PAS jangka pilihan raya umum dalam masa terdekat
Intan Abdullah
Fri | May 11, 07 | 02:48:52 PM KUALA LUMPUR,
11 Mei (Hrkh) - Pelbagai rumus dan teka-teki tarikh pilihan raya umum (PRU)
dibuat oleh pelbagai pihak termasuklah pemimpin parti politik utama negara.
Ada yang menyatakan ianya akan berlaku sejurus selepas pembentangan belanjawan
negara pada penggal ketiga tahun ini, juga tidak ketinggalan ada yang
menjangkakan ia akan berlaku pada awal tahun hadapan.
Mutakhir ini kita telah melihat banyak tanda bahawa pilihan raya umum akan
berlaku dalam masa terdekat ini seperti kenaikan gaji, saham dan indeks ekonomi
yang dikatakan semakin baik, pemberian pelbagai elaun kepada guru-guru.
Selain itu, kerajaan yakni Umno dan Barisan Nasional (BN) telah menjalankan
pelbagai kursus yang tertentu sebagai keperluan dan persediaan BN bagi
menghadapi pilihan raya.
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata PAS menjangkakan
bahawa kerajaan akan membuat beberapa tawaran untuk menarik rakyat sempena
belanjawan yang akan dibentangkan sebelum pilihan raya umum berlaku selepas
mengemukakan tanda-tanda hampir PRU.
Untuk itu, pihaknya telah mengarahkan jentera untuk mengaturkan segala
persiapan termasuklah mengadakan perhimpunan 100 ribu orang dalam masa terdekat
ini bagi mendesak kerajaan untuk melakukan reformasi terhadap pilihan raya di
Malaysia.
Nasharudin menjelaskan pelbagai program penerangan susulan telah dirangka iaitu
menganjurkan konvensyen memulihkan demokrasi serta mengadakan roadshow
penerangan yang melibatkan pimpinan Barisan Alternatif (BA) ke seluruh negara.
Dalam pada itu, beliau turut mempertikaikan sumber kewangan yang akan digunakan
oleh kerajaan untuk melaksanakan kenaikan gaji kakitangan kerajaan yang
berjumlah kira-kira satu juta orang.
Nasharudin berkata demikian ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja
Laut semasa majlis ramah mesra bersama delegasi wanita antarabangsa yang
berkunjung sempena Kongres Tahunan anjuran International Muslim Women Union
(IMWU) baru-baru ini.
Kongres yang berlangsung daripada 6 hingga 12 Mei tersebut disertai oleh 15
delegasi negara daripada serata dunia, termasuk Jerman, Australia, Pakistan,
Thailand, Lubnan dan Sri Lanka. - mks.
---------------------------------
Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for
your freeaccount today.