PM bertanggungjawab bertindak jika benar Khairy ketua perusuh
Abdul Halim Mohd Rashid
Sat | Apr 21, 07 | 06:06:34 PM KUALA LUMPUR,
Hrkh (21 April) - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti
mengambil tindakan terhadap menantunya, Khairy Jamaluddin jika benar beliau
menjadi ketua perusuh pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Ijok Khamis
lalu, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar.
"Saya tidak tahu sejauh mana benarnya tuduhan yang menyatakan Khairy adalah
ketua perusuh dan orang yang bertanggungjawab mencetuskan pergaduhan pada hari
penamaan calon pilihan raya kecil Ijok. Tetapi, jika benar tuduhan itu, Perdana
Menteri selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri bertanggungjawab untuk
mengarahkan pihak polis mengambil tindakan."
"Jangan ulangi lagi apa yang berlaku sebelum ini, di mana Khairy membuat ucapan
yang berbau perkauman dan apabila ditanya kepada Perdana Menteri, beliau hanya
menyatakan tidak tahu apa sebenarnya yang dikatakan oleh Khairy," kata Mahfuz.
Ketika merasmikan persidangan perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Jerlun, Kedah
tahun lalu, Khairy mendakwa kaum Cina akan mengambil kesempatan daripada
kelemahan Umno.
Ucapannya itu dikecam hebat dalam perhimpunan Pemuda MCA dan Gerakan.
"Jika bapa mertuanya kaya dengan koleksi pelbagai janji, Khairy pula kaya
dengan koleksi tuduhan demi tuduhan bahawa beliau melakukan pelbagai
penyelewengan dan tindakan tercela."
"Walaupun kita tidak boleh menganggap semua tuduhan itu benar, tetapi ada yang
benar seperti tindakannya berbohong mengenai apa yang sebelum ini dihebohkan
sebagai rumah Perdana Menteri di Perth," katanya.
Khairy berbohong dengan menyatakan rumah itu adalah milik anak Perdana Menteri,
Datuk Kamaluddin.
Buletin utama TV3 Rabu lalu melaporkan, rumah yang dimaksudkan sebenarnya
adalah milik isteri seorang ahli perniagaan dan hartanah, Datuk Patrick Lim.
Mengulas mengenai rumah itu, Mahfuz bertanya: "Kalau rumah itu milik isteri
Patrick, mengapa ia kelihatan menjadi rumah Perdana Menteri sehingga rumah
itulah menjadi kediaman tetapnya apabila ke Perth, bandaraya yang dilihat
menjadi tempat rehat yang paling kerap kepada Perdana Menteri"
Beliau bertanya, apakah hubungan Perdana Menteri dengan Patrick sehingga
Patrick kelihatan membeli rumah sebegitu mewah atas nama isterinya untuk
kegunaan Perdana Menteri?
"Rakyat berhak bertanya, adakah ini satu bentuk rasuah, persekongkolan atau
Patrick hakikatnya adalah penama kepada kepentingan Perdana Menteri?," tanya
beliau lagi.
---------------------------------
Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for
your freeaccount today.