Laporan Utusan Malaysia menyeleweng,PAS Selangor kesal
Mohd Khalil Abdullah
Tue | Dec 09, 08 |  7:55:50 am MYT
KUALA LUMPUR, 9 Dis (Hrkh) - PAS Selangor kesal dengan laporan muka
depan akhbar Utusan Malaysia di bawah tajuk "PAS akui sukar tadbir
Selangor bersama PKR,DAP" (bertarikh Sabtu, 6 Disember 2008) yang
sesungguhnya tersasar dan menyeleweng sama sekali dari kenyataan sebenar
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Mohd Ali, di dalam sidang media
PAS Selangor yang diadakan pada hari Jumaat 5 Disember, 2008 lalu.
Iklan                  <http://www.mantop.com.my/>
Menurut Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir,
di dalam sidang media berkenaan Dr Hasan tidak pernah menyebut bahawa
PAS menghadapi kesukaran untuk memperjuangkan serta mempertahankan hak
orang Islam dan Melayu di Selangor sebagaimana yang dilaporkan oleh
Utusan Malaysia.

"Malah beliau menegaskan dalam sidang media berkenaan bahawa PAS tidak
terpinggir dan sebarang anggapan sebegitu tegas beliau sebenarnya
dimanipulasi oleh Barisan Nasional untuk menggugat kerjasama baik antara
PAS, DAP dan KeADILan di Selangor,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada
Harakahdaily hari ini.

Tambahnya,Dr Hasan juga tidak pernah menyebut bahawa kadang-kala PAS
terpaksa melupakan matlamat perjuangan utama parti iaitu untuk
menegakkan syiar Islam semata-mata kerana mahu mengambil hati KeADILan
dan DAP sebagaimana dilaporkan oleh Utusan Malaysia.

"Malah yang sebenarnya beliau telah menggariskan dengan jelas bahawa PAS
tidak pernah dan tidak akan bertolak-ansur dalam hal-hal berhubung Islam
dan kepentingannya di Selangor,"katanya.

Katanya,PAS Selangor merasakan bahawa pihak Utusan Malaysia sangat tidak
bertanggungjawab sehingga terlanjur mengeluarkan laporan yang sedemikian
rupa yang mencerminkan rendahnya nilai profesionalisma di dalam akhbar
berkenaan.

"PAS Selangor beranggapan laporan tersebut berunsur jahat kerana tidak
ada mana-mana pihak dari media arus perdana yang turut hadir dalam
sidang media berkenaan membuat laporan seperti itu di akhbar-akhbar
mereka.

"PAS Selangor ingin menasihatkan pihak Utusan Malaysia agar lebih
berhati-hati dimasa-masa yang akan datang dan tidak lagi mengorbankan
etika dan profesionalisma kewartawanan ketika membuat laporan
sebagaimana yang berlaku ini,"jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, dalam pada itu PAS Selangor akan terus mengadakan sidang
media setiap dua minggu sekali bagi memberi peluang kepada rakyat
Selangor dan seluruh masyarakat Malaysia mendapat maklumat terus darihal
peranan dan perkembangan PAS Selangor di dalam kerajaan Pakatan Rakyat
negeri ini. - mks._

Bincang di  Debatpolitik.com <http://www.debatpolitik.com/>
Lawan Hujah dengan Hujah!

Kirim email ke