aHmadHazieq <[EMAIL PROTECTED]> wrote: Cadangan Melupuskan Kereta Tua Perlu
Diteliti
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kurang bersetuju terhadap
cadangan bagi melupuskan kereta tua yang berusia lebih15 tahun yang diutarakan
oleh Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) dalam
akhbar Utusan Malaysia bertarikh 23 April 2007.
DPPWP, melihat bahawa cadangan FMCCAM ini perlu diteliti kerana ia
melibatkan banyak pihak dan implikasinya juga besar.
Setiausaha Agungnya, Khoo Kah Jin juga mencadangkan agar pihak PROTON memberi
baucar sebanyak RM 5,000 kepada pemilik kenderaan bagi membolehkan kereta
mereka dilupuskan.
Bagi DPPWP, cadangan ini sebenarnya tidak dapat menyelesaikan masalah
kemerosotan jualan kereta PROTON memandangkan ini bukanlah punca masalah
sebenar kepada kerugian yang dialami oleh PROTON dan juga pengedar
kereta-kereta baru diseluruh Negara kebelakangan ini.
Baucer RM 5,000 bukan sahaja akan merugikan PROTON tetapi ianya juga akan
menambah beban kewangan bagi PROTON. Diskaun RM 2,000 - RM 5,000 sebenarnya
sudah diberikan oleh PROTON melalui promosi jualannya. Inisiatif ini sudah ada,
namun pengguna masih lagi kurang berminat dengan kenderaan PROTON memandangkan
diskaun ini turut menyebabkan jumlah aksesori dan kualiti kenderaan yang
diberikan turut berkurangan.
Selain itu, masalah lambakan 60,000 unit kereta terpakai juga bukanlah alasan
untuk pengguna dipaksa melupuskan kenderaan tua mereka.
Kemampuan pengguna untuk membeli kenderaan baru perlu diambil kira kerana
Kerajaan selama ini selalu mengingatkan rakyat untuk bijak berbelanja.
Kecelaruan ekonomi pada hari ini telah disahkan melalui laporan Indeks harga
Pengguna Negara yang meningkat pada suku tahun pertama tahun ini iaitu sebanyak
2.6 peratus kepada 105.1 mata berbanding 102.4 mata dalam tempoh sama 2006.
Kadar Faedah bagi pinjaman bank untuk pembelian kereta baru pada hari ini
masih lagi tinggi iaitu sekitar 3.00 peratus hingga 4.75 peratus.
kenaikan harga minyak dan tol turut memberikan impak kepada kuasa beli
pengguna yang tinggal dibandar seperti di Lembah Klang ini. Kerajaan juga harus
prihatin tentang pendapatan penduduk luar bandar seperti nelayan, petani dan
pekerja ladang yang tidak seberapa. Mereka tidak mampu dan selalunya mengambil
masa yang agak lama bagi mengumpulkan duit untuk membeli kenderaan baru. Jika
kenderaan mereka dilupuskan, bagaimana mereka dapat meneruskan hidup serta
menjalankan kerja-kerja harian.
Bagi golongan pesara pula, mereka tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi
untuk membeli kereta baru kerana duit persaraan itu banyak dihabiskan untuk
membeli rumah atau membayar kos perubatan.
Rakyat tidak boleh dipaksa untuk berbelanja hanya kerana ingin menguntungkan
pihak-pihak yang berkepentingan sahaja.
Dalam hal ini juga, Kerajaan Malaysia perlu meneliti betul-betul dan tidak
terikut-ikut dengan rentak Negara Maju seperti Jepun, dan Singapura yang
bertindak melupuskan kenderaan tua memandangkan peningkatan jumlah kenderaan
yang terlalu banyak di jalan raya. Mereka layak mengambil tindakan tersebut,
berdasarkan kepesatan rangkaian Sistem Pengangkutan Awam sebagai alternatif
yang dapat memenuhi keperluan penduduk mereka diseluruh Negara. Hal ini berbeza
kerana perkhidmatan Pengangkutan Awam di Malaysia masih lagi ditahap minima.
Kerajaan juga harus menerima hakikat bahawa tidak semua kenderaan tua yang
ada pada hari ini bermasalah dan tidak boleh dipakai. Rangkaian bengkel
memperbaiki kereta yang ada diseluruh negara masih mampu untuk memanjangkan
hayat penggunaan kenderaan tersebut. Penjagaan yang baik sebenarnya adalah
lebih penting bagi memastikan kenderaan tersebut masih lagi berguna dan selamat.
Setiap tahun negara akan dipamerkan dengan keindahan kereta-kereta antik dari
era tahun sebelum merdeka yang kebanyakkan masih berkeadaan baik dan boleh
digunakan. Jika kenderaan yang berusia lebih 50 tahun masih boleh digunakan
bagaimana pula dengan kenderaan yang berusia 15 tahun yang kebanyakkannya masih
berkeadaan baik dan selamat digunakan.
Berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kerajaan juga telah melantik Pusat
Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd. (PUSPAKOM) yang ditubuhkan pada
tahun 1994 melalui DRB-HICOM Group bagi memeriksa kenderaan-kenderaan di
seluruh negara sebelum dibenarkan berada di Jalan Raya.
DPPWP merasakan bahawa aktiviti yang dilakukan oleh PUSPAKOM perlu
dipertingkatkan dan laporan mereka boleh dijadikan rujukan oleh Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meluluskan kenderaan yang layak berada di atas
jalan. Ini sebenarnya lebih baik kerana mereka boleh mengesahkan keadaan
kenderaan tersebut bukan berasaskan faktor usia sahaja. Kerjasama pihak JPJ
yang sedia ada dengan PUSPAKOM perlulah dipertingkatkan serta mengelakkan
amalan rasuah dari berlaku sehingga menyebabkan kenderaan yang tidak layak
dibenarkan berada di atas jalan raya.
Bagi DPPWP, sekiranya pihak JPJ memainkan peranan aktif masalah kenderaan
yang tidak berguna dapat di atasi. Oleh itu, DPPWP menegaskan bahawa isu
kenderaan tua bukanlah satu masalah kepada kita selagi mana ia masih lagi
berkeadaan baik.
Syarikat-syarikat pengedar kenderaan baru perlu mencari strategi baru bagi
mengembangkan pasaran serta jualan mereka. Mereka tidak harus memaksa Kerajaan
mengambil tindakan terhadap kenderaan-kenderaan lama semata-mata untuk
memastikan mereka dapat meningkatkan hasil jualan dan keuntungan.
Kerajaan juga harus menghapuskan pengimportan kereta terpakai yang
diperbaharui (reconditioned) bagi memastikan kenderaan baru dan terpakai yang
ada dalam negara tidak menerima persaingan dalam pasaran. Ini sekaligus dapat
membantu mengurangkan jumlah kenderaan terpakai yang ada dalam pasaran. Peniaga
kereta terpakai di Malaysia juga perlu membuat inisiatif bagi mengeksport
kenderaan terpakai yang ada ke negara lain seperti negara dunia ketiga yang
memerlukan kenderaan ini.
DPPWP berharap agar pendapat dan kehendak para pengguna diambil kira sebelum
Kerajaan menerima usul dari FMCCAM bagi memastikan tiada pihak yang rugi dalam
hal ini.
Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
lawati blog DPPWP di http://dppwp.wordpress.com/
---------------------------------
Copy addresses and emails from any email account to Yahoo! Mail - quick, easy
and free. Do it now...