Pemilihan Angkatan Muda KeADILan tetap demokratik, bebas
Jafrien Muhamad
Wed | May 23, 07 | 08:09:12 PM JAWATANKUASA
Pemilihan, Angkatan Muda KeADILan (AMK) bagi pemilihan pimpinan nasional AMK
bersempena dengan kongres ke-4 yang dijadualkan berlangsung pada 25 Mei 2007,
di Dewan Sekolah Menengah Chung Hua, Seremban ingin menegaskan dan berjanji
terus memastikan pemilihan yang akan berlangsung dalam keadaan demokratik,
adil, bersih dan bebas.
-->
Demokrasi yang menjadi salah satu landasan perjuangan parti sememangnya
dipertahankan, dijulang dan ditunjukkan oleh AMK dengan memberi ruang kepada
mereka yang merasakan layak untuk bertanding dalam jawatan-jawatan parti.
Mana-mana calon yang menarik diri adalah atas kehendak mereka tanpa adanya
paksaan ataupun ugutan kepada mereka.
Pada mesyuarat khas Angkatan Muda pada 13 Mei lalu juga, telah membuat
keputusan untuk membentuk jawatankuasa pemilihan AMK yang berkecuali bagi
bekerjasama dengan Jawatankuasa Pemilihan Pusat yang dipandu oleh Biro Politik
Parti untuk mengelola pemilihan kali ini bagi memastikan ianya berjalan dalam
keadaan yang baik dan tidak dicurigai.
Jawatankuasa Pemilihan juga telah menetapkan kod etika yang mengandungi lima
perkara yang harus dipatuhi oleh calon-calon yang bertanding termasuk perkara
(4) yang melarang penggunaan nama pimpinan parti dalam kempen calon-calon bagi
memastikan perlawanan yang adil dan tiadanya campur tangan mana-mana pihak
untuk mengatur dan menetapkan pimpinan AMK sebelum pemilihan sebenar
berlangsung.
Namun kod etika tersebut tidak sama sekali menghalang kempen secara berhemah
dengan menyampaikan visi dan misi kepada ahli untuk kepentingan AMK dan parti.
Oleh itu kami menafikan dengan keras berlakunya mana-mana campur tangan yang
tidak sihat keatas proses pemilihan sebagaimana yang digemburkan oleh beberapa
pihak, dan kami berjanji akan cuba sedaya upaya menghalang perkara ini berlaku
termasuk dari agen-agen parti lawan yang sentiasa cuba merosakan keutuhan AMK
dan parti.
* Jafrien Muhamad ialah Ketua Jawatankuasa Pemilihan AMK
---------------------------------
Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for
your freeaccount today.