Isu Lojing: Berguru kepalang ajal
Syed Azidi al-Bukhari
Mon | Apr 23, 07 | 04:30:48 PM Selaku
kakitangan badan berkanun Kerajaan Negeri, saya cuba mengelak dari membicarakan
isu sebenar berhubung Lojing di laman blog saya. Ini bagi mengelakkan pandangan
daif saya disalah anggap sebagai pandangan Kerajaan Negeri, namun hari ini,
saya membuat keputusan untuk membicarakan isu ini berdasarkan fakta-fakta yang
dikemukakan di Malaysia Today dan akhbar-akhbar tempatan.
Saya mula mendengar nama Lojing di akhir era pemerintahan Mat Yaacob di
Kelantan. Pada waktu itu, Kerajaan Negeri Pimpinan Barisan Nasional sedang
meuar-uarkan hasrat menjadikan Lojing sebagai pusat penanaman bunga secara
komersial.
Membangunkan Lojing adalah sesuatu yang amat baik dan sudah pastinya
memanfaatkan ia bukan sahaja akan memangkinkan ekonomi Kelantan Selatan tetapi
juga rakyat Kelantan keseluruhannya.
Saya yakin, kalau Kerajaan Barisan Nasional tidak tumbang pada tahun 1990,
Lojing sudang pastinya hari ini menjadi salah sebuah kawasan yang besar
sumbangannya kepada pembangunan ekonomi negeri. Sudah pastinya kita lihat
Lojing hari ini sebagai pusat pertanian yang maju dan destinasi pelangcungan
agro-tourism yang hebat.
Sekiranya kerajaan Barisan Nasional tidak tumbang pada tahun 1990 dan Lojing
dibangunkan dengan memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat Kelantan selain
daripada kocek-kocek orang-orang tertentu, sudah pasti sebarang isu alam
sekitar yang menyelubungi Lojing akan mati seperti mana matinya isu-isu alam
sekitar di Cameron Highlands.
Itu sahaja isu sebenar di Lojing. Tulisan saya ini sudah boleh selesai di sini
sahaja kerana ianya sudah menjawab segala kemusykilan di sebalik isu Lojing.
Isu sebenar di Lojing adalah politik. Tetapi apakah yang sebenarnya memberi
ruang kepada isu Lojing dipolitikkan?
Lojing harus dibangunkan. Lojing wajib dibangunkan. Tidak membangunkan Lojing
bererti kita telah mengharamkan rakyat Kelantan daripada hak mereka. Tidak
membangunkan Lojing bererti kita rela melihat anak di rumah kelaparan sekadar
mahu menyaksikan di Lojing aman damai.
Kerajaan Barisan Nasional di Kelantan era Mat Yaacob telah meluluskan sejumlah
3,978.98 hektar tanah dengan tempoh pajakan selama 99 tahun mulai 18 Disember
1985. Pemaju-pemaju yang dianugerahkan hak milik tanah di Lojing antaranya
ialah YAKIN, PKINK, KADA, Multi System, Jasa Benar dan beberapa syarikat lagi.
Kebanyakannya adalah agensi kerajaan negeri Kelantan sendiri yang sudah pasti
rata-ratanya diterajui oleh Kepimpinan Umno Kelantan waktu itu. KADA, sehingga
ke hari ini masih diterajui oleh Annuar Musa!
Tempoh pajakan singkat 60 tahun juga telah dikeluarkan dan sejarah membuktikan
menerusi proses pajakan ini, pembalakan telah bermula di Lojing lama sebelum
pemerintahan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz.
Kerajaan PAS pimpinan Tuan Guru turut sama melihat potensi pembangunan Tanah
Tinggi Lojing seperti mana kerajaan Barisan Nasional sebelumnya. Oleh itu
mereka mengenepikan sentimen politik dan meneruskan pembangunan di Lojing
walaupun kebanyakan agensi Kerajaan yang terbabit masih sesetengahnya sehingga
kini di terajui oleh orang kuat UMNO Kelantan.
Di waktu yang sama, Kerajaan Negeri Kelantan telah memperkemaskan sistem
pengurusan hutan dengan menaja beberapa ekspedisi saintifik. Hasilnya hari ini,
Kelantan mempunyai sistem pengurusan hutan yang terbaik di Malaysia.
Sudah tentu, sistem pengurusan hutan yang terbaik di Malaysia ini tidak
mungkin menjadi kenyataan tanpa kerjasama Kerajaan Negeri, Jabatan Hutan dan
kementerian yang berkaitan. Tetapi, realitinya, pengurusan hutan di Kelantan
adalah yang terbaik!
Beberapa kali di bulan Februari 2007, Kerajaan Negeri Kelantan menerusi
wakilnya di dalam Jawatankuasa Pembangunan Tanah Tinggi Lojing menyeru supaya
Jabatan Alam Sekitar mengambil tindakan tegas kepada pemaju-pemaju yang gagal
mematuhi dan melanggar syarat dan peraturan kelulusan Kesan Penilaian Alam
Sekitar (EIA).
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah ahli Jawatankuasa yang penasihatnya
adalah DYMM Raja Perempuan Kelantan. Apakah tempias isu Lojing ini bertujuan
mencemar nama baik Istana Kelantan oleh pihak tertentu?
Menyedari tiada sebarang tindakan segera diambil oleh Pengarah JAS, Kerajaan
Negeri sekali lagi menerusi wakil mereka di dalam jawatankuasa itu menggesa
supaya tindakan tegas diambil. Persoalannya ialah mengapa Pengarah JAS tidak
bertindak di atas gesaan Kerajaan Negeri?
Dato Husam menerusi temuramah dengan akhbar Wasilah bertarikh 15 April 2007
berkata, masalah ini berlaku disebabkan kegagalan serta kelemahan JAS mengambil
tindakan kepada syarikat pemaju yang melanggar peraturan dan syarat kelulusan
EIA.
Pada bulan Mac, Sazmi Miah telah diberi taklimat berhubung pembangunan Tanah
Tinggi Lojing dan Sazmi turut merasakan ketidakpuasan hatinya terhadap apa yang
berlaku. Ternyata di ketika itu sentimen Sazmi adalah sama dengan sentimen
Kerajaan Negeri.
Bagaimanapun Buletin Utama TV3 memaparkan isu ini pada malam 25 Mac 2007,
segala-galanya berubah menjadi percaturan politik yang mahu melemparkan najis
ke muka pemimpin Kerajaan Negeri.
Laporan JAS menunjukkan di dalam senarai 20 projek di Tanah Tinggi Lojing, yang
di laksanakan ataupun telah mendapatkan kelulusan EIA, tiada satupun
membabitkan projek pembalakan! Menurut laporan yang sama, 4 projek telah
mendapat kelulusan EIA, iaitu 2 projek pertanian milik All Green, 1 projek
milik PKINK dan 1 projek milik Jabatan Pertanian.
Lima projek diklasifikasikan tidak tertakluk kepada EIA iaitu projek penanaman
bunga dan sayur-sayuran oleh Theme Industries Sdn Bhd, projek sayur oleh Venue
Vision, projek pembangunan pertanian bagi penanaman cendawan dan bunga, projek
pembangunan sayur-sayuran oleh Multi System Sdn Bhd dan Projek Yakin Tea Sdn
Bhd bagi tanaman teh, sayur-sayuran dan bunga.
Laporan JAS juga menyebut bahawa tiga projek di tolak permohonan EIAnya iaitu
Projek Pusat Latihan Atlet oleh Majlis Sukan Negara kerana laporan EIA tidak
lengkap, projek kemajuan rekreasi YAKIN-KPA dan projek KADA kerana menunggu
maklumat tambahan daripada pemaju.
Dua projek lagi telah bermula tanpa kelulusan EIA iaitu projek pertanian jangka
pendek oleh Liquid Gold Sdn Bhd dan projek terbengkalai milik Layar Abadi yang
menyebabkan dua kawasan tinggi digondolkan dan kini terbiar tanpa sebarang
projek dilakukan.
Laporan JAS jelas menyebut tiada aktiviti pembalakan sebaliknya aktiviti
pertanianlah yang menyebabkan masalah pencemaran.
Kerajaan Negeri juga berkali-kali menegaskan bahawa mereka tidak berpuas hati
kerana beberapa aktiviti pembangunan di Lojing dikecualikan daripada EIA. Ini
kerana sebarang aktiviti sebelum 1995 dikecualikan daripada mendapat kelulusan
EIA.
Isu Lojing sebenarnya membuktikan kelemahan Jabatan Alam Sekitar Negeri
Kelantan dan Pengarahnya. Siapakah yang membayar gaji mereka? Dari manakah
arahan yang mereka terima? Siapakah yang akan menentukan masa depan dan
kenaikan pangkat mereka di JAS? Sazmi Miah seharusnya melihat ke dalam
organisasinya dan jelaslah selepas itu ke manakah telunjuk akan di tuding.
Sementara itu Azmi Khalid seharusnya jangan lari daripada isu sebenar. Kembali
ke isu pokok Lojing dan berikan penyelesaian yang sepatutnya, Hukumlah mereka
yang perlu dihukum dan pecatlah mereka yang harus dipecat jika itulah
penyelesaiannya. Namun begitu, masalah utama di Lojing adalah kelemahan
penguatkuasaan. Siapakah yang bertanggungjawab di dalam menguatkuasakannya?
Sewaktu pertemuan ringkas dengan saudara saya Jeff Ooi di Valentines Willy
pada 20 April yang lalu, Jeff antara lainnya merumus, Kerajaan Negeri Kelantan
di bawah pimpinan Tuan Guru membuktikan sikap keaslian politik Melayunya.
Mereka mengelak diri daripada memalukan pihak-pihak tertentu walaupun berbeza
ideologi politik.
Kerajaan Negeri Kelantan sedar peri pentingnya menjalin hubungan baik dengan
agensi-agensi kerajaan pusat demi agenda pembangunan yang memanfaatkan rakyat
Kelantan.
Namun, orang-orang tertentu di Pusat, lebih rela melihat rakyat Kelantan
menderita semata-mata kerana agenda politiknya. -
http://penembakbadak.wordpress.com/
---------------------------------
Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for
your freeaccount today.