Delegasi wanita Islam antarabangsa kunjungi Pejabat Agung PAS
Intan Abdullah
Fri | May 11, 07 | 06:00:05 PM KUALA LUMPUR,
11 Mei (Hrkh) - Kira-kira 15 perwakilan muslimat daripada Jamaat Islami yang
menyertai persidangan International Muslim Women Union (IMWU) telah menghadiri
majlis makan malam di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut semalam bersama
pimpinan PAS, yang terdiri daripada Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat
Isa; Bendahari Agung, Dr Hatta Ramli; Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Awang
dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefli Ahmad.
Delegasi daripada Pakistan, Sri Lanka dan Afrika Selatan yang hadir pada
pertemuan semalam adalah antara 3 negara daripada 15 delegasi negara lain.
Mereka turut diraikan oleh pimpinan Dewan Muslimat yang diwakili oleh
Ketuanya, Ustazah Azizah Khatib Mat; Timbalan, Dr Lo'Lo' Hj Mohd Ghazali; Naib
Ketua, Dr Siti Mariah Mahmud serta beberapa Exco muslimat pusat yang lain.
Majlis yang dimulakan dengan jamuan makan malam diikuti dengan majlis dialog
dan ramah mesra bersama pimpinan PAS bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan
antara tuan rumah dengan delegasi-delegasi yang hadir.
Mereka dibawa melihat sekitar bangunan Pejabat Agung PAS yang beroperasi
sejak dua bulan yang lalu, khususnya pejabat dewan muslimat yang menjadi
tarikan utama kepada delegasi wanita-wanita tersebut.
Menurut Ketua Bahagian Wanita Jamaat Islami Sri Lanka, Dr Naseeha, pejabat
operasi dan pengurusan PAS adalah lebih baik berbanding negara beliau.
Di samping itu, beliau turut memberi saranan agar PAS meneruskan usaha dan
tanggungjawab untuk melaksanakan syariat Islam di Malaysia dan berdoa agar PAS
akan dapat membentuk sebuah kerajaan Islam kelak.
Kira-kira 200 wanita muslim daripada 16 negara telah dihimpunkan dalam satu
persidangan anjuran sebuah NGO wanita muslim antarabangsa iaitu International
Muslim Women Union (IMWU) cawangan Malaysia dengan kerjasama Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Persidangan yang dimulai dengan agenda mesyuarat agung tahunan IMWU telah
dirasmikan oleh Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Dato' Seri Shahrizat Jalil bertempat di Hotel Le Meridien, Sentral
Kuala Lumpur pada 7 Mei yang lalu. - mks.
---------------------------------
Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for
your freeaccount today.