IFC: Kerajaan mempermainkan sensitiviti umat Islam
Azamin Amin
Thu | Apr 12, 07 | 12:53:50 PM KUALA LUMPUR,
12 April (Hrkh) - Impak hari ini mengutuk sikap hipokrit kerajaan pimpinan
Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung isu Suruhanjaya
Antara Agama (IFC) yang dilihat mempermain-mainkan sensitiviti umat Islam.
Ini berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri
Aziz dalam laporan akhbar semalam yang membincangkan isu IFC di Parlimen.
Nazri dipetik sebagai berkata ketiadaan wakil umat Islam dalam IFC bukanlah
satu masalah kerana suruhanjaya itu mempunyai alternatif lain bagi
membincangkan isu kepentingan bersama.
"Justeru Perdana Menteri adalah saluran terbaik bagi IFC mengenengahkan isu.
Mungkin kita boleh adakan perjumpaan rasmi dua kali setahun berbanding
perjumpaan secara ad-hoc sekarang, kata Nazri ketika menggulung perbahasan
titah ucapan diraja bagi Jabatan Perdana Menteri di Sidang Dewan Rakyat hari
ini.
Pengerusi Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak), Mahfuz
Omar berkata kenyataan tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa
kerajaan sudah mengiktiraf IFC sedangkan sebelumnya Perdana Menteri telah
memberi amaran malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdullah Mat Zin turut
membantah penubuhan IFC ini.
"Kenyataan Nazri itu menunjukkan bahawa IFC itu relevan dan membayangkan untuk
mengadakan pertemuan dua kali setahun," katanya ketika menghubungi Harakahdaily
sebentar tadi.
"Sedangkan kita tahu tujuan penubuhan IFC adalah untuk mencampuri urusan umat
Islam di negara ini," katanya lagi.
Usaha ini katanya secara tidak langsung sudah mencabar sensitiviti umat Islam,
mengenepikan pandangan ulama-ulama Islam malah mengabaikan bidang kuasa
Raja-raja Melayu dalam hal ehwal agama Islam di negara ini.
Penubuhan IFC katanya berasaskan kepada ketidakpuasanhati pihak lain terhadap
urusan agama orang Islam dan oleh yang demikian penubuhannya sememangnya harus
dibantah namun isu yang dianggap telah reda suatu ketika telah dibangkitkan
kembali dan ternyata sikap hipokrit Pak Lah amatlah dikesali dalam menangani
isu ini.
"Bila suasana tegang, kerajaan membantah dan apabila telah reda kerajaan
sendiri yang mengiktirafnya dan ternyata Perdana Menteri hipokrit terhadap umat
Islam di negara ini," katanya lagi.
Sebenarnya katanya, pihak-pihak lain bebas membincangkan urusan agama
masing-masing hatta untuk berbincang dengan Perdana kenetri sendiri,namun tidak
dalam urusan hal ehwal Islam.
Dalam masa sama, beliau menyarankan supaya Majlis Raja-raja yang menjadi Ketua
Agama negeri masing-masing bertindak dengan segera berhubung isu IFC ini supaya
tindakan biadap dan melangkaui urusan agama Islam oleh pihak yang tidak
bertanggunjawab dapat dibendung dengan segera. - mks.
---------------------------------
To help you stay safe and secure online, we've developed the all new Yahoo!
Security Centre.