Dakwaan pembalakan babitkan pemimpin Umno, apa tindakan Sazmi Miah?
Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Apr 05, 07 | 05:14:27 PM KUALA LUMPUR, 5
April (Hrkh) - Isu pembalakan haram di kawasan hutan simpan menjadi isu
hangat mutakhir ini apabila Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan
Alam Sekitar, Dato' Sazmi Miah mendedahkan kes pembalakan di Tanah Tinggi
Lojing, Kelantan.
Bertalu-talu berita dan laporan khas dimainkan media-media arus perdana
termasuk media elektronik dan akhbar yang tanpa putus menayangkan semula
kesan pembalakan yang didakwa berlaku di kawasan tersebut dan kenyataan
pemimpin-pemimpin Umno Kelantan.
Isu ini pernah cuba dimainkan Sazmi suatu ketika dahulu dengan ketika itu Exco
Kanan Kerajaan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa menyanggah kenyataan Sazmi
yang dilihat berunsur politik itu.
Begitupun Sazmi sekali lagi mencuba nasib memainkan isu tersebut tatkala
ura-ura pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi, dan ia dilihat
sebagai 'paluan gendang perang' oleh Ketua Pemuda Umno Machang itu terhadap
kerajaan pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pembalakan babitkan pemimpin Umno?
Isu itu tidak terhenti setakat laporan media, malah hari ini di Dewan Rakyat
Sazmi ketika menggulung perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi
kementeriannya sekali lagi cuba melontar isu pembalakan di Lojing untuk
disahut rakan-rakan Barisan Nasional (BN) lain, terutamanya yang datang dari
Kelantan termasuk, Dato' Mohd Alwi Che Mat (BN-Ketereh) dan Ir Shaari Hassan
(BN-Tanah Merah).
Bagaimanapun seketika selepas menjawab persoalan isu Lojing, Sazmi dikejutkan
dengan pertanyaan yangt dibuat wakil DAP, Chong Chien Jen (DAP-Bandar
Kuching) mengenai isu pembalakan yang mengakibatkan banjir besar di Johor
baru-baru ini.
Menurut Chien Jen, pihak DAP telah membuat satu laporan polis dan menulis
kepada Jabatan Alam Sekitar serta pihak berkuasa lain terhadap dakwaan
pembalakan itu yang dikaitkan dengan pemimpin Umno.
Persoal status siasatan
"Bagaimana status siasatan terhadap laporan yang dibuat DAP itu, dan hingga
kini saya tidak mendapat laporannya.Adakah kementerian yang berhormat telah
menyiasat laporan ini, dan apakah hasilnya," katanya semasa mencelah sesi
penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Beliau mengaitkan bahawa pembakalan hutan simpan di Johor antaranya di
Segamat, Muar, Bekoh, Yong Peng dan sekitar Sungai Johor antara faktor yang
menyebabkan banjir besar melanda Johor akhir tahun lalu dan awal tahun 2007.
Bagaimanapun ketika Chien Jen mahu meneruskan pertanyaan kepada Sazmi, ucapan
beliau diganggu oleh Dato'Badrudin Amiruddin (BN-Jerai) yang mahu Timbalan
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato' Lim Si Cheng mengarahkan di bawah peraturan
mesyuarat supaya, wakil DAP itu menarik kembali tuduhan yang mengaitkan
pembalakan itu dengan pemimpin Umno.
Badrudin menyifatkan tuduhan itu adalah sangkaan jahat ke atas Umno, begitupun
Lim Si Cheng tidak mengendahkan tuntutan Badrudin dengan menyatakan bahawa
tuntutan itu tidak ada kena-mengena dengan ucapan Chien Jen itu dan Badrudin
tidak menyatakan di bawah perkara berapa (peraturan mesyuarat) tuntutan itu
dibuat.
Pembalakan tiada kaitan dengan bajir
Sazmi yang menjawab pertanyaan Chien Jen itu mulanya menafikan tuduhan itu
dengan menyatakan bahawa pembalakan bukanlah faktor sebenar yang
mengakibatkan banjir besar di Johor.
"Masalah banjir ini, ini yang berhormat kerana air lebih, bila air lebih
banjirlah.Bukan pembalakan sahaja yang menyebabkan banjir, saya tak nafilah
pembalakan merupakan salah satu faktorlah,"katanya berbeza dengan penafian
awal.
Tidak cukup dengan serangan dari DAP itu, Sazmi dihadapkan dengan persoalan
penyalahgunaan tanah rezab sungai di Johor (Tebrau) untuk membuat projek
perumahan kos rendah yang dibangkitkan oleh Teng Boon Soon (BN-Tebrau).
Sazmi cuba nafi
Menurut Teng Boon Soon, di kawasannya ada pemaju menggunakan tanah rezab
sungai yang biasanya di kawal selia oleh Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS)
untuk dimajukan sebagai kawasan perumahan.
Baginya tindakan itu satu pencerobohan yang perlu disiasat dan diambil
tindakan oleh JPS di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Bagaimanapun Sazmi yang bingkas bangun bagi menafikan dakwaan itu menyatakan,
masalah di Tebrau itu bukan di bawah bidang kuasa JPS atau agensi lain di
kementeriannya, sebaliknya Sazmi menyandarkan permasalahan itu kepada
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Teng Boon Soon yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu bingkas bangun
dengan menyatakan bahawa JPS dan kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
seharusnya mengambil tindakan kerana sememangnya isu pencerobohan ke atas
sungai dan pencemaran yang berlaku di sana adalah di bawah bidang kuasa
kementerian terbabit.
---------------------------------
Inbox full of unwanted email? Get leading protection and 1GB storage with All
New Yahoo! Mail.