mencemarkan perkara yang berkaitan dengan 
agama di masa akan datang.

 
Tambah beliau, bahkan ada menteri-menteri Umno yang memperlekeh dan merendahkan 
kenyataan Mufti Perak berhubung isu yang berkaitan dengan kedudukan Islam 
sebelum ini.

 
"Isu mengenai kedudukan dan hal ehwal agama ini perlu ditangani oleh Menteri di 
Jabatan Perdana Menteri yang menjaga urusan agama Islam," katanya.

 
Beliau berharap agar Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden Umno mengkaji 
semula hal ini dan  prihatin serta sensitif untuk mengambil tindakan supaya ia 
tidak dibangkitkan kerana ia bersabit dengan sensitiviti umat Islam.

 
Ini kerana menurut beliau, mufti bercakap bukan di atas kapasiti parti yang 
disokong tetapi ia berkaitan dengan polisi yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

 
  Amaran tercetusnya peristiwa 13 Mei  
Dalam pada itu, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Dewan Pemuda PAS 
Pusat, Ustaz Ridhuan Mohd Nor ketika dihubungi berkata, "Pemuda juga memberi 
amaran tegas kepada pemimpin Gerakan supaya tidak campurtangan dalam urusan 
agama Islam kerana ia cukup sensitif."

 
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Menangani Isu Murtad (FORKAD) juga 
mengharapkan Gerakan menghormati perkara 3, Perlembagaan Persekutuan dan 
kedudukan orang Melayu sebagai penduduk pribumi Malaysia.

 
Menurutnya, pada tahun 1950 orang Melayu telah berkompromi dengan kaum lain dan 
memperakukan mereka sebagai penduduk imigran dan mereka menerima hak istimewa 
orang Melayu dan Islam sebagai elemen yang didominasi oleh orang Melayu.

 
Tegas beliau, Forkad memberi amaran tegas kepada mana-mana pemimpin negara dan 
NGO supaya tidak bermain api kerana bimbang akan berulang kembali peristiwa 13 
Mei 1969.

 
Ridhuan berkata, menurut satu kajian yang telah dijalankan sebelum ini, dari 
tahun 1511 hingga 1945, seramai 178 orang dilaporkan murtad.

 
"Ini merupakan suatu implikasi positif yang menunjukkan orang Melayu sangat 
sayang akan akidah Islam yang dianuti ketika itu," jelasnya

 
Menurut beliau sepanjang sejarah Tanah Melayu dijajah oleh Portugis,Belanda, 
Inggeris dan Jepun, mereka tidak pernah campurtangan dalam urusan berkaitan 
dengan Islam dan adat resam orang Melayu, seperti contoh Perjanjian Pangkor 
1874 antara pihak Inggeris dengan pembesar Melayu ketika itu.

 
Ridhuan turut mengesyorkan agar Gerakan sepatutnya lebih fokus kepada isu 
rasuah dan kroni-kapitalisme yang semakin berleluasa dalam negara dan bukannya 
dalam urusan agama yang akan menyentuh sensitiviti umat Islam.

 
  Tindakan Gerakan akan menaikkan kemarahan umat Islam  
 Dalam masa yang sama, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Ketua Penerangan 
Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud ketika dihubungi meminta agar 
pihak berkuasa dapat "handle with care" dalam menangani isu ini dengan teliti 
dan berhati-hati.

 
Menurut beliau jika sekiranya Dato' Seri Harussaini bersalah, maka yang berhak 
dan berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap beliau adalah Sultan Perak.

 
Dr Mariah berkata menurut perlembagaan Malaysia, hal berkenaan bidang kuasa ini 
sangat jelas termaktub dan beliau yakin pihak berkuasa mempunyai maklumat 
tentang perkara ini.

 
  Beliau menegaskan bahawa ini adalah isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam 
secara kolektif dan tidak harus dipolitikkan.

 
"Jika ada pihak-pihak tertentu yang mencampuri perkara ini maka ia akan 
menaikkan kemarahan umat Islam, termasuklah usaha untuk menggubal perlembagaan, 
" katanya dalam nada yang bimbang.

 
 Gerakan jahil perlembagaan dan undang-undang  
 Sementara itu, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), 
Profesor Dr Abdul Aziz Bari dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berkata, 
"dalam masa yang sama isu ini telah menyentuh sensitiviti umat Islam dalam 
situasi Gerakan tidak faham apa yang berlaku dalam kes Azhar Mansor itu 
sebenarnya mereka perlu selidik dan jangan bergantung kepada akhbar perdana 
sahaja."

 
   Katanya , mufti adalah hak Sultan dan tiada siapa pun berhak untuk membuat 
kenyataan seperti itu hatta Perdana Menteri dan Umno sendiri tidak pernah 
membuat kenyataan terbuka seperti yang dilakukan oleh Gerakan.

 
"Gerakan jelas jahil kedudukan perlembagaan dan undang-undang (malah ini boleh 
dianggap sebagai hasutan di bawah Akta Hasutan 1948) dan sebagai parti komponen 
Barisan Nasional kejahilan ini amat memalukan dan Kheng Yeik kena ambil 
perhatian yang serius dalam hal ini," katanya tegas.

 
Jelas beliau lagi, mereka tidak berpuas hati dengan kedudukan Mahkamah Syariah 
di bawah Perkara 121(1A), tetapi itu diputuskan  mengikut undang-undang yang 
ada sedangkan tuntutan Gerakan Segambut itu adalah sesuatu yang melanggar 
undang-undang.

 
 Kuasa pelantikan itu adalah prerogatif (hak istimewa) mutlak Sultan sejak 
sebelum merdeka yang dikekalkan oleh perlembagaan bahkan Menteri Besar dan 
Perdana Menteri pun secara rasminya tiada kuasa apa-apa dalam hal ini, 
tambahnya dengan panjang lebar.

 
"Gerakan has already crossed the line; AG should consider taking action so that 
this will be a lesson to others.(Gerakan telah melampaui batas yang sepatutnya; 
pihak peguam negara seharusnya mengambil tindakan supaya ia akan memberi 
pengajaran kepada yang lain pada masa yang akan datang)," saran Profesor Aziz.

 
Resolusi berhubung gesaan agar Mufti Perak dipecat itu dicapai dalam Konvensyen 
Parti Gerakan Wilayah Persekutuan semalam dan disiarkan oleh akhbar The Star 
hari ini.

 
 Dalam konvensyen semalam, Gerakan  telah mengusulkan Mahkamah Perlembagaan 
Khas untuk menangani isu yang berkaitan dengan agama.

 
Antara usul konvensyen semalam ialah memecat Mufti Perak, Dato' Seri Harussaini 
berikutan dakwaan terhadap kes penyebaran SMS yang mengaitkan Dato' Azhar 
Mansor yang memurtadkan sebilangan orang Islam di Perak sebelum ini.

 
Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Dato' Dr Tan Kee Kwong merangkap ketua 
Biro Agama Pusat berkata kebanyakan rakyat 'nonmuslim' berasa tidak senang 
dengan keadaan ini bahawa hak mereka telah dicabuli dengan sesuatu perlu 
dilakukan bagi membetulkan keadaan ini. - mks. 


                
---------------------------------
 All new Yahoo! Mail "The new Interface is stunning in its simplicity and ease 
of use." - PC Magazine

Kirim email ke